Wednesday, April 2, 2014

Anugerah Dekan FSSK UKM



Sementara menanti konvokesyen pada Ogos 2011, aku ingin merakamkan kenangan-kenangan pahit manis semasa mengikuti pengajian Sarjana Pengurusan Alam Sekitar di UKM Bangi. Kenangan pertama ialah menerima Anugerah Dekan FSSK selepas mendapat keputusan cemerlang pada semster 1. Ini satu sejarah. Semasa belajar di UTM (ijazah pertama), tak pernah mendapat anugerah dekan. Datang semula ke kampus selepas sekian lama bekerja, membawa kejayaan dalam peperiksaan semester. Semua subjek mendapat A (A+, A-). Dekan, Prof. Dr Sharifah Mastura telah melapangkan masa menyampaikan sijil pada hari tersebut. Rakan sekuliah, En Mashor dari Jabatan Hutan Sabah juga turut menerima anugerah. Aku abadikan gambar pada hari tersebut (nota: gambar menerima sijil tidak sempat diambil kerana aku orang pertama dipanggil naik ke pentas untuk menerima sijil). Kini, April 2014 aku ingin kembali ke kampus untuk menyambung pengajian di peringkat PhD. Ya Allah, permudahkanlah. Amiin!!!

Menjengok kembali blog

Fenomena FB telah menyebabkan saya tinggalkan blog sejak sekian lama. Catitan pada malam ini sebagai usaha untuk kembali menjengok blog dan ini merakamkan kenangan dan catitan.

Monday, October 31, 2011

Rebut peluang & kasih sayang


Pada 27 Oktober 2011, saya dapat kesempatan mengikuti dua tazkirah. Tazkirah pertama oleh Ust. Zuhdi di Surau Tmn Desa Aman. Antara lain, pesan Nabi Adam: a) Jangan terlalu tenteram dan seronok dengan kehidupan dunia; b) Jangan terlalu mengikut keinginan nafsu dan keinginan isteri; c) sebelum lakukan sesuatu, fikirkan akibatnya; d) Jika nak buat sesuatu tapi hati tak tenteram, jauhkan diri daripada perkara itu; e) Jika nak buat sesuatu, berbincanglah @ tanya orang alim. Katanya lagi, Allah pemilik syurga maka kita perlu rapat denganNYA seperti seseorang perlu rapat dengan tuan rumah yg ingin kita masuk atau dijemput masuk. Di samping itu, pesan Rasulullah kepada Abu Hurairah: a) Jangan tidur kecuali setelah kerjakan solat witir; b) Jangan lupa utk solat sunat dhuha; c) Jangan tinggal puasa sunat 3 hari setiap bulan hijrah. Tazkirah kedua oleh Ust Shuhaimi di rumah Hj Zhohir. Katanya, umat Islam yang tak terpilih sebagai tetamu di baitullah, ada ibadat lain utk dekatkan diri kepada Allah. Maka, kita perlu rebut peluang (ibadat korban). Menurut beliau, orang yg tolak perintah Allah adalah orang yg tolak rahmat dan kasih sayang Allah. Juga, orang yang selalu beri alsan dalam melaksanakan perintah agama adalah orang yang tolak kasih sayang Allah.

Hudud bukan isu politik


Pada 29 Oktober 2011, saya pergi memancing di Pulau Betong, Pulau Pinang. Ada banyak pengalaman baru yang saya perolehi. Tapi, cerita memancing tu ditangguhkan dulu. Saya nak catat butiran kuliah Ust. Shuhaimi di Surau Taman Desa Aman pada 9 Oktober 2011. Beliau memulakan kuliah dengan mengingatkan tentang penambahbaikan berterusan (esok lebih baik dari hari ini). Seterusnya, beliau menyentuh tentang hudud. Katanya, hudud adalah di luar daripada isu politik. Namun, nak laksanakan hudud perlu kepada kuasa politik. Hebatnya hudud, belum dilaksanakan sudah ada orang yang merasa takut.Hudud terdapat dalam semua bab - aqidah dan ibadah. Mengenai bajet 2012, apa yang boleh kita manfaatkan kekayaan untuk Islam. Bajet itu seolah-olah suburkan kehidupan dunia.Nabi SAW tak wariskan harta tapi ilmu. Mengenai mati, ia akan kita hadapi samada menerusi sakit dan juga tidak sakit.

Saturday, June 11, 2011

Ujian BOD, COD & TSS




Kualiti air buangan diukur dengan menggunakan beberapa parameter seperti Biochemical Oxygen Demand (BOD), Chemical Oxygen Demand (COD) & Total Suspended Solid. Semasa mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia di UTM, pernah belajar tentang parameter ini tapi tidak banyak menggunakannya sewaktu bekerja sebagai Production Engineer. Sehinggalah bertukar ke bidang EHS, parameter ini menjadi suatu yang wajib untuk diketahui. Malah, satu salinan laporan pemantauan efluen perlu dihantar ke Jabatan Alam Sekitar. Bagi kami di kilang, semua ujian BOD, COD & TSS dilakukan oleh pihak makmal yang dilantik atau diberikan kontrak. Kesempatan belajar di UKM telah memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan sekuliah untuk membuat ujian BOD, COD & TSS. Sampel diambil semasa melakukan kerja lapangan di Port Dickson dan Bagan Lalang. Di sini, aku sertakan gambar-gambar semasa ujian dilakukan di makmal PPSPP UKM.

Sunday, June 5, 2011

Mutiara Ilmu Ust. Shahril Long & Ust. Zul

Pada 3 Jun 2011, mendapat kesempatan mengikuti kuliah Ust Shahril Long di Masjid an-Najah, Padang Serai. Beliau memberikan tafsir surah al-Fatihah. Waktu antara maghrib dan isyak digunakan untuk tafsirkan perkataan `ar-rahman' sahaja. Sifat pemurah Allah adalah untuk semua makhluk. Jadi, jangan kemilau mata dengan limpahan rezeki yang diperolehi oleh orang yang tidak solat atau orang yang jauh dari ajaran agama. Itu adalah istidraj. Bagi muslim, katanya, kaya sejati adalah kaya jiwa. Allah berikan rezeki untuk semua. Jika rezeki sudah tiada bermakna umur sudah hampir ke titik akhir. Dunia yang diburu oleh manusia menurut Ust Shahril Long ialah kekayaan, kedudukan dan kekuasaan. Beliau meminta hadirin lazimi qiamullail dan solat dhuha. Di samping itu, beliau berikan tips menghafaz surah iaitu memanfaatkan masa ketika dalam perjalanan.

Seterusnya, pada pagi 4 Jun 2011, dapat mengikuti kuliah subuh di masjid yang sama, yang di sampaikan oleh Ust Zulkifli Ahmad. Beliau memulakan kuliah dengan memetik dua kisah iaitu kisah ketua penyamun dan burung yang memberikan makan kepada ular buta. Juga, kisah Ibrahim Adham yang pergi memburu, di mana rotinya disambar oleh gagak untuk menyuap seorang lelaki yang diikat tangan & kaki. Kisah-kisah itu untuk menarik perhatian hadirin betapa binatang mempunyai belas kasihan, tetapi kini manusia bersifat kebinatangan termasuk kes campak bayi dari pangsapuri. Hingga hancur kepala.

Ust Zul seterusnya memberikan peringatan mengenai perjalanan roh setelah keluar dari jasad. Di langit pertama, ditanya tentang akidah, langit ke 2 tentang kesempurnaan solat, langit ke 3 tentang mencari harta yang halal, langit ke 4 mengenai ibadat puasa,langit ke 5 mengenai haji & umrah, langit ke 6 mengenai berbakti kepada dua ibu bapa dan langit ke 7 mengenai bangun malam dan menjaga amalan. Tazkirah yang disampaikan diselitkan dengan beberapa huraian berdasarkan peristiwa semasa. Saya sendiri merasa tersentak dengan peringatan yang diberikan.

Thursday, May 26, 2011

Sejarah baru 26 Mei 2011


Pada 25 Mei 2011, jam 5 petang, aku meninggalkan Kulim menuju ke Bangi. Selamat tiba di Smart Hotel jam 10.30 malam. Selepas mandi, terpaksa menyiapkan bahan pembentangan. Mata bertambah mengantuk, terpaksa tidur sejenak dan bangun jam 4.17 pagi bagi meneruskan persediaan bahan. Alhamdulillah, jam 9.00 pagi dapat bertolak ke FSSK UKM.

Seterusnya, jam 10.05 pagi, nama dipanggil untuk viva tesis. Pengerusi Dr Azahan. Pemeriksa ke-2, Prof. Madya Dr Kadaruddin. Penyelia, Prof. Madya Dr Kadir Arifin telah bersedia. Aku diberikan 10 minit untuk membentangkan hasil kajian. Selama 30 minit berhujah dan mendengar pandangan penilai tesis. Alhamdulillah, visa tersebut berjaya dengan sedikit pembetulan.

Selepas makan di Cafe Pusanika, terus balik ke Smart Hotel untuk membetulkan tesis dan mencetak satu set untuk disalin dan dijilid. Tepat jam 3.00 petang, 26 Mei 2011, aku berjaya menghantar tesis untuk dijilidkan. Dengan itu, terlerailah satu bebanan berat yang terpikul kerana memikirkan kajian yang tidak selesai dianalisis. Insya'allah, tahun ini akan dianugerahkan Sarjana Pengurusan Persekitaran. Allahu Akbar. Satu sejarah tercipta. Dilampirkan sekeping gambar kenangan semasa kajian lapangan EIA di Port Dickson 2010 bersama Khai, Farah & Yusro.