Friday, September 19, 2008

Tazkirah Ramadhan 1429H


Badan Kebajikan Ehwal Surau Mieco telah menjemput Tn Hj Abu Talib Abd Ghani dari Kg. Relong untuk menyampaikan tazkirah Ramadhan. Beliau telah memulakan majlis dengan menyatakan bahawa umat Nabi Muhammad SAW adalah umat yang bertuah. Mereka diberikan banyak kelebihan dan tidak diberikan kepada umat terdahulu. Mengenai puasa, ia difardhukan kepada umat nabi terdahulu dan Nabi Akhir Zaman. Puasa bermaksud menahan diri dan ia merupakan suatu perintah Allah. Ustaz Abu Talib telah menghuraikan erti tersirat dalam kalimah Ramadhan. Huruf `ra' bererti ridwanullah iaitu keredhaan Allah; huruf `mim' bererti ma'firatullah iaitu keampunan Allah; huruf `dhad' bererti `dhomanullah' iaitu jaminan Allah; huruf `alif' bererti `ulfatullah' iaitu dijinakkan hati oleh Allah; dan huruf `nun' bererti najatun min an-nar iaitu terlepas dari api neraka.

Berbuka Puasa Bersama Dato' Moiz


Pada 16 Ramadhan 1429, Pengerusi Mieco, Dato' Hj. Mohd. Moiz J.M. Ali Moiz telah datang ke kilang di Kechau Tui untuk berbuka puasa bersama dengan warga kerja. Majlis sebegini diadakan secara tahunan. Dari pengamatan saya, beliau adalah seorang yang sangat menjaga pengambilan makanan. Sewaktu hendak berbuka, beliau mengingatkan supaya menjamah apa yang ada. Di depan beliau hanya ada kurma, pisang dan sebekas kecil bubur. Beliau turut mengingatkan pengurus non muslim supaya berpuasa supaya kesihatan terjaga. Beliau hanya makan sedikit sahaja dan kemudiannya bertanya khabar dan bertukar-tukar fikiran bersama dengan pekerja yang hadir.

Monday, September 15, 2008

Era Gambar Digital


Masih teringat betapa gembiranya saya sekitar tahun 1970an dulu kerana dapat bergambar dengan ahli keluarga. Masa tu, gambar masih versi hitam putih. Semasa saya bersekolah rendah, cikgu terpaksa panggil juru kamera luar untuk datang ambil gambar. Kini, segalanya sudah berubah. Ramai orang dah memiliki kamera yang ditambah dengan pelbagai fungsi seperti telefon, radio dan sebagainya. Yang berduit, tak perlu lagi ke kedai gambar untuk mencuci filem. Gambar digital boleh disimpan atau dicetak dengan warna-warni di rumah masing-masing. Kalau dulu, nak buat passport dan IC kena bawa gambar. Sekarang dah tak perlu lagi. Digital kamera telah disediakan. Seterusnya, teknologi kamera berkembang kepada perakam video dan CCTV. Awas, kini aksi kita boleh dirakam. Perbuatan kita boleh diperhatikan. Dengan teknologi satelit, kedudukan kita boleh dirakam dari angkasa. Dengan gambar yg dirakam, membuatkan menteri meletak jawatan kerana suatu perbuatan tak bermoral yg didedahkan kepada umum. Namun, teknologi `super impose' membolehkan gambar dan maruah kita diperlakukan. Mereka boleh mencantumkan wajah kita pada muka orang lain. Kita boleh dibogelkan walaupun gambar asal adalah menutup aurat. Gambar kita boleh dikirim secara bebas walaupun tanpa kerelaan. Menerusi internet, gambar kita boleh dilihat oleh manusia seluruh dunia.

Wednesday, September 10, 2008

Malaysia merdeka ?


Tanggal 31 Ogos 2008 baru berlalu. Ia menandakan detik kemerdekaan bagi Semenanjung Tanah Melayu. Pada 16 September 1963, Sabah dan Sarawak mendapat kemerdekaan setelah bersetuju membentuk Malaysia. Maka timbul polemik, tarikh mana sepatutnya Malaysia sambut Hari Kebangsaan.


Walaupun penjajah telah kembali ke England tapi peraturan mereka (yang digubal oleh Suruhanjaya Reid) masih digunapakai. Di samping itu, erti kemerdekaan perlulah difahami. Merdeka menurut Islam ialah membebaskan diri dari perhambaan sesama makhluk dan menghambakan diri hanya kepada Tuhan segala makhluk. Maka, ada ustaz yang bertanya adakah kita tidak merasa bersalah terhadap Allah kerana masih tidak mendaulatkan perundangan Islam di negara yang kita perintah semenjak 51 tahun ?

Tuesday, September 9, 2008

Kemudahan di Biro Tata Negara Lipis


Bersama dengan dua orang pegawai Mieco, saya berpeluang memasuki kem BTN Kuala Lipis. Hajat sebenar kami adalah untuk mencari tempat untuk mengadakan Hari Keluarga Mieco. Mengikut pegawai yg bertugas, tempat tersebut boleh disewakan untuk mengadakan program-program tertentu dan tertakluk kepada kelulusan dari BTN Negeri di Kuantan. Kami telah dibawa melawat kemudahan surau, dewan, auditorium dan rumah penginapan. Pada pandangan saya, tempat tersebut amat sesuai untuk program latihan lasak dan juga latihan dalaman (kuliah). Kem ini turut dijadikan tempat latihan pelatih PLKN. Kedudukannya di atas puncak bukit dan mempunyai kolam yang besar memberikan satu keunikan yang tersendiri.

Bersama Tuan Qadi Lipis


Baru-baru ini, kami sempat menjemput Tuan Qadi Lipis yang baru, al-fadhil Ust Fazli Mat Saman untuk menyampaikan tazkirah di Mieco. Beliau telah mengupas tajuk `Pendidikan Diri Sepanjang Ramadhan. Beliau memulakan majlis dengan mengimbau kesukaan manusia hari ini iaitu duit, pangkat dan pasangan. Manusia makin longgar dengan pegangan agama. Beliau mengingatkan bahawa tanpa aqidah, kita akan hanyut. Mengenai puasa Ramadhan, ia bukan suatu deraan. Jika kita tak puasa, Allah tak rugi. Kitalah yang rugi. Katanya, puasa boleh mendorong kita mengenal diri. Firaun tersesat jauh kerana tak pernah mendapat sakit. Menerusi ujian lapar dan dahaga, kita boleh kenal diri. Di samping itu, puasa boleh sihatkan badan. Beliau mengingatkan supaya jangan makan banyak kerana ia memudaratkan. Dikatakan bahawa banyak penyakit adalah berpunca dari perut (pemakanan).

Monday, September 1, 2008

Ramadhan al-Mubarak

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memberikan kesempatan untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan. Di masjid, surau dan musolla , kehadiran ahli jamaah begitu ramai. Pada bulan biasa, kehadiran ahli jamaah hanyalah 1 saf. Dalam kita merebut tawaran sepanjang Ramadhan, jangan lupa bahawa kita sedang mengikuti satu latihan intensif. Jika bilangan saf pada bulan Syawal nanti bertambah berbanding sebelum puasa, maknanya kita telah berjaya membuat satu perubahan dalam konteks solat berjamaah.

Ibadat puasa juga dihiasi dengan pesta makanan dan minuman yang dijenamakan sebagai `Bazar Ramadhan'. Hinggakan, penceramah menyindir bahawa Ramadhan al-Mubarak telah bertukar menjadi `al-murtabak'. Terdapat banyak iklan dari hotel-hotel yang menawarkan buffet berbuka puasa. Betul, menganjurkan majlis berbuka, besar pahalanya. Namun, yang banyak terjadi, setelah berbuka, mereka berborak atau menyedup asap rokok. Maksudnya, selepas berbuka tidak disusuli dengan solat maghrib berjamaah.

Ini adalah cabaran umat Islam masa kini. Maka, seruan untuk kembali kepada Islam adalah usaha untuk kembali kepada Islam yang asli, yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Dan bukan Islam yang dijelmakan mengikut fikiran dan selera sendiri.