Tuesday, August 19, 2008

Berita Gembira Menjelang Sambutan Merdeka




Tanpa disangka, saya telah dihubungi oleh Tn Syed Mohd Zakir, S/U Persatuan Penulis Nasional & memaklumkan esei yang saya tulis pada Oktober 2007 mendapat perkenan juri pertandingan. Berita gembira tersebut disahkan selepas saya menerima surat jemputan ke majlis penyampaian hadiah pada 22 Ogos 2008. Saya sekali lagi terkejut selepas dimaklumkan oleh seorang kawan bahawa gambar saya tertera dalam Utusan Malaysia. Alhamdulillah, saya kini lebih bersemangat untuk terus menulis dan menyampaikan mesej dakwah menerusi tinta dan media elektronik (e-mail, ebook & blogger).


Sunday, August 17, 2008

Latihan Memasuki Ruangan Terkurung


Saya telah mengikuti Latihan Keselamatan Ruangan Terkurung yang disampaikan oleh En Khairuddin Hairan (SHO: 008) pada akhir Julai 2008. Kursus dua hari itu telah memberi pengetahuan mengenai ciri-ciri ruangan terkurung, sistem permit, authorized gas tester, stand by man dan sebagainya. Sesi teori disampaikan di Centerpoint Lipis, manakala latihan praktikal telah dijalankan di dalam kilang Mieco. Peserta telah diajar cara-cara menggunakan peralatan pernafasan, menguji gas dan menyelamat mangsa.

Majlis Perpisahan Zainisham


Saya kehilangan seorang lagi kawan, Sdr. Zainisham yang meninggalkan Mieco untuk bekerja di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Beliau bertugas sebagai Mekanik telah banyak membantu Jabatan EHS terutama semasa pemeriksaan memperbaharui Sijil Kelayakan Mesin yang dilakukan oleh JKKP Pahang. Kenangan tragis bersama beliau adalah kes percikan minyak panas dari Thermal Oil Header pada awal tahun ini. Syukur kerana beliau cuma cedera ringan.

Friday, August 15, 2008

Ziarah Pesakit Angin Ahmar


Saya berkesempatan menziarahi Sdr. Roslan, 46 di Kg. Telemin yang telah diserang penyakit angin ahmar sejak 3 bulan yang lalu. Beliau adalah pekerja QC, Mieco. Setelah diserang strok, beliau telah lumpuh. Pelbagai ikhtiar dilakukan untuk sembuh termasuk mendapat rawatan di Hospital Tengku Anis, Pasir Putih, Klinik Dr. Safiah di Jerteh dan secara tradisional. Beliau kini beransur pulih tetapi belum mampu kembali bekerja. Di samping itu, beliau minum produk Healin sebagai penawar tambahan.

Kursus Penulisan IKIM


Pada 14 Ogos 2008, saya menghadiri kursus penulisan rencana untuk majalah dan buku di IKIM. Sebanyak 3 kertas kerja dibincangkan. Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Sdr M. Fuad Razali dari Media Relations Services. Beliau menerangkan mengenai proses penulisan rencana yang meliputi 3 peringkat (sebelum, semasa & selepas). Kertas kerja kedua dibentangkan oleh kakitangan IKIM mengenai tanggungjawab & adab sebagai seorang penulis. Beliau turut menghuraikan tentang penulis yang disebut sebanyak 6 kali di dalam al-Quran. Sdr Fuad turut mengemukakan contoh-contoh rencana yang boleh menarik minat pembaca.

Tuesday, August 12, 2008

Melawat Kilang Makanan Udang




Pada 7 Ogos 2008, bersama dengan 25 orang anggota rombongan, saya telah berpeluang melawat kilang memproses makanan udang di Pantai Merdeka, Kedah. Kilang tersebut milik Majuikan dan didirikan dengan kos RM5 juta. Terdapat 17 orang pekerja dan ia menghasilkan makanan udang untuk semua peringkat iaitu dari tahap penetasan sehingga matang. Taklimat telah disampaikan oleh Eksekutif Kawalan Mutu syarikat tersebut.


Sejenak di Tanjung Dawai, Kedah


Dari Pantai Merdeka, Sg. Petani, saya bersama 4 orang kawan telah menaiki bot ke Tanjung Dawai, Betong, Kedah pada 6 Ogos 2008. Tambang sehala bot hanya RM12 untuk 6 orang (RM2 seorang). Bot memecut lacu dan mengambil masa 2 minit untuk tiba di jeti. Tanjung Dawai merupakan destinasi yang sesuai untuk membeli produk berasaskan hasil laut. Terdapat pelbagai pilihan ikan kering, bilis, udang, belacang, kerepuk, satey ikan dan sebagainya. Harga adalah berpatutan dan majoriti peniaga adalah bumiputera.

Sunday, August 10, 2008

Kursus Membuat Makanan Ikan


Pada 5-7 Ogos 2008, saya berkesempatan menghadiri Kursus Penyediaan Makanan Rumusan untuk ternakan ikan yang diadakan di Institut Akuakultur Marin di Pulau Sayak, Kedah. Peserta telah didedahkan tentang formulasi pelbagai makanan ikan samada ikan air tawar, air payau dan air masin. Peserta juga berpeluang menjalankan latihan praktikal bagi menghasilkan makanan jenis pellet berdasarkan formulasi yang ditetapkan. Kursus ini bertujuan untuk melahirkan usahawan akuakultur yang mahir.

Thursday, August 7, 2008

Gotong-Royong Di Kg. Kechor Tui


Pada 1 Ogos 2008, saya berkesempatan menghadiri program khidmat komuniti bersama penduduk Kg. Kechor Tui. Satu gotong-royong membersih kubur telah diadakan dan ia melibatkan pelatih dari INTAN, Pejabat Kesihatan dan Kilang Mieco. Turut hadir adalah wakil kepada YB ADUN Padang Tengku.

Saturday, August 2, 2008

Perihal Masjid Kristal


Masjid merupakan institusi yang penting. Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sewaktu berhijrah ialah membina masjid. Peristiwa Israk-Mikraj juga merakamkan perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Namun, di antara tanda hampir kiamat ialah masjid tidak lagi dimakmurkan. Yang tersergam hanyalah binaan yang indah tetapi sepi tanpa aktiviti. Pada 3 Mei 2008, saya telah melawat Masjid Kristal di Pulau Wan Man. Dari pengamatan saya, ia lebih bersifat sebagai mercu pelancongan berbanding dengan pusat ibadah. Ramai yang hadir hanya untuk merakam gambar dari menunaikan solat di dalamnya.




Ekspedisi Sg. Serau, Kuala Lipis




Pada 14 Julai 2007, satu ekspedisi menyusuri Sg. Serau telah dijayakan bersama rakan sekerja. Dari Padang Tengku, kami bertolak ke Kuala Medang dengan menaiki kereta. Kemudian, bergerak ke hulu Sg. Serau menaiki perahu yang dipacu oleh enjin sangkut. Air sungai agak keruh kesan dari aktiviti pembalakan. Selepas satu jam perjalanan, kami membina khemah di tebing sungai dan menyediakan keperluan memasak. Kemudian, diikuti dengan aktiviti memancing. Tak banyak ikan yang diperolehi kerana air besar. Pada sebelah malam, beberapa orang telah keluar memburu rusa tetapi tidak berhasil. Hujan telah turun dengan lebat dan memaksa kami memindahkan khemah ke tempat yang lebih tinggi. Ekspedisi dua hari tersebut telah memberikan satu pengalaman yang berharga.


Kesedaran Alam Sekitar


Dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, satu kempen kesedaran alam sekitar telah dijayakan bersama pelajar SMK Padang Tengku. Mereka telah datang melawat kilang Mieco dan kemudiannya menyertai pertandingan melukis bertemakan alam sekitar. Semoga anugerah alam sekeliling dipulihara sentiasa.