Tuesday, October 7, 2008

Penyakit Angin Ahmar


Dulu, saya hanya terbaca tentang penyakit angin ahmar. Namun, kini ia begitu kerap berlaku di depan mata. Pada tahun 2006, saya melawat isteri seorang pengurus Mieco di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan yang tidak sedarkan diri akibat serangan angin ahmar (stroke). Selang beberapa hari, beliau meninggal dunia. Sebelum itu (2004), ibu mertua adik ipar saya diserang stroke. Beliau juga tidak sedarkan diri. Saya menziarahinya di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Pada 23 Mei 2008, saya dikejutkan pula dengan emel bahawa seorang pekerja Mieco lumpuh akibat serangan stroke (mati sebelah kiri). Beliau, Roslan Abdullah baru berumur 46 tahun. Beliau diserang stroke ketika berada di rumah sewa di Kg. Telemin.


Ahli keluarga menghantarnya ke Hospital Daerah Lipis. Bapa dan abangnya dari Kelantan datang dan membawa balik ke Pasir Putih. Berubat di Hospital Tengku Anis dan juga klinik swasta serta tradisional. Nampaknya, umur masih panjang. Selepas bercuti selama 106 hari, beliau datang bekerja walaupun masih belum pulih sepenuhnya. Sebelum diserang stroke, beliau mengidap penyakit darah tinggi. Walaupun telah habis bercuti, tahap kesihatan beliau belum menjamin untuk diberikan tugas seperti sebelumnya.


Yang lebih mengejutkan, pada 4 Julai 2008, bapa saya sendiri diserang stroke. Beliau adalah pengidap penyakit kencing manis yang serius sejak tahun 2004. Sehari sebelum kejadian, ayah datang ke Hospital Daerah Besut untuk rawatan rutin kencing manis. Doktor menasihati ayah supaya masuk wad kerana keadaan kesihatan yang tidak begitu baik. Tapi, ayah berkeras untuk balik ke rumah. Malam itu, stroke menyerang dan menyebabkan lumpuh sebelah kanan. Kini, masih lagi terlantar di rumah. Saya sendiri dah tak dapat memahami apa yang diucapkan kerana mulut dah kaku sebelah.


Fahamlah saya betapa bahaya penyakit 3 serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung. Namun, sehingga saat ini saya masih belum serius untuk mendapatkan tahap kesihatan yang terbaik. Berat badan perlu diturunkan. Senaman perlu dilakukan secara rutin. Tahap kesihatan perlu diperiksa secara berkala.