Friday, December 26, 2008

Health Tips - En. Samsudin

Sebagai tanda penghargaan kepada En Samsudin (Ast Mgr, Store), saya abadikan satu petikan email beliau mengenai tips kesihatan.

Health - Important Tips

1) Answer the phone by LEFT ear

2) Do not drink coffee TWICE a day

3) Do not take pills with COOL water

4) Do not have HUGE meals after 5pm

5) Reduce the amount of OILY food you consume

6) Drink more WATER in the morning, less at night

7) Keep your distance from hand phone CHARGERS

8) Do not use headphones/earphone for LONG period of time

9) Best sleeping time is from 10pm at night to 6am in the morning

10) Do not lie down immediately after taking medicine before sleeping

11) When battery is down to the LAST grid/bar, do not answer the phone as the radiation is 1000 times

12) Forward this to those whom you CARE about!


Thursday, December 25, 2008

Pengawasan Perubatan

Di Malaysia, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 mewajibkan program pengawasan perubatan (medical surveillance) sekiranya pekerja terdedah dengan bahan-bahan kimia berbahaya. Alhamdulillah, saya telah berjaya menganjurkan program tersebut dengan bantuan kepakaran dari Dr Yasrizal dan Dr Wahid dari Occumed, Kuantan.

Bagi sebuah kilang yang baru, pertama sekali hendaklah melakukan Chemical Health Risk Assessment. Ia perlu dilakukan oleh Assessor yang diiktiraf oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Sekiranya penaksiran risiko mendapati pendedahan berlaku pada kadar munasabah, maka langkah seterusnya ialah menjalankan program `exposure monitoring'. Program ini akan mengukur tahap sebenar pendedahan pekerja terhadap sesuatu bahan kimia berbahaya.


Kawasan kerja yang mempunyai kadar pendedahan yang melebihi had yang dibenarkan perlu mengambil langkah-langkah kawalan. Terdapat 6 hiraki kawalan mengikut keberkesanan iaitu penghapusan hazad, penggantian, pengasingan, kawalan kejuruteraan, kawalan pentadbiran dan akhir sekali ialah memakai peralatan perlindungan diri (PPE).


Pengawasan perubatan dilakukan ke atas pekerja untuk mengesan sebarang kemungkinan mendapat keracunan dan kesan kesihatan yang berpunca dari terhidu, tersentuh atau termakan bahan-bahan kimia berbahaya di tempat kerja. Laporan pengawasan perubatan akan membantu majikan dan pekerja menjalani rawatan awal sekiranya dinasihatkan berbuat demikian.

Cahaya Mata - Anugerah & Amanah


Selepas dinikahkan dengan gadis pilihan sendiri (program baitul muslim UTM) pada tahun 1992, saya kini telah mempunyai 5 orang cahaya mata. 2 putera, 3 puteri. Kehadiran mereka telah mengukuhkan ikatan perkahwinan yang terbina selama 16 tahun. Kelahiran mereka seumpama kain putih dan kamilah yang memikul amanah untuk mencorakkannya mengikut celupan agama. Satu tugas yang berat dan tidak semudah bercakap dan melihat semata-mata.


Anak sulung, Muhammad Amirul Aiman dilahirkan oleh uminya di Hospital USM Kubang Kerian. Sewaktu kelahirannya, saya tiada di sisi kerana bertugas di Sg. Buloh. Anak kedua, Muhammad Hafizul Hukmi lahir di rumah Tok Ayah (atok) di Besut. Saya juga tidak sempat menyambut kelahiran kerana out station di Pasir Gudang. Selepas kelahiran anak kedua, saya meminta uminya melepaskan jawatan di Kementerian Kesihatan dan menumpukan perhatian kepada anak-anak.


Semasa bertugas di Samsung Corning S/B, saya mendapat 3 orang puteri iaitu Nur Najwa Imani, Nur Husna Hakimi dan Nur Irdina. Najwa dan Husna dilahirkan di Kelantan. Hanya Irdina yang lahir di Seremban dan saya berkesempatan untuk pertama kalinya mengalunkan azan selepas Irdina dilahirkan. Hajat sebenar untuk berada di sisi isteri di bilik bersalin tetapi tidak sempat. Selepas parking kereta, saya dimaklumkan bahawa isteri telah selamat melahirkan bayi.


Mereka semua semakin membesar. Saya masih ingat kenangan membawa anak sulung saya berjogging di tepi jalan ke Padang Golf Rahman Putra di Sungai Buloh. Kini, Amirul sudah berusia 15 tahun. Begitu pantas masa berlalu walaupun saat saya menimangnya dan meletak di atas bahu, masih terasa baru.


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami, isteri dan anak-anak yang menyejukkan hati. Pilihlah kami semua untuk menerima hidayahmu. Jauhilah kami dari siksaan api neraka yang pastinya terlalu azab dan tidak mampu kami tanggung. Amin Ya Rabbal A'lamin.

Ikan Di Laut, Asam Di Darat


Ikan di laut, asam di darat, namun dalam periuk mereka disatukan menjadi lauk yang enak. Begitu tepat misalan yang dibuat oleh generasi terdahulu tentang jodoh. Jika sudah ditakdirkan, pasangan teruna dara akan bertemu jodoh jua walaupun menghadapi tentangan dan rintangan.


Sewaktu saya bertugas di Seremban, tiga orang bertemu jodoh dengan orang Nogori. Pertamanya, adik saya sendiri. Gadis Jerteh bertemu jodoh dengan pemuda Tampin. Pertemuan awal sekadar di BSN Taman Tuanku Jaafar dan kini menetap di Ampangan.

Keduanya, adik ipar perempuan. Bertemu jodoh dengan pemuda Mambau. Kini mereka mempunyai dua orang cahaya mata dan menetap di sana. Ketiganya, adik ipar lelaki. Siapa menyangka teruna Kebakat, Wakaf Baru akan bertemu jodoh dengan gadis Seremban. Namun, jodoh mereka tidak kekal. Mereka berpisah walaupun telah dikurniakan seorang cahaya mata.


Adik lelaki saya yang bertugas di Pasir Gudang telah bertemu jodoh dengan seorang gadis keturunan Bugis yang menetap di Taman Air Putih. Pada 19 November 2008 yang lalu, mereka telah di satukan. Walaupun jarak dari Besut dan Pasir Gudang adalah melebihi 600km, tetapi jika Allah telah menetapkan jodoh seseorang, berkahwinlah mereka. Cuma sedikit kekesalan saya kini ialah adik-adik lelaki saya yang sudah `cukup umur' belum lagi mahu mendirikan rumah tangga. Harapnya mereka cepat kahwin dan mendapat zuriat. Nabi Muhammad SAW berbangga dengan ramai umatnya.

Wednesday, December 24, 2008

Keselamatan & Kesihatan Kaki


Dari buku dan rencana yang pernah saya baca, kaki kita sangat penting. Bukan sekadar anggota untuk berjalan dan menampung berat badan, tetapi pada tapak kaki terdapat banyak urat saraf yang penting. Saya pernah mengurut secara refleksologi dan pernah membeli buku tentang teknik rawatan tersebut. Menurut tukang urut, jika kita merasa sakit di bahagian tertentu pada tapak kaki, ia ada kaitan dengan penyakit yang terdapat di dalam badan termasuk jantung dan tenaga batin.


Saya juga pernah mencuba berjalan di atas batu refleksologi yang ada disediakan di taman rekreasi dan juga di sebelah wad hospital. Saya akur bahawa jika saya dapat memijak batu tanpa merasa sakit, kesihatan saya ketika itu adalah baik. Pada waktu yang lain, saya merasa sakit memijak batu itu dan saya akui ketika itu badan saya sedang kebas dan sakit urat.


Iklan mesin pengurut kaki juga ada menyatakan bahawa banyak penyakit bermula dari tapak kaki. Walaupun ianya untuk mempromosi mesin mereka tetapi dakwaan mereka adalah berasas. Dengan itu, sewajarnya kita menjaga keselamatan & kesihatan kaki. Saya sendiri pernah melihat pesakit diabetis, setelah kaki mereka dipotong akibat jangkitan kuman, kesihatan mereka mula terjejas. Kekuatan mereka tidak lagi seperti sebelum kaki dipotong.


Di tempat kerja, kita dimestikan memakai kasut bukan sekadar suatu disiplin dan peraturan tetapi juga sebagai pelindung kaki. Di kilang dan tapak pembinaan, kasut keselamatan wajib mengikut undang-undang. Ia adalah bagi mengelak kecederaan serius jika terpijak sesuatu benda tajam atau ditimpa oleh beban berat.


Saya sendiri sedikit risau kerana baru-baru ini tapak kaki terluka akibat terkena mata kapak. Ia terjadi pada 11 Zulhijjah 1429H sewaktu membantu melapah kepala lembu. Saya cepat-cepat ke klinik untuk menjahit luka tersebut. Alhamdulillah, selepas 10 hari, luka tersebut beransur pulih dan tiada jangkitan kuman. Walaupun saya membelanjakan lebih RM100 tetapi berbaloi kerana saya sudah boleh memijak dan berjalan seperti biasa.

Thursday, December 4, 2008

Kempen Yang Harmoni


Jika berkesempatan melalui jalan Gua Musang-Kuala Lipis, anda berpeluang melihat satu papan kempen yang tiada di tempat lain. Ia berkaitan dengan kempen keselamatan jalan raya dan kempen memakai topi keledar. Yang nampak harmoni ialah terdapat logo-logo parti politik pelbagai ideologi yang tertera di atasnya.


Kemunculan parti-parti politik kerana mereka membawa dasar dan hala tuju yang tertentu. Di pentas pilihanraya, ada yang bergabung dan ada yang bersendirian. Mereka bertembung dalam pilihan raya untuk memenangi hati rakyat.


Namun, keselamatan adalah hak segajat. Abraham Maslow, seorang pengkaji tentang kehendak manusia pun ada memperihalkan kepentingan keselamatan. Alangkah baiknya pendekatan yang dibuat oleh Majlis Daerah Gua Musang untuk mengajak pelbagai pihak yang pastinya mempunyai pengikut untuk bersama-sama menjayakan kempen-kempen seperti keselamatan, peningkatan akademik, budaya hidup sihat-ceria dan sebagainya.


Bersolat di Masjid Brinchang


Bersolat di Masjid Brinchang, Cameron Highlands mengimbau kenangan semasa di Korea. Persamaannya ialah air yang dingin untuk mengambil air sembahyang. Sewaktu salji turun di Korea, air panas diperlukan untuk berwudhuk. Jika bersolat di tempat awam seperti di Masjid Itaewon, kami hanya sapukan air sahaja. Terlalu sejuk.


Sewaktu saya singgah untuk bersolat di Masjid Brinchang, rumai juga para pelancong lain yang hadir bersolat. Ia suatu perkembangan yang baik. Kesedaran dan penghayatan Islam di negara kita nampaknya bertambah baik.


Saya sempat merakam gambar di tepi poster yang mengajak supaya mengeluarkan zakat harta. Saya fikir poster tersebut perlu diperbanyakkan termasuk di daerah lain. Pegawai agama perlu kreatif dalam berdakwah. Poster-poster lain yang berkaitan dengan solat, kempen anti rokok dan seumpamanya perlu juga dicetak dan dipamirkan. Media dakwah kian banyak dan perlu dimanfaatkan.



Ladang Teh Cameron Highlands




Perancangan telah dibuat untuk melawat Cameron Highlands pada 30 November 2008. Walaupun musim tengkujuh telah melanda, ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan konvoi bersama dengan sahabat kilang.



Beberapa tahun dulu, kami sekeluarga telah melawat ladang Teh Boh. Kali ini, kami memilih untuk melawat ladang Bharat. Kedua-dua syarikat memanfaatkan ladang mereka sebagai produk pelancongan. Mereka mendirikan kedai serbaneka yang menyajikan pelbagai minuman teh dan juga menjual bermacam jenis teh.



Kepada anak-anak, mereka dapat mengenali dengan lebih dekat daun teh dan ladangnya. Bukan sekadar minum teh setiap hari tetapi berpeluang melawat industri teh di mana ia ditanam dan dipetik.