Friday, November 28, 2008

Memori Indah Perasmian Kilang


Sepanjang saya bekerja, 1992 - 2008, saya beroleh pengalaman 3 kali perasmian kilang. Semasa bertugas di Malaysian Sheet Glass Bhd ( 1992 - 1994), saya berpeluang mengikuti perasmian kilang baru MSG di Pasir Gudang. Tapi saya dah lupa, siapa yang rasmikannya.


Setelah bertukar ke Samsung Corning Sdn Bhd (1995-2004), saya juga berpeluang mengikuti perasmian kompleks kilang-kilang Samsusng Seremban yang dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed. Perasmian tersebut mendapat liputan meluas akhbar tempatan.


Di Mieco, saya sekali lagi berpeluang mengikuti perasmian kilang baru di Kechau Tui. Kali ini, ia dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Ia juga mendapat liputan media termasuk disiarkan semasa Buletin Utama TV3 dan Berita Perdana TV1. Perasmian dilakukan pada 16 Jun 2005.


Perasmian tersebut memberi faham kepada saya tentang kawalan ketat keselamatan. Saya lihat ramai body guard yang lengkap dengan peralatan dan bas yang membawa VIP semasa lawatan perasmian diuji dengan pengesan bom. Saya tak pasti kenapa begitu sekali pemimpin Malaysia perlukan kawalan ketat di bumi sendiri. Saya tak ingat, adakah waktu itu timbul isu pengganas atau militan.


Terdahulu, saya ada menemui MB Terengganu (DS A. Hadi Awang) dan MB Kelantan (TG Dato' Nik Aziz). Tiada kawalan keselamatan sebegitu rupa. Mereka nampaknya lebih mudah didekati dan penganjur majlis tidak perlu bimbang sangat tentang keselamatan pimpinan.


Gambar yang saya lampirkan ini dirakam selepas majlis perasmian. Seorang daripadanya, Sdr. Amir telah pun berhenti dari syarikat ini. Tinggallah gambar ini sebagai suatu memori dan rekod sejarah.

Abdul Rahman Janggut


Abdul Rahman Janggut adalah bekas kakitangan yang pernah bekerja dengan saya dari Jun - Dec' 2007. Nama sebenarnya ialah Abdul Rahman Hj. Yahya tetapi menyimpan janggut yang panjang. Bermula dengan interview kerja dan seterusnya berkhidmat, ia meninggal secebis pengalaman & kenangan bersama beliau.


Berasal dari Pasir Mas dan bertugas dengan Jabatan Kesihatan. Kemudiannya, mengambil kursus Safety & Health Officer dan berdaftar sebagai SHO. Semasa beliau berkhidmat di Sarawak, A. Rahman telah berkahwin dengan wanita yang baru convert kepada Islam. Dari perwatakannya, beliau kelihatan seperti penggiat tabligh.


Dari pengamatan saya, beliau adalah seorang yang mempraktikkan `pendidikan berterusan'. Beliau telah mengambil master dalam bidang OHS secara jarak jauh. Kemudiannya, meneruskan latihan `competency' di NIOSH. Agak tegas dalam keputusan dan banyak membuat `saman' kepada pekerja yang tidak mematuhi peraturan EHS. Dalam tempoh 6 bulan tersebut, beliau sempat mengikuti HIRARC Training yang dikendalikan oleh NIOSH di Mieco.


Kenangan Bersama Pengurus EHS


Sejak sekian lama, Jabatan Keselamatan, Kesihatan & Alam Sekitar (EHS) kilang Mieco diletakkan di bawah pengurusan jabatan lain. Termasuklah Jabatan Sumber Manusia dan Kejuruteraan. Ketika saya memulakan kerja pada tahun 2005, EHS ditempatkan dibawah Pengurus QA/RA. Sehinggalah bulan April 2008, pihak pengurusan bersetuju menggajikan seorang Pengurus EHS. Itu pun setelah external auditor yang cadangkan.


Maka, kami semua dapat seorang bos bernama Nurul Syahrizal Abdullah (NSBA). Dulunya, saya ingat dia seorang perempuan kerana ada `nurul' di depan. Sebenarnya, NSBA adalah lelaki, anak watan dari Pasir Mas, Kelantan. Tapi nampaknya tempoh perkhidmatan NSBA tidak lama. Beliau telah meninggalkan Mieco pada Oktober 2008. Kembalilah kami menjadi jabatan tanpa pengurus semula.


Mulai 1 Disember 2008, berkuatkuasa organisasi baru. Saya diminta untuk menjalankan tugas-tugas pengurus bagi Plat 1, 2 & 3. Saya masih menunggu surat dari pihak pengurusan. Dalam masa yang sama, perlu berjumpa dengan GM, Mr Ngai Kwai yang menjadi bos baru kami. Dalam kegawatan sekarang, tugas perlu diteruskan. Semoga Allah permudahkan. Amin !

Pengangkutan Awam Di Malaysia




Selepas kerajaan pimpinan Pak Lah menaikan harga minyak secara drastik, saya sebagai pemilik kenderaan persendirian begitu terasa bebanan (ketika ini, harga minyak sudah diturunkan semula beberapa kali). Sebagai langkah penjimatan, saya telah menaiki kenderaan awam yang meliputi bas ekspres, LRT, teksi dan keretapi. Ya, harga tiket lebih murah berbanding kos minyak untuk perjalanan tersebut. Tetapi, berlaku banyak kehilangan masa yang berharga.




Beberapa kali saya menaiki bas Transnasional dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur. Acap kali bas tidak bergerak mengikut jadual kerana kekurangan penumpang. Terpaksa digabungkan 2 perjalanan menjadi satu. Masa terbuang kerana menunggu. Dalam satu perjalanan dari Alor Star ke Kuantan, berlaku juga kelewatan. Bas telah tergendala lama di terminal kerana menunggu pengesahan bilangan penumpang yang hendak diambil di bandar utama sepanjang perjalanan.




Tiba di Pudu Raya, terpaksa pula bertukar bas. Pemandu yang menunggu marah-marah kerana tidak dimaklumkan tentang kelewatan. Lantas, beliau tidak mahu berhenti semasa perjalanan. Saya hampir terlepas solat subuh. Nasib baik, sewaktu tiba di terminal Temerloh, jam menunjukkan pukul 6.45 pagi. Masih belum naik matahari. Pemandu dan kelindan beragama Islam tetapi kerana nak kejar masa, tak mahu berhenti di masjid.




Semasa bulan puasa, saya menaiki keretapi dari Lipis ke Wakaf Bharu. Keretapi terlewat tiba hampir satu jam. Baru bergerak 30 minit, enjin pula rosak dan terpaksa bertukar keretapi. Masa terbuang lebih dari 3 jam. Jika ada urusan penting atau temu janji, bagaimana kita nak percaya dengan perkhidmatan bas dan keretapi di negara ini. Betul, kerajaan menggalakkan penggunaan kenderaan awam tapi kualiti perkhidmatan perlu ditingkatkan.




Saya memuji servis yang diberikan oleh bas Mara Liner yang saya naiki dari Raub ke Kuala Lumpur. Perjalanan yang menepati waktu dan juga menyediakan majalah berkala untuk bacaan para penumpang yang berminat. Dapatlah `cenderahati' untuk dibawa pulang. Majalah percuma tersebut boleh disimpan untuk bacaan semula pada masa lain.








Kenangan Berbuka Di Pahang Club, Lipis


Syukur alhamdulillah, tahun ini (1429H) dapat mengadakan dua kali majlis berbuka bersama sahabat handai. Pertamanya diadakan di Pahang Club bersama rakan-rakan dari tempat kerja dan satu lagi di surau Kg. Pulau Meranti, Jerteh. Majlis di Pahang Club merupakan program 2 in 1 di mana ia adalah majlis berbuka puasa dan juga kesyukuran selepas memenangi tempat kedua pertandingan menulis esei sempena sambutan Hari Kemerdekaan.


Beberapa survey telah dibuat termasuklah di Hotel Center Point & Hotel Sri Lipis. Kos di hotel-hotel tersebut agak mahal. Bagi membolehkan semua wakil-wakil jabatan dan ahli keluarga hadir, saya telah memilih untuk mengadakan di sebuah restoran di Pahang Club, Kuala Lipis. Tempahan tempat dan menu telah dilakukan seminggu lebil awal.


Ditakdirkan pada hari majlis, terputus bekalan air. Pihak restoran terpaksa mengangkut air dari sumber berdekatan dengan menggunakan lori. Gangguan tersebut telah menyebabkan penyediaan makanan terganggu. Saya sendiri cemas kerana tetamu dah tiba tetapi hidangan belum disediakan. Beberapa kali terpaksa menemui tuan punya restoran untuk memastikan makanan disiapkan.


Dari pemerhatian saya, kelam kabut timbul kerana pihak restoran tersebut masih menerima tempahan berbuka pada hari kejadian. Dalam kepayahan ketiadaan air, saya dapati ramai yang terpaksa menunggu lama untuk berbuka puasa. Sedangkan waktu maghrib adalah singkat. Bagi pengusaha, mungkin untuk tidak mengecewakan pelanggan. Mungkin juga untuk mendapat hasil yang berganda dari tempahan yang luar biasa pada sepanjang Ramadhan.


Syukurlah kerana tetamu saya dapat memahami kerumitan yang timbul. Mereka mula berbuka dengan apa yang berjaya dihidangkan. Setelah hampir selesai makan nasi, barulah kesemua lauk disiapkan. Hati saya sedikit terubat apabila tukang masak memberikan extra sebagai tolak-ansur kekurangan yang berlaku. Dapatlah saya bungkus untuk dibawa balik dan jadikan juadah untuk bersahur.


Puasa dan hari raya telah berlalu. Apa yang berlaku merupakan satu pengajaran dan pengalaman. Kefahaman masyarakat perlu ditingkatkan di mana usahlah terlalu leka berada di tempat berbuka dan melewatkan sembahyang. Yang lebih malang, ada yang hanya datang berbuka tetapi melupakan rukun Islam yang kedua. Sembahyang adalah tiang agama. Ia perlu disempurnakan bagi memastikan ibadat lain diterima Allah. Usah jadikan majlis berbuka sebagai adat semata-mata.

Thursday, November 27, 2008

Permainan Futsal


Zaman yang berubah turut mengubah permainan di kalangan penduduk negara. Semasa saya kecil dan bersekolah rendah sekitar tahun 1975-1980, permainan pilihan pada masa itu ialah guli, berlaga biji getah, lastik gelang getah, tukar tiang, lompat gelang getah, main sorok-sorok, perang ala combat dan lain-lain. Di sekolah kampung, bola adalah permainan popular. Ada juga bermain badminton dalam kebun getah di mana jaring diikat pada dua batang pokok.


Kini, antara permainan pilihan ialah futsal. Saya tidak mendalami sejarah kelahiran sukan ini. Yang saya pernah dengar menerusi radio, bola sepak berasal dari negara China. Banyak gelanggang futsal telah disediakan. Dari pengamatan saya, ramai juga yang telah menjadi usahawan Futsal Court. Sebagaimana permainan lain, ia merupakan aktiviti riadah yang baik. Selain dapat mengeluarkan peluh, ia boleh mengeratkan persaudaraan dan semangat kesukanan.


Pada 9 November 2008 yang lalu, saya hadir melihat pertandingan futsal di kalangan pekerja Mieco. Ia diadakan di gelanggang terbuka di Taman Bakti, Padang Tengku. Seronok juga dapat menyaksikan perlawanan tersebut, sambil mempelajari kaedah permainan. Memang, ada sedikit perbezaan berbanding dengan bola sepak walaupun kedua-duanya menggunakan kaki.


Gelanggang futsal di Padang Tengku dibina dengan menggunakan permukaan konkrit yang agak kasar. Ia boleh mencederakan pemain yang jatuh. Saya pasti ia adalah satu projek untuk belia. Namun, mungkin kelemahan pemantauan, pihak kontraktor telah mengabaikan soal keselamatan semasa menyiapkan gelanggang tersebut.

Banjir di Lipis


Kuala Lipis adalah bekas ibu negeri Pahang, sebelum dipindahkan ke Kuantan. Bandar ini terletak di kawasan berbukit, di pertemuan dua batang sungai iaitu Sg. Jelai dan Sg. Lipis. Sempena dengan musim tengkujuh, jabatan kajicuaca telah memberikan amaran bahawa beberapa daerah seperti Kuantan, Pekan, Temerloh & Bera akan menghadapi risiko banjir. Lipis dan Cameron Highlands tidak masuk senarai.


Namun, Allah Maha Berkuasa dan tidak berhajat kepada makhluk. Tanpa diduga, selepas hujan lebat selama 2 malam, perkampungan di pinggir Sg. Jelai seperti Kg. Beralas, Seberang Jelai, Bukit Betong dan Lubuk Kulit telah dinaiki air pada 26 November 2008. Begitu juga dengan perkampungan di pinggir Sg. Lipis seperti Binjai dan Salang. Sehingga 27 November 2008, seramai 84 orang terpaksa dipindahkan samada ke pusat pemindahan atau ke rumah sanak saudara.


Seramai 14 orang pekerja kilang Mieco terlibat di mana rumah atau kampung mereka mengalami bah. Bantuan berbentuk hamper barangan dapur telah disumbangkan oleh pihak syarikat bagi meringankan beban para pekerja yang menerima dugaan tersebut. Semoga air cepat surut dan tidak berlaku banjir besar selepas ini.

Monday, November 10, 2008

Keretapi di Malaysia


Pengalaman naik keretapi bermula setelah saya masuk universiti. Bukan tak mahu naik tapi kenderaan ini tiada landasan di Terengganu. Semasa di UTM, acap kali naik keretapi untuk berulang-alik dari kampus KL ke kampus Skudai. Semasa tamrin di Pulau Pangkor, pun naik keretapi. Setelah bekerja dan kahwin, ada juga pengalaman beberapa kali naik keretapi. Maklumlah masa tu (1992) belum ada kereta sendiri. Masa berduit, naik kapal terbang untuk ke Kota Bharu.


Di antara kesulitan naik keretapi kelas 3 ialah tiada tempat duduk. Tiket ada, tapi tempat duduk kena cari sendiri. Pernah naik dari Kuala Lumpur dan berdiri @ bersila di atas lantai sehingga tiba di Kelantan kerana kesesakan penumpang. Lagi satu, tak jumpa tempat sesuai untuk mengerjakan solat. Namun, keretapi di Malaysia kini dah banyak berubah. Dah ada KTM Komuter yang menggunakan kuasa elektrik. Di samping tu, dah ada kemudahan monorail dan LRT di Kuala Lumpur.

Terbaru, semasa puasa 1429H, saya naik keretapi dari Lipis ke Wakaf Bharu Kelantan. Bukan apa, sekadar nak imbas memori lama. Malam tu, keretapi lambat tiba. Sepatutnya pukul 2, tapi terlewat 1 jam. Selepas berjalan beberapa kilometer, enjin pula rosak. terpaksa bertukar keretapi di Merapoh. Saya terlewat lebih 3 jam dan tiba di Kota Bharu dah dekat waktu Zohor. Tapi, yang saya rasa gembira ialah telah ada disediakan surau bersebelahan dengan kafe. Dapat tunaikan solat subuh dengan lebih selesa. Cuma yang menyedihkan ialah tak ramai penumpang yang bangun bersolat walaupun mereka sedang berpuasa.