Friday, December 4, 2009

Bah dan perubahan


Saya pernah dengar pepatah, "sekali air bah, sekali pantai berubah". Dalam konteks banjir, perubahan itu mungkin dari aspek fizikal seperti kesan hakisan tanah yang berpunca dari aliran air deras. Bergantung kepada kekerapan dan Menyingkap seerah Nabi Nuh (as), Allah telah tenggelamkan kaumnya yang engkar dengan kejadian banjir yang besar. Kini, akibat kesan perubahan iklim global, banjir menjadi tidak menentu dan melanda banyak negara.

Di Malaysia, perubahan angin monson membawa kepada hujan lebat. Hujan yg. berterusan menyebabkan air sungai melimpah. Penduduk terpaksa dipindahkan jika rumah dinaiki banjir. Saya difahamkan, pihak kerajaan akan menghulurkan bantuan RM300 kepada mangsa banjir. Namun, syaratnya mesti berpindah. Jika rumah dinaiki banjir, tapi tak berpindah ke pusat pemindahan, dikatakan gugur kelayakan menerima bantuan.

Kejadian banjir menuntut kita berfikir akan kebesaran Allah. Ada hikmat dan peringatan disebalik kejadian tersebut. Manusia mesti berubah dan kembali mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah...

Aktiviti menderma darah


"Share blood, share life". Itu slogan yg dipamirkan sewaktu saya menderma darah untuk kali ke 16 di Kamsis Ungku Omar, UKM pd 14 Oktober 2009. Slogan itu menuntut kita membantu mengisi Bank Darah bagi menyelamatkan nyawa. Kita berikhtiar, Allah yang menentukan. Setiap hari ada kes kemalangan yang menyebabkan darah mengalir keluar. Ia perlu digantikan segera kerana darah adalah bendalir penting dalam badan.

Saya bersyukur kerana semasa bertugas di Samsung Corning Seremban, ada kempen derma darah. Saya telah memberanikan diri untuk menderma buat kali yg pertama. Alhamdulillah, semuanya beres. Maka, sejak detik tersebut, saya cuba pastikan untuk menyumbang sedikit darah sekurang-kurang sekali setahun. Jom kita menderma. Usah takut kepada jarum...

Thursday, December 3, 2009

Bersama Ultraman


Sejak saya masih kecil dan berkesempatan menonton TV (akhir 1970-an), sudah ada cerita Ultraman. Watak dari Jepun ini menyaingi Spiderman, Batman, Bionic Woman dari Barat. Kini, watak ini terus digilai oleh generasi baru dengan versi spt Taro & Dyna. Jika dulu, gambar Ultraman dimuatkan dalam pek makanan ringan spt Meggi, kini ia boleh dimuat turun menerusi internet. Malah,terdapat pelbagai jenis mainan kanak-kanak.

Tapi, Malaysia belum berjaya melahirkan watak TV yang bertahan lama. Yang ada hanyalah P. Ramlee dan filem-filem lagenda sahaja. Penerbit Kluang man, Cicak man dan Upin-Ipin perlu belajar dari kejayaan watak Ultraman itu.

Walau bagaimana pun, penerusan watak-watak ini membuatkan kanak-kanak, malah orang dewasa terus menghabiskan banyak masa di depan TV atau Games. Maka, para karyawan perlu mencari jalan untuk memasukkan unsur-unsur pendidikan yang bersesuaian. Bukan sekadar berhibur, tapi juga dapat belajar nilai-nilai murni tertentu yg. sesuai dengan ajaran agama.

Syarah Kitab Hikam



Ketika bercuti sempena Hari Raya Haji 1430H, dapat kesempatan ke rumah mertua di Wakaf Bharu. Lepas tu, jumpa sebuah buku baru milik adik ipar, mengenai syarah kitab Hikam. Ia berkenaan dengan ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ringkasnya, ilmu tasawwuf. Jika nak baca karya asal, sukar difahami kerana ditulis dengan menggunakan bahasa lama dan perlu dikupas oleh tok guru, terutama yang mengaji di pondok. Namun, atas usaha Dr Zulkifli al-Bakri, beliau telah menulis semula syarah kitab tersebut dalam gaya kontemporari. Lebih mudah difahami dan jika dapat dikuliahkan oleh tok-tok guru, lebih menambahkan penghayatan.

Sekitar akhir 1980-an, ada kawan yg membacakan kitab tersebut sebagai tazkirah selepas solat subuh, ketika tinggal di rumah sewa (waktu belajar di UTM). Sukar nak faham tapi kawan tersebut telah berjaya memperkenalkannya untuk pertama kali. Pada tahun 2008, ada kesempatan mendengar kuliah kitab Hikam di Kg. Telemin, yg di sampaikan oleh Ust Salehuddin. Tapi, tidak sempat khatam. Semoga kelahiran buku ini dapat mendidik hati ke arah mendekati Ilahi...

Monday, November 9, 2009

OHS di kampus


Kesempatan menyambung pelajaran di UKM memberikan peluang kepada saya meninjau mengenai perlaksanaan program keselamatan dan kesihatan (OHS) di kampus. Apa yang saya pasti, terdapat usaha dan kesedaran terhadap pematuhan kehendak-kehendak Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994. Terdapat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan yang ditubuhkan bagi menggerakkan usaha ke arah mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat. Di papan kenyataan fakulti, saya dapati tertampal senarai AJK tersebut. Terdapat juga laporan bergambar mengenai kursus kesedaran OHS yang dianjurkan.

Secara keseluruhannya, kampus UKM Bangi adalah merupakan tempat kerja yang selamat dan sihat. Namun, terdapat juga hazad-hazad yang perlu diberikan perhatian. Contohnya, keselamatan kebakaran. Sepanjang 6 bulan di kampus, saya sempat mengikuti latihan pengungsian bangunan di perpustakaan Tun Sri Lanang. Di samping itu, saya dapati pemantauan kerja-kerja kontraktor adalah tidak memuaskan. Kontraktor binaan umpamanya, tidak berkasut sewaktu menjalankan kerja mereka.

Di peringkat kampus, saya juga berkesempatan mengikuti Minggu Keselamatan & Kesihatan. Banyak aktiviti yang dianjurkan, tetapi oleh kerana bertembung dengan kuliah, tidak dapat saya sertai semuanya. Yang sempat ialah menyertai senamrobik dan kuiz. Di kampus ini, para pensyarah yang berkepakaran dalam bidang OHS bertindak sebagai perunding di fakulti masing-masing. Sebelum belajar di UKM, saya kenal Dr Ismail Bahari, pakar OHS UKM, tetapi setakat ini belum berkesempatan bertemu atau mendengar `safety talk' daripada beliau di dalam kampus.

Monday, September 28, 2009

YB Taufek & gelombang kebangkitan


Gambar ini saya ambil dari blog YB Taufek, ADUN Paroi. Kami sebaya dan mengambil ijazah pertama dalam bidang chemical engineering. Bertemu kali pertama di Samsung dan seterusnya ke Korea mengikuti latihan industri. Saya bertakbir beberapa kali sewaktu TV umumkan beliau menang di Paroi. Beliau anak jati nogori dan berjaya membawa visi-misi parti ke dewan undangan negeri.

PRK Bagang Pinang amat penting. Jika calon PAS menang, bermakna gelombang kebangkitan sedang melanda kuat N9. Negeri-negeri pantai barat menjadi fokus tsunami politik dan kami mendoakan gelombang buana kebangkitan rakyat akan terus membedai pantai Port Dickson...

Perihal buta


Tersebutlah kisah seorang pemuda yg terpaksa berkahwin dengan gadis buta. Kahwin tersebut sebagai `denda' kerana memakan buah yg hanyut di sungai, milik keluarga si gadis. Pemuda soleh itu pasrah menerima bakal isteri seadanya. Saat malam pertama pun tiba. Namun, pemuda terkejut kerana menyangka masuk bilik yang salah. Gadis yg sedang menunggu seorang yg celik dan sempurna. Lantas bapa mertua beritahu, `buta' yg disebut itu ialah anaknya tak pernah memandang sesuatu yg haram. Hebat !

Kini, muda-mudi kita belum kahwin lagi dah macam ada ikatan sah di sisi agama. Ini juga buta (tak nampak kebenaran). Ada juga sampai tahap merangkul teman wanita. Ditonton jutaan peminat TV. Namun, masyarakat tak bising perlakuan tersebut. Adakah terlalu ramai antara kita yg buta hati ?

Raya Adat vs Ibadat


Hari raya puasa adalah hari kebesaran dalam Islam. Antara ibadat yg telah ditentutan ialah mandi sunat hari raya, solat raya & khutbah raya. Antara larangan yg juga merupakan satu ibadat ialah tak dibenarkan sesiapa berpuasa pd hari raya. Rumah terbuka menjadi adat. Buat ketupat-lemang juga budaya musim raya. Namun, malang juga jika adat di hari raya tidak serasi dengan syariat. Gambar yang dilampirkan adalah isteri pemimpin parti Melayu yang buat rumah terbuka di Bagang Pinang. Maklumlah, pilihan raya kecil nak diadakan untuk menggantikan YB yg telah pergi. Cuma, isteri ketua negara belum dapat hidayat untuk tutup aurat. Beraya krn Allah. Tutup aurat krn Allah. Tak buat, seerti dengan lawan... nauzubillah

Sunday, September 27, 2009

Mengangkasa bangsa


Utusan Malaysia menyiarkan sekeping gambar Dr Sheikh Muszaphar Shukor (Dr SMS)yang mengunjungi rumah terbuka Tun Mahathir. Sudah lama tidak dengar berita tentang angkasawan negara itu. Setelah Malaysia berbelanja besar untuk menghantarnya ke ISS pada Oktober 2007, tiada liputan aktiviti Dr SMS menjelajah negara mutakhir ini. Saya tidak pasti adakah ia berkait dengan dakwaan `bayaran ceramah' atau beliau kini diberikan tugasan lain.

DS Najib kini mempromosikan 1Malaysia. Sebelum jadi PM, beliau mengemukakan konsep Melayu Glokal dan seterusnya mengangkasa bangsa semasa perhimpunan ahli parti di PWTC. Waktunya telah tiba untuk beliau kotakan apa yang dikata. Tapi, projek menghantar angkasawan ke 2 mungkin KIV dengan kegawatan sekarang. Terlepaskah peluang Dr Faiz ?

Dalam kerancangan slogan rakyat didahulukan, tiba-tiba timbul pula cadangan menjelmakan pasukan F1 1Malaysia. Belanjanya pastinya besar. Siapa yang diutamakan sekarang - rakyat atau F1 ?

Wednesday, September 16, 2009

Terkenang wau bulan


Seperti kata pepatah, lain ulu, lain parang, lain dulu, lain sekarang. Permainan tradisi Melayu kini kian hilang ditelan zaman. Kenapa begitu kuat sekali pengaruh computer games, komik kontemporari dan pelbagai saluran TV?. Sekitar tahun 1970-an, adalah menjadi kelaziman kami bermain wau. Tok nenek perturunkan ilmu bagaimana nak membuat wau kikit dan juga wau bulan. Boleh terbang tinggi, hinga mencapai awan. Namun kini, permainan wau cuma ada sekali sekala sewaktu pertandingan permainan rakyat atau promosi pelancongan. Wau kini cuma menjadi barang hiasan di kedai kraftangan. Permainan ini wajar diselamatkan. Semasa saya melawat Jepun, kerajaan Nippon ada tubuhkan Budokan untuk kekalkan tradisi seni mempertahankan diri mereka. Mereka tidak mahu kemahiran ninja hilang begitu sahaja. Sebenarnya masih ada padang untuk bermain wau walaupun di taman. Permainan wau ini wajar diwariskan kepada generasi muda. Sesekali pergi ke pantai, terdapat juga mereka yang menjual wau. Tapi wau tersebut telah disaluti unsur moden. Dalam era ekopelancongan masa kini, warisan dan permainan rakyat adalah suatu yang bernilai tinggi.

Rumah mesra alam


Alhamdulillah, pembinaan rumah kami di atas sebidang tanah warisan yang bermula pada 30 Mac 2009, berjalan lancar. Setelah 17 tahun mengharungi hidup di luar kampung halaman dan tinggal di taman perumahan, kami kini mengimpikan sebuah rumah yang di kelilingi oleh kehijauan persekitaran dan kicauan burung serta unggas di kala pagi dan petang. Kawasan yang bebas daripada pencemaran udara serta pencemaran pandangan mata. Mungkin rumah ini belum dapat disiapkan sepanjang tempoh saya melanjutkan pelajaran (2009-2010). Namun, ikhtiar akan dilakukan untuk menyambung kerja-kerja tersebut pada tahun depan. Jika umur panjang dan rumah telah berjaya disiapkan, akan bermula satu lagi pengalaman baru dalam hidup. Amin !

Tuesday, July 21, 2009

Penghargaan semasa dan selepas hayat


Hari ini (21.7.09), kami tiada kuliah pada waktu pagi kerana pensyarah menghadiri konvokesyen khas dan pemasyhuran Canselor baru. Pak Lah yang kini berpangkat Tun menerima ijazah kehormat. Tahniah ! Di Malaysia ni, ada yang dapat PhD dengan belajar. Ada juga yang menerimanya kerana berjasa.

Begitu juga dengan pingat. Ada yang menerima semasa hayat. Dan ramai juga yang menerimanya selepas beliau dah tiada lagi di dunia ini. Pelik tapi benar. Kenapa selepas mati baru hendak di kenang jasa ? Lagi satu, ramai lagi yang masih hidup (terutama ulama') tetapi tidak masuk senarai orang yang diiktiraf jasanya.

Wednesday, July 15, 2009

Kenangan bersama Ustaz Rock


Akhbar online hari ini (15.7.09) menyiarkan berita penceraian talak satu Ustaz Akhil Hayy. Betul, itu masalah peribadi. Semoga ada hikmah di sebalik perpisahan tersebut. Sebagai salah seorang peminat ceramah dan nasyid beliau, berita keruntuhan rumah tangga seperti ini memang tidak seronok untuk didengar.

Saya sendiri ada pengalaman `live' bersama beliau. Cerita ini berlaku di UPU Kg. Tempoyak, Pendang, Kedah. Selepas kematian Dato' Fadzil Noor, telah diadakan 2 pilihan raya kecil iaitu parlimen Pendang dan DUN Anak Bukit. Saya bersama kontigen Negeri Sembilan bertugas di UPU Kg. Tempoyak.

Satu program ceramah telah diadakan di UPU tersebut. Saya menjadi pengerusi majlis. Majlis itu agak bersejarah kerana Umno-PAS membuat ceramah secara berhadapan (dipisahkan oleh jalan raya sahaja). Maka, berlakulah cabar-mencabar. Antara yang berceramah pada malam itu ialah Dr Rosli Yaakob dan Ustaz Yaakob Hussain.

Penceramah kemuncak ialah Ustaz Akhil Hayy. Namun, lama menunggu tetapi bayangnya belum kelihatan. Saya sebagai pengerusi agak kelam kabut. Masa hanya tinggal 30 minit sebelum jam 12 malam. Syukur kepada Allah, beliau dapat juga hadir dan menyampaikan satu ceramah yang bertenaga dan memukau para hadirin.

Saturday, July 11, 2009

Pak Ngah Harun Mengadap Ilahi


Semalam, 20 Ramadhan 1430/10 September 2009, bapa saudara saya, Harun Ismail telah kembali ke rahmatullah. Inna lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiuun. Sekitar tahun 1976, beliau bersama keluarga terpilih menyertai Felda di Tementi, Triang, Pahang. Waktu itu saya masih di sekolah rendah di Besut, Terengganu. Setelah masuk UTM dari 1986 hingga 1992, saya selalu ke Tementi sewaktu semester break. Tolong beliau dan keluarganya berniaga di kedai runcit dan pasar basah. Kerana rapatnya hubungan itu, saya memilih untuk menjalani latihan praktikal di Kilang Sawit Tementi. Setelah saya bekerja dan berkahwin, saya tiada peluang ke Tementi. Antara sebabnya mungkin perceraian Pak Ngah Harun dengan isterinya, Zainab Deraman (mak saudara. Sehinggalah mendapat berita beliau tidak sedarkan diri setelah terjatuh sewaktu mengait buah kelapa pada awal tahun 2009, barulah saya menziarahinya di Tementi. Kemudian, beliau telah dibawa pulang oleh anaknya Mohd Anuar ke Besut, Terengganu dan meninggal di negeri kelahirannya. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah swt. Amin.

Rakyat bijak membuat penilaian


Media elektronik dan cetak hari ini memberikan liputan khas terhadap sambutan 100 hari DS Najib menjadi PM. Terdapat pro dan kontrak terhadap jasa beliau selepas 3 bulan memimpin Malaysia. Berita Edisi 7 pada 10 Julai 2009 melaporkan bahawa peratusan sokongan terhadap kepimpinan DS Najib meningkat berbanding dengan undian pada Mei 2009.

Jawatan adalah suatu amanah dan bukan suatu kemegahan. Bagi PR yang berjaya merampas beberapa negeri, turut membuat sambutan pemerintahan mereka. Kini, sudah setahun PRU12 berlalu. Rakyat dalam sebuah negara demokrasi akan menilai prestasi YB mereka. Pengundi PR menaruh harapan besar supaya berlaku perubahan iklim politik, ekonomi dan sosial di negara ini. Mereka boleh `swing' jika tiada perubahan ketara.

DS Najib kini membawa slogan 1 Malaysia. Ia dijaja di seluruh negara. Namun, yang agak terkilan ialah beliau tidak mahu membersihkan nama selepas beberapa akhbar antarabangsa menuduh beliau terlibat dengan kematian seorang rakyat Mongolia. Ini soal imej pemimpin negara dan sepatutnya ia diambil tindakan saman segera terhadap pihak yang menuduh tersebut.

Wednesday, July 8, 2009

Manek Urai yang berkat


Dalam perjalanan balik kampung, selalu nampak signboard ke Manek Urai Baru. Namun, tiada kesempatan untuk singgah. Alhamdulillah, sempena kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Allah berikan kesempatan untuk bertugas di UPU Manjor selama seminggu dan dapat mengenali Manek Urai dengan lebih dekat.

Di Kg. Manjor, kebanyakan rumah adalah dua tingkat. Ini kerana ia bersebelahan dengan sungai. Jika berlaku banjir di musim tengkujuh, yang mungkin tenggelam adalah bahagian aras bawah sahaja. Setiap pagi, penduduk akan keluar rumah untuk pergi menoreh getah. Waktu tengahari baru selesai dan balik semula ke rumah.

Bersama dengan sahabat, kami dapat meninjau pekan Manek Urai Baru. Masya'allah ! Kawasan ini adalah maju dan banyak kemudahan kepada para penduduk. Cuma jalan dan jambatan sahaja yang kecil. Sempat juga ke Lata Rek, yang menjadi kawasan perkelahan. Dapat merasai kesejukan air sungai sebanyak dua kali, sambil badan diurut oleh terjahan air yang mengalir kuat dari celah-celah batu. Semoga Allah akan merahmati kawasan ini dan mengurniakan keberkatan hidup dari sisiNya.

Malaysia adalah unik



Gambar di atas adalah kesan rusuhan etnik yang berlaku di Urumqi, China. Seramai 156 orang maut, 800 cedera dan 1400 ditangkap. Rusuhan kaum itu melibatkan umat Islam yang merupakan kumpulan minoriti. Terdahulu, saudara kita di Selatan Thai ditembak sewaktu mengerjakan solat di masjid. Penganut agama lain amat tidak berhati perut terhadap penganut Islam di negara-negara bukan Islam.

Malaysia juga mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama. Orang Melayu yang beragama Islam begitu baik hati menerima kaum dan penganut agama lain untuk hidup dalam rukun dan damai. Malah, kaum yang asalnya pendatang, kini menguasai ekonomi mengatasi penduduk asal negera ini. Jelas sekali bahawa Islam adalah agama perdamaian dan kesejahteraan. Cuma musuh-musuh Islam yang melebelkan umat ini sebagai pengganas dan dengan tuduhan tersebut, mereka membunuh saudara-saudara kita. Fikirlah ! Siapakah sebenarnya pengganas dunia dulu dan kini...

Tuesday, June 2, 2009

Arah kiblat di hotel

Pada 1-2 Jun 2009, saya berpeluang menginap di Hotel Wali, bandar Chukai, Kemaman. Hotel ini agak murah. Hanya RM55 untuk 3 orang (2 katil besar, 1 katil kecil). Hotel ini berdekatan dengan Masjid Jamek Chukai.

Namun, yang patut diperbaiki ialah penandaan arah kiblat. Tiada dipasang signage tersebut di dalam bilik 202. Perkara ini perlu diberikan perhatian oleh pihak jabatan agama, kementerian pelancongan dan pihak berkuasa tempatan. Jika dapat disediakan al-Quran, lagi baik. Hotel-hotel di luar negara selalunya diletakkan bible.

Perkara ini nampak kecil tetapi sebagai suatu kemudahan kepada pelanggan. Ianya bukan suatu yang sensitif samada dari sudut agama, mahu pun kaum. Ia cuma penunjuk arah kepada mereka yang ingin bersolat. Semoga, pengendali hotel, motel, chalet dan rumah tumpangan dapat keluarkan sedikit budget untuk tujuan ini.

Thursday, April 9, 2009

Awas ! Kelongsong Gas Pemedih Mata


Semasa demonstrasi aman isu PPMSI dari Masjid Negara ke Istana Negara pada 7 Mac 2009, saya turut terkena gas pemedih mata yang ditembak oleh pihak polis. Tanpa amaran dan belas kasihan, polis menembak gas tersebut dalam arah vertikal dan horizontal. Seorang kawan telah sempat mengambil sebutir kelongsong gas pemedih mata sebagai kenangan. Bersaiz sebesar ulu parang, jika terkena badan pasti menyakitkan. Apatah lagi, jika terkena mata seperti yang menimpa Mohd Huzaifah (rujuk berita di bawah). Maka anggota polis wajar profesional dalam menjalankan tugas dan bukan menembak orang awam yang tidak yang tidak bersenjata secara mengikut perasaan.

KOTA BHARU 9 April - Seorang pelajar berkemungkinan hilang keupayaan penglihatan kekal apabila mata kanannya dipercayai terkena serpihan kelongsong gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini malam kelmarin.

Mangsa, Mohd. Huzaifah Mohd. Nor, 18, pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini mendakwa terkena kelongsong itu ketika membantu mengemas barangan jualan di gerai minuman milik sepupunya, Abdul Rahman Hussein kira-kira 100 meter di luar stadium berkenaan.

Ketika ditemui, pelajar kursus Penyejukbekuan dan Penyaman Udara itu mendakwa doktor yang merawatnya mengesahkan mata kanannya tidak dapat diselamatkan walaupun telah menjalani pembedahan selepas empat jam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Masa itu keadaan sudah kelam kabut. Saya dengan sepupu saya tengah mengemas barang-barang berniaga untuk pulang, tiba-tiba saya rasa ada benda keras terkena pada mata kanan.

''Kemudian saya rebah dan hampir pengsan kerana terlalu sakit serta darah banyak keluar dari mata kanan saya.

"Dalam keadaan separuh sedar itu, saya dipapah ke hospital yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian oleh sepupu saya untuk menerima rawatan dan pembedahan pada mata saya selesai kira-kira 2 pagi semalam," katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini hari ini.

Rusuhan penonton berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV sejurus selesai perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dengan Negeri Sembilan dan memaksa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memberitahu, Mohd. Huzaifah sering membantunya berniaga makanan dan minuman sejak setahun lalu di sekitar stadium setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak.

Katanya, ketika tembakan gas pemedih mata dilepaskan dia terus tunduk untuk cuba menyelamatkan diri dan mendapati mangsa rebah serta darah keluar dengan banyak di bahagian mata.

"Huzaifah kemudian memegang saya serta memberitahu matanya terkena objek keras tersebut dan hampir pengsan.

"Dalam keadaan kelam kabut, saya terus memapah dia yang sudah tidak berdaya ke hospital dan terpaksa menahan pedih pada mata akibat kawasan tersebut diselubungi gas pemedih mata," katanya.

Sehubungan itu, abang mangsa, Salahuddin Mohd. Nor, 41, telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu.

Kata Salahuddin, dia juga sedang mendapatkan nasihat daripada peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak polis kerana kejadian itu.

"Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci kerana kejadian tersebut menyebabkan masa depan adik saya gelap," katanya.

Sunday, April 5, 2009

Jangan Sampai Rakyat Doakan Kematian YB


Di Malaysia, BN mengajar rakyat supaya rakyat mendoakan supaya wakil-wakil rakyat cepat mati. Ini kerana jika berlaku pilihan raya, projek datang mencurah-curah. Terbaru, sempena pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air, BN masih terus melaksanakan projek mee segera mereka. Walaupun sudah sekian lama jalan rosak dan tak diperbaiki, tak semena-mena ia boleh diturap oleh kontraktor. Longkang yang sudah lama tersumbat, tiba-tiba datang bajet yang membolehkan ia dibetulkan.

Pemimpin seluruh negara dapat `extra hours' untuk menemui rakyat. Mereka sanggup meredah semak dan lopak untuk menemui orang kampung yang jauh miskin dan masih ketinggalan. Yang Berhormat (YB) kini menjadi Yang Berkhidmat kepada rakyat. Akhbar melaporkan bahawa para pemimpin sanggup menaiki basikal untuk menjengok rakyat, yang tidak begitu dipedulikan sebelum pilihan raya.

Adakah ini budaya kita ? BN terus menghulurkan pelbagai bantuan segera sekadar untuk memancing undi. Maka, jika rakyat mahukan kawasan mereka diberikan perhatian, doalah supaya berlaku pilihan raya kecil. Atau dengan kata lain, seolah-olah memohon supaya YB cepat mati. Rakyat akan diberikan perhatian yang luar biasa sehinggalah diumumkan keputusan pengundian. Kemudian, beransur-ansur rakyat akan ditinggalkan sementara menunggu PR yang lain. Oleh itu, undilah untuk perubahan yang lebih baik. Vote for change !

Rakyat Ikut Agama Pemimpin


Rakyat akan mengikut agama pemimpinnya. Frasa ini terbukti berdasarkan catatan sejarah. Apabila raja Melaka memeluk Islam dan ditabal sebagai sultan, maka ramai warga negeri tersebut meninggalkan agama sesat dan memeluk Islam. Di Terengganu, berdasarkan catatan pada Batu Bersurat, undang-undang Islam didaultakan dan rakyat dengan rela menerima hukum hudud kerana sultan yang memerintah mahu amalkan Islam sepenuhnya.

Di Malaysia, kita sudah merdeka lebih 51 tahun. Deraf Hukum Hudud telah diluluskan di DUN Kelantan. Namun, ia masih tak dapat dilaksanakan kerana `khalifah Islam Hadhari' tak mahu menerimanya. Dalam soal bertudung, 2 orang Raja Permasuri Agung telah menunjukkan contoh iaitu Siti Aishah dan Tengku Zahirah. Mereka memperagakan pakaian yang menutup aurat yang diwajibkan oleh agama. Maka senanglah para ibu bapa menjadikan mereka sebagai contoh untuk menggalakkan anak-anak bertudung. Begitu juga kepada para guru dan pendakwah. Ada model yang mereka boleh tonjolkan.

Namun, kita masih mengharapkan hidayah Allah supaya isteri PM dan MB turut melakukan perkara yang sama. Bukan hanya bertudung sewaktu solat. Bukan sekadar bertudung ketika menghadiri kes kematian atau program agama. Islam adalah cara hidup. Kita mahu isteri-isteri mereka yang diamanahkan memimpin negara supaya mengamalkan pakaian yang menutup aurat pada sepanjang masa di depan bukan muhrim. Ini buka soal peribadi. Ini bukan soal kubur yang tidak selubang. Ini bukan perlanggaran hak asasi. Menutup aurat adalah perintah Yang Maha Pencipta. Siapa kita untuk terus degil dan engkar. Apatah lagi sekiranya kita adalah saf pimpinan. Rakyat akan mengikut cara hidup orang yang memimpin mereka...

Menziarahi Tok Guru


Selepas CT & suaminya, Dato' K menziarahi Tok Guru Menteri Besar Kelantan, timbul gosip bahawa mereka ingin bertukar parti. Ia dinafikan oleh Dato' K di mana ziarah yang dilakukan adalah untuk bertanya khabar dan menghormati `tuan rumah'. Sebenarnya, Islam mengajar umatnya supaya sentiasa bersama ulama'. Merekalah pewaris Nabi yang mampu memimpin dan menerangkan tentang agama supaya kita semua tidak sesat. Kita disuruh belajar agama dari para guru (alim ulama'). Jika tidak berupaya, kita diminta menjadi pendengar (tadah telinga) di mana-mana majlis ilmu. Jika itu pun tak mampu, kita disuruh untuk menyukai program ilmu dan ulama'. Jangan hendaknya kita terkeluar daripada senarai di atas.

Tok Guru Nik Aziz boleh dicontohi dalam banyak perkara. Beliau telah menunjukkan contoh pemimpin yang hidup sederhana sewaktu di puncak kuasa. Beliau menjadi bukti bahawa pimpinan parti Islam tidak terperangkap dengan jerat 3 TA iaitu Takhta, Harta dan Wanita. Tok Guru jadikan itu semua sebagai wasilah dan bukan matlamat. Dengan kuasa, Tok Guru melaksanakan peraturan-peraturan agama yang diperintahkan oleh Allah. Beliau infakkan harta untuk rakyat dan juga perjuangan Islam. Bersama wanita, beliau menunjukkan contoh rumahtangga Islam dan bagaimana muslimat boleh berperanan dalam membantu perjuangan Islam tanpa melanggar batasan syarak'.

Kesempatan bertemu dengan Tok Guru begitu meninggalkan kesan. Antara peluang tersebut ialah mengikuti Tamrin UTM di Darul Hidayah, Selangor; sambutan 10 tahun Hizbi di Taman Melewar dan kempen pilihanraya kecil di Anak Bukit, Kedah. Semoga Tok Guru sentiasa sihat dan terus memberikan inspirasi kepada kita semua. Marilah kita melazimi menziarahi alim ulama dan sentiasa mencontohi praktis cara hidup Islam yang diwarisi dari para Nabi.

Monday, February 23, 2009

ISA & Dunia Tanpa Suami


Pada 14 Februari 2009, aku berpeluang mengikuti forum mengenai Internal Security Act (ISA) bertempat di Kompleks Imam As-Syafie (KIAS), Jerantut. Ahli-ahli penel terdiri daripada Hanipa Maidin (peguam), Shaari Sungib (bekas tahanan ISA) dan Pn Laila (isteri tahanan ISA - Mohd Shah). ISA kini berusia 49 tahun, disifatkan oleh Hanipa sebagai akta celaka & sial. Menurut sejarah, ISA digubal untuk menangani komunis dan gejala subversif. Namun, kini ia kerap disalah-gunakan untuk memerangi sesiapa yang tidak bersetuju dengan kerajaan BN. ISA digunakan untuk menutup suara penentangan dan juga untuk menakutkan rakyat. ISA merupakan tahanan tanpa bicara, akta yang tidak mengambil kira soal kemanusiaan. ISA adalah bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, hak asasi manusia dan keadilan sejagat.

Sewaktu Pn Laila berucap, air mata aku bercucuran. Sedih mendengar kisah keluarganya diperlakukan. Anak sentiasa bertanya, bilakah abah akan balik ? Keluarganya di kelilingi oleh SB. Suaminya, Mohd Shah ditangkap pada jam 12 malam, tanggal 18 April 2002 dan masih di Kamunting. Pn Laila kini menulis blog untuk gerakan memansuhkan ISA. Turut menulis buku `Dunia Tanpa Suami'.

Shari Sungib menyifatkan ISA sebagai zalim kerana menahan tanpa bicara, melakukan penderaan dan agenda untuk mematahkan semangat perjuangan. SB di Malaysia merupakan political police dan `never trust SB'. Tahanan dilakukan untuk meragukan diri terhadap perjuangan. ISA mahukan tahanan mendapat trauma. Jika ditahan, kuatkan pegangan dengan zikir, bacaan kisah sahabat dan bacaan al-quran. Jangan tunduk desakan supaya membuka seluar kerana ia merupakan mesej untuk melondeh prinsip perjuangan.

Friday, February 20, 2009

Aku dan Mat Filipina


Malaysia adalah antara negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Ada pelbagai suku kaum dan bangsa. Samalah dengan negara Madinah, yang pernah diterajui oleh Rasulullah SAW. Yang berbeza, negara Islam Madinah mengamalkan Islam sepenuhnya walaupun ada di kalangan rakyatnya adalah non muslim termasuk Yahudi. Malaysia yang mengamalkan Islam Hadhari masih mengamalkan Islam secara terpilih walaupun sudah merdeka lebih 50 tahun.

Berpeluang menemui warga asing memberikan pengalaman dan pengetahuan yang lebih luas. Tambahan pula, al-Quran menegaskan bahawa kewujudan pelbagai bangsa manusia memberi peluang untuk berkenalan dan kita semua adalah dari zuriat yang satu - Adam AS dan Hawa. Semasa kecil, saya bertemu dengan orang putih yang datang melancung. Tapi tak tahu nak berkomunikasi. Setelah memasuki sekolah Arab, berpeluang berguru dengan Pak Arab. Semasa di UTM, sempat mengikuti seminar Super Learning dan Plant Design yang dikendalikan oleh orang putih.

Setelah memasuki alam pekerjaan, dapat pengalaman bekerja dengan orang Jepun, Korea, Itali dan Jerman. Di kalangan buruh pula, pernah mengendalikan orang Bangla, Nepal, Thai, Vietnam, India dan Myammar. Terbaru, saya berpeluang bekerja dengan jurutera dari Filipina yang bertugas di Mieco. Mereka adalah June Afable, Marlon, Victor, Nelson dan beberapa orang yang lain. Namun, oleh kerana kegawatan ekonomi, mereka terpaksa dihantar balik ke negara mereka.

Dari pengamatan saya, tahap kemahiran mereka tidak banyak berbeza dengan orang Malaysia. Tapi majikan terpaksa mengambil mereka kerana jurutera kita tak sunggup bertugas di pedalaman. Ramai yang telah diambil bertugas tidak dapat berkhidmat lama. Mengapa warga kita terlalu memilih pekerjaan ?. Jika tiada siswazah yang menganggur, maka ini bukanlah satu isu. Kita boleh buka peluang kerja kepada warga luar. Banyak pihak seperi pekerja, majikan dan kerajaan perlu menangani isu ini.

Bersama Guru Pondok An-Nuur


Pada 18 Februari 2009, saya berkesempatan mengikuti tazkirah di kantin Mieco Gebeng. Ia disampaikan oleh Ustaz Saharudin Mohamad dari Ponduk An-Nuur (www.nuuratiq.com), Kuala Penor, Pahang. Pondok tersebut menawarkan pengajian agama untuk melahirkan para hafiz (sepenuh masa bagi lepasan UPSR) dan juga kelas-kelas umum terutama pada hari Ahad.

Tazkirah beliau berkisar kepada tajuk tanda-tanda menjelang hari kiamat. Katanya, dengan mengetahui tanda-tanda tersebut, kita akan berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapinya. Beliau telah mengemukakan tanda pertama iaitu timbul banyak fitnah dan pembunuhan. Fitnah yang dimaksudkan ialah pelbagai bentuk ujian dan kesusahan yang ditanggung oleh manusia. Pembunuhan pula meningkat disebabkan berlaku kekacauan. Dalam menghadapi situasi ini, kita dingatkan supaya sentiasa memperbaharui pernyataan keimanan dengan memperbanyakkan syahadah.

Tanda seterusnya ialah lahirnya ramai yang jahil agama dan ilmu diangkat dengan kematian para ulama dan kekosongan pengisian ilmu. Dengan bertambahnya orang-orang jahil, mereka menjadi penentang Islam yang kuat. Di samping itu, ia juga boleh membawa kepada peningkatan kes zina. Menurut Ustaz Saharuddin, Islam tampil membela wanita dengan munutup punca-punca zina termasuklah arahan menjaga aurat. Iklan-iklan yang modelnya wanita boleh memperagakan pakaian yang menutup aurat seperti di negeri Kelantan.

Beliau juga menyentuh mengenai kebanjiran arak. Hatta, arak kini dinamakan dengan pelbagai jenama tanpa menggunakan perkataan arak. Di pasaraya, arak dijual oleh cashier wanita muslim sedangkan ianya adalah tidak dibenarkan oleh agama. Lebih menyedihkan arak kini dijual 24 jam menerusi kedai-kedai seperti 7 Eleven. Katanya, beliau ada mengemukakan perkara ini kepada jabatan agama tetapi alasan yang diberi adalah kekurangan kakitangan penguatkuasaan.

Monday, February 16, 2009

Usrah Sebagai Program Tarbiyyah


Sekarang ini (1430/2009) dikenali sebagai `the 3rd wave of Islamic movement' iaitu gelombang ke 3 kebangkitan semula Islam. Setelah khilafah Islamiyyah ditumbangkan di Turki, negara umat Islam telah dijajah dan dipecahkan mengikut sempadan geografi. Gelombang kebangkitan Islam merujuk kepada kemunculan gerakan Islam untuk mengembalikan semua Islam sebagai suatu cara hidup yang lengkap - a complete way of life.

Mengikut seerah, Rasulullah memulakan program pengisian dalaman di rumah sahabat. Justeru, tokoh gerakan Islam Ikhanul Muslimin, as-syahid Hassan Banna telah memperkenalkan semula program tarbiyyah para anggota dengan nama Usrah (keluarga). Arus kebangkitan itu turut melanda negara ini dan program usrah telah dijalankan oleh banyak pihak yang melibatkan diri dengan gerakan Islam seperti PAS, IBIM, JIM dan lain-lain.

Saya mula diperkenalkan dengan usrah semasa menuntut di KUSZA pada tahun 1984. Setelah melanjutkan pelajaran ke UTM, usrah diteruskan dengan silibus yang teratur dari peringkat pengenalan, peningkatan dan seterusnya Nuqaba'. Setelah tamat pengajian, saya mengikuti usrah pemuda di Sg Buluh semasa bertugas di Malaysian Sheet Glass Bhd. Seterusnya, mengikuti usrah pemuda di Seremban sewaktu bertugas di Samsung.

Kini, setelah bertukar ke Lipis, baru melibatkan diri dengan usrah pemuda walaupun umur kepemudaan telah berlalu. Menerusi usrah, hati yang lalai akan selalu diperingatkan tentang tanggungjawab terhadap agama. Seperti maksud kata-kata Ustaz Fathi Yakan: "walaupun kita seorang pekerja, kita adalah pekerja muslim, walaupun kita seorang jurutera, kita adalah seorang jurutera muslim. Maka, kita mesti menunaikan tanggungjawab kita terhadap Islam".

Friday, January 30, 2009

Kegawatan Ekonomi 2008-2009


Inilah kali kedua saya bersama rakan-rakan sektor pembuatan menghadapi kesan krisis ekonomi dunia. Pada tahun 1998, kilang Samsung terpaksa menghentikan operasi selama sebulan kerana kegawatan ekonomi dan banyak disebut sebagai angkara penyangak mata wang termasuk Soros. Pihak pengurusan waktu itu mengambil langkah proaktif dengan menghantar kami ke program pupuk semangat di Kem BTN Kulai Johor.

Pada akhir 2008, kegawatan telah berulang. Kini ia dikaitkan dengan krisis kewangan di Amerika Syarikat. Kesannya lebih mencabar. Sejak 1 November 2008, Kilang Mieco di Lipis menghentikan operasi. Permintaan terhadap papan serpai amat berkurangan dan hanya cukup kilang Mieco di Gebeng yang beroperasi.

Sebagai pekerja, kami bersyukur kerana pihak majikan masih lagi membayar gaji. Bagi pekerja kontrak, khidmat mereka terpaksa ditamatkan. Sukarnya mereka untuk terus mencari rezeki dan nafkah untuk diri serta keluarga. Dalam kegawatan kini, ia adalah peluang untuk kita bermuhasabah. Peluang untuk kita lebih mendekatkan diri kepada Allah. Mungkin ini semua juga kifarah atas dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Ia juga memberi pengajaran kepada kita supaya memiliki pelbagai kemahiran yang boleh digunakan untuk menjana wang.

Hidup perlu diteruskan. Kegawatan ini adalah ketentuan Allah dan pasti mempunyai hikmah tersendiri. Semoga ia akan berakhir dan sektor industri dapat meneruskan operasi dan dapat menyediakan pekerjaan kepada staf dan juga para pembekal yang terlibat.

Kawanku Di Kaca TV


Suatu pagi, selepas Subuh, saya sempat menonton rancangan Motivasi Pagi TV1. Rupanya, yang sedang berbicara itu ialah kawan saya, Niza Hanif Mustaffa. Beliau adalah bekas kakitangan Samsung dan kini menubuhkan syarikat pembangunan sumber manusia, HR Capital S/B. Beliau bertugas sebagai Training Executive sewaktu saya menyertai kilang Samsung dan banyak membantu kami sewaktu dihantar mengikuti latihan di Korea Selatan. Beliaulah yang mengajar kami etika kerja orang Korea dan juga cara berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Korea. Kamsa hamnida!!! (thanks).

Mengikut cerita kawan-kawan, muka saya pernah tersiar di TV sewaktu saya mengajukan soalan, dalam satu majlis di Pusat Islam Kuala Lumpur. Seingat saya, program tersebut dianjurkan oleh FS Institute dengan kerjasama BAHEIS (kini JAKIM). Program itu berkenaan dengan pembinaan keluarga dan saya bertanyakan soalan bagaimana untuk mengukur kejayaan dalam menguruskan rumah tangga atau apakah kayu ukurnya.

Ramai kawan-kawan saya dari KUSZA yang selalu masuk TV dewasa ini. Umpamanya, Ust. Zawawi Yusoh (UIA), Ust. Syukri Ali (pegawai agama Istana Terengganu) dan Ust. Fauzi Mustaffa (pengerusi al-Kuliyyah TV3). Ustaz Fauzi juga banyak menulis dengan menggunakan nama pena Fauzi Al-Besuti. Semasa saya menyemak buku Darul Syifa' Bangi, ada juga muka beliau di situ.

Kejayaan kawan-kawan banyak menyuntik semangat untuk terus menyumbang bakti kepada agama, masyarakat dan negara mengikut kerjaya dan kemahiran masing-masing. Ya, kita perlu bertanya apakah sumbangan kita yang boleh dimanfaatkan oleh generasi kini dan akan datang. Ilmu yang dimanfaatkan itu menjadi bekalan berterusan walaupun kita telah pergi ke alam barzakh...

Kemahiran Menangkap Ikan


Bertuahnya lahir di sebuah kampung yang berdekatan dengan sawah dan sungai. Sejak kecil lagi, ayah telah mengajar kami adik beradik lelaki kemahiran menangkap ikan. Pada musim bah, kami diajar menggunakan pukat dan tauk. Tasik Pulau Meranti dan Gong Tok Tor menjadi medan kami menangkap pelbagai spesis ikan air tawar seperti selat, sebarau, patung, merah pipi dan sebagainya. Kami juga diajar menangkap ikan besar yang sedang membawa anak kecil yang terdiri dari ikan bujuk, toman dan haruan. Kami diajar menggunakan pancing panjang daripada buluh dan menggunakan umpan katak.

Setelah padi mula membesar, kami belajar menahan tauk dengan menggunakan umpan cacing. Memang boleh buat lauk dengan ikan keli, puyu dan haruan. Selepas musim menuai, kami diajar menimba ikan dari culvert dan mengejar ikan dengan menggunakan serkat. Ayah juga mengajar kami cara menahan lampung. Ia dilakukan selepas musim bah dan perlu dilakukan pada waktu malam dan berperahu. Acap kali kami terpaksa solat maghrib di tepi tasik kerana menahan lampung bermula sebelum maghrib. Kenangan manis termasuk berjaya menangkap ikan keli limbat sebesar betis orang dewasa.

Ayah juga mengajar kami memancing dengan menggunakan umpan hidup seperti anak ikan keli dan puyu. Pancing diatur pada sepanjang tebing sungai dan tasik. Saya sendiri beberapa kali berpengalaman mendapat ikan toman yang bersaiz mega di mana batang pancing tercabut dan terpaksa meredah air untuk mencari tempat tersangkut. Ayah sendiri berjaya menangkap ikan tapah sebesar budak sewaktu di Kg. Buluh, Setiu. Ayah juga mengajar kami menahan lukah. Agak malang, kemahiran membuat lukah tidak diwarisi. Yang pandai membuat bubu dan lukah telah pun pergi mengadap ilahi.

Kini, setelah bekerja, masa untuk memancing perlu dirancang. Antara pengalaman baru ialah memancing dengan menggunakan joran yang lebih moden. Kenangan manis baru termasuklah pergi memancing bersama kawan-kawan di Pulau Perhentian dan memancing di Kuantan. Gambar yang dilampirkan adalah kejayaan saya menaikkan seekor ikan sembilang di Kuantan. Kenangan lain yang sukar dilupakan ialah memdapat 300 ekor ikan semasa menahan jaring di Sg. Jelai. Mengikut cerita, ada pihak yang pergi menuba dan mereka tak tahu saya telah menahan jaring. Itulah rezeki kami dan terpaksa bawa balik ke Terengganu, selepas dikeringkan kerana terlalu banyak untuk dimakan oleh kami.

Khazanah Dapur - Membuat Kerisik


Pengalaman berkelah dengan kawan-kawan telah memberikan kemahiran memasak. Semasa bersekolah rendah, beberapa kali kami berkelah di tepi Sungai Besut dan sama-sama memasak nasi dan lauk. Lepas tu, mandi sungai sambil mencari udang dan makan isi kelapa muda serta tebu. Sewaktu bertugas di Samsung, kami membuat outing beberapa kali termasuk ke Pengkalan Balak, Sepang. Saya yang ditugaskan untuk memasak.

Sejak beberapa tahun ke belakang, dengan tunjuk ajar dari isteri, dapatlah kemahiran memasak mee goreng basah, kueh teow beraroma dan behoon special. Jadi, kami boleh bergilir menyediakan sarapan pagi kepada anak-anak yang hendak ke sekolah. Yang hebatnya, terdapat peminat setia masakan Abah di kalangan kawan-kawan Nor dan Naj.

Pada tahun ini, khazanah dapur yang baru dipelajari ialah membuat kerisik kelapa. Kelapa perlu diparut dan digoreng pada kadar yang munasabah di dalam kuali tanpa minyak. Tidak boleh masukkan terlalu banyak kerana ia perlu ditumbuk sewaktu masih panas. Kelapa akan digoreng sehingga warna menjadi perang. Seterusnya, ia perlu ditumbuk dengan menggunakan lesung batu. Tumbuk sehingga keluar minyak. Setelah siap, masukkan ke dalam bekas dan ulang kerja-kerja menggoreng dan menumbuk sehingga selesai semua kelapa yang telah diparut. Di antara kegunaan kerisik ialah untuk dimasukkan ke dalam ramuan untuk membuat bubur asyura. Selamat mencuba.

Kenangan Kem Remaja & Hari Terbuka



Peluang menyertai aktiviti bersama masyarakat setempat membawa banyak manfaat dan kenangan. Semasa akhir cuti persekolahan 2008, kami berjaya menghantar Long dan Ngah menyertai Kem Remaja Soleh anjuran Unit Amal Lipis. Kami sebenarnya merancang untuk menghantar mereka ke program-program lain tetapi atas faktor kewangan, kami terpaksa tangguhkannya. Alhamdulillah, hajat kami berjaya juga dengan menghantar 2 orang anak ke kem yang diadakan di markas Kg. Relong, Lipis.

Pada hari terakhir telah diadakan hari terbuka PAS Kawasan Lipis. Kami sekeluarga melapangkan masa untuk hadir dan dapat beramah mesra dengan orang Lipis. Beberapa program kami sertai bagi memeriahkan majlis. Dina telah ambil bahagian dalam acara rebut gula-gula. Naj & Umi mengambil bahagian dalam acara mengisi air ke dalam botol secara menutup mata. Ngah masuk pertandingan azan dan Abah masuk acara berkhutbah.

Harapan kami semoga program seumpama tersebut diteruskan. Banyak manfaat terutama dalam mengisi masa lapang anak-anak sempena cuti sekolah. Kami sendiri dapat kenal tempat-tempat lain yang belum pernah sampai sebelum ini termasuk markas Kg. Relong tersebut. Sewaktu berbual dengan VIP, YB Roslan Zainal, beliau memaklumkan bahawa dulunya, paya di sebelah markas adalah kawasan tanaman padi. Namun, akibat dari promosi sektor pembuatan atau industri yang berlebihan semasa era Chet Det, sektor tani terabai. Termasuklah di Kg. Relong, generasi kini dah tak dapat lagi melihat sawah padi di situ dan kawasan tersebut kini dipenuhi dengan belukar.

Asyura 1430


Alhamdulillah, Muharram 1430 membuka lembaran baru kemahiran mengadakan gotong-royong memasak bubur asyura. Ini adalah kejayaan kali ke 3 kami memasak asyura anjuran Badan Kebajikan Ehwal Surau Mieco. Dua tahun lepas, 3 kawah berjaya dimasak dengan mendapat tunjuk-ajar dari Pak Cik Yaakob dari Kg. Kechor Tui. Pada tahun lepas, kami mengadakan program asyura bersama penduduk di Kg. Seberang Jelai dan Padang Tengku. Majlis diadakan bersebelahan masjid.

Tahun ini, kami berjaya memasak 3 kawah tanpa menjemput chef luar. Persediaan telah dibuat lebih awal termasuk memindahkan pondok merokok ke kantin, mengambil bahan bakar dari log yard, mengambil dan membersihkan kawah dan membuat pembelian barang-barang. Berdasarkan pengalaman yang lepas, beberapa kesukaran telah diatasi pada tahun ini. Masalah air tercemar karat kawah diatasi dengan melumurkan minyak pada permukaan kawah sebelum air dimasukkan. Masa yang lama diambil untuk melembutkan kacang diatasi dengan merendam satu malam.

Api telah dihidupkan lebih awal iaitu pada jam 7.30 pagi dan ketika para pekerja memulakan tugas pada pukul 9.00 pagi, beras dan kacang hijau telah mula lembut dan hancur. Api dihidupkan dengan lebih mudah menggunakan kepingan tiub terpakai. Kami berjaya mencapai sasaran masa untuk siap sebelum jam 3.00 petang. Sokongan padu dari para pekerja telah membolehkan asyura diagihkan pada pukul 1.30 tengahari. Berbanding dengan dua tahun lepas, ia disiapkan pada pukul 4.00 petang. Kesimpulan kami, kerja yang muafakat telah membawa berkat.

Monday, January 19, 2009

Menghadapi Kegawatan Ekonomi


Berikut ialah PANDUAN (TIP) bagaimana untuk menghadapi kemurungan akibat kegawatan ekonomi yang saya petik dari seorang kawan di Negeri Sembilan. Semoga ALLAH permudahkan kita menghadapi krisis ekonomi ini sebagaimana ALLAH memberi ilham kepada Nabi Yusuf satu ketika dulu ketika kerajaan negeri Mesir yang hebat menghadapi masalah krisis ekonomi yang lebih hebat.

PANDUAN ini adalah percuma dan boleh disebarkan, niat saya agar kita sama-sama mendapat manfaat dan keredhaan ALLAH hendaknya.

1. Sedih – Rasa sedih kerana pengangguran atau hilang pekerjaan adalah perkara biasa , tumpukan perhatian terhadap masa depan.

2. Komunikasi – Jangan memendam perasaan; berceritalah pada rakan-rakan atau saudara mara yang dipercayai mengenai masalah anda.

3. Kemaskini Resume – Kemaskini resume anda dengan maklumat pengalaman pekerjaan yang terkini. Resume hendaklah dicetak atas kertas yang berkualiti tidak lebih dua mukasurat.

4. Kumpulkan Surat Sokongan – Mohon surat sokongan dari bekas majikan, guru-guru atau pemimpin setempat.

5. Hubungan – Maklumkan kepada semua yang kita kenali yang kita sedang mencari pekerjaan. Beberapa pekerjaan boleh didapati mungkin melalui kenalan kita.

6. Buka Mata – Cari Expo Pekerjaan , Seminar , Kumpulan Sokongan yang mungkin boleh membantu anda.

7 Jangan Hanya Bergantung Pada Iklan Di Akhbar – Tahukah bahawa hanya 5% kerja kosong diiklankan di akhbar ? Bina perhubungan atau tanya mana-mana syarikat yang ada kerja kosong atau borang kerja kosong.

8. Firma Swasta – Jadi pekerja sementara jika tiada pekerjaan tetap. Kadang-kadang pekerja sementara akan diambil sebagai pekerja tetap.

9. Persatuan Bekas Pelajar – Hubungi bekas teman sama belajar kita dahulu samada di sekolah , kolej atau universiti jika mereka tahu ada kekosongan kerja.

10. Khidmat Tentera – Cuba fikirkan perkhidmatan tentera dan lain-lain sebagai satu alternatif. Hubungi pihak ATM, peluang untuk menyertai sebagai tentera secara tetap atau sebagai askar wataniah.

11. Skim Latihan – Hubungi agensi kerajaan yang menyediakan skim latihan khusus untuk mereka yang diberhentikan kerja atau menganggur.
12. Internet – Internet adalah cara terbaik untuk mencari kerja. Guna laman web mencari pekerjaan yang banyak terdapat ketika ini.

13. Jadikan Hobi Sebagai Sumber Pendapatan – Hobi kita mungkin menjadi satu sumber pendapatan. Hubungi agensi kerajaan yang berkaitan yang boleh membantu usahawan kecil.

14. Sukarelawan – Luangkan lebih masa menjadi sukarelawan dengan mana-mana pertubuhan. Banyak pengalaman akan ditimba dan banyak orang yang kita akan kenali. Pastikan pengalaman kita sebagai sukarelawan dinyatakan dalam resume kita.

15. Temuduga Suka Suka – Pergilah hadir mana-mana sesi temuduga bukan setakat suka-suka tapi untuk kumpul maklumat dan meningkatkan kemahiran ketika di temuduga. Pastikan anda tanyakan beberapa soalan kepada penemuduga untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anda.

16. Tanya Selepas Temuduga – Jangan fikir jika anda tidak dihubungi selepas temuduga kerja tersebut sudah diambil oleh orang lain, hubungi semula syarikat berkenaan untuk kepastian.

17. Maklumbalas Temuduga – Jika anda tidak diambil bekerja , tanya dengan cara yang baik kepada penemuduga kenapa mereka tidak memilih anda. Adakah kerana kurang pengalaman, bidang pengajian, gaji yang tinggi dan sebagainya. Supaya anda tahu kelemahan anda untuk diperbaiki.

18. Kunjungi Perpustakaan – Buat kajian terhadap syarikat yang anda hendak pergi temuduga atau buat kajian syarikat atau industri yang hampir serupa.

19. Matlamat Harian – Tentukan objektif harian kita berapa syarikat untuk dihubungi setiap hari. Jadikan pekerjaan mencari kerja sebagai pekerjaan anda dan buatkan jadual harian.

20. Bajet Kewangan – Bajet kewangan yang anda ada dan pastikan anda tidak berbelanja melebihi bajet anda.

21. Keutamaan – Bincang dengan ahli keluarga anda mengenai keutamaan harian. Jika perlu hentikan perkhidmatan televisyen berbayar, makan luar, telefon kedua dan sebagainya

22. Pertukaran Kerja – Buat sistem TUKAR (BARTER) samada barter barangan atau perkhidmatan dengan sanak saudara atau rakan-rakan anda. Contohnya anda membersihkan laman rumah kenalan anda dan kenalan anda yang tahu baiki kereta akan baiki kereta anda yang rosak.

23. Tunai Dan Kredit – Jangan bawa wang tunai lebih dari apa yang anda perlukan setiap hari. Juga sorokkan atau batalkan kad kredit anda. Apabila anda keluar berjalan, nak tak nak kita akan terdorong membeli sesuatu jika ada lebih wang tunai atau kad kredit.

24. Kaunseling Kredit – Jika anda ada masalah kredit, cuba hubungi kaunselor yang menyediakan perkhidmatan percuma. Mereka akan menasihati anda bagaimana hendak menguruskan kredit tertunggak anda seperti memohon rayuan pada pihak bank mengurangkan bayaran ansuran bulanan dan sebagainya.

25. Perkhidmatan Kerajaan – Cari perkhidmatan atau program kerajaan yang percuma seperti kursus, latihan, bantuan makanan dan sebagainya.

26. Bersenam Setiap Hari – Pergilah berjogging. Ianya akan menjadikan anda bertenaga untuk mencari pekerjaan. Untuk umat Islam yang lelaki, amalkan solat jemaah di masjid berhampiran.

27. Sentiasa Ceria – Pastikan anda sentiasa kemas, menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal. Ianya akan menjadikan anda rasa yakin. Sentiasa pastikan pakaian untuk ke temuduga sentiasa kemas dan tersedia dalam almari.

28. Jaga Pemakanan – Makan makanan yang sihat dan jangan makan makanan mengarut. Ianya mempengaruhi sikap anda.

29. Rokok – Fikir wang yang akan anda jimatkan jika tidak merokok. Seorang perokok boleh membelanjakan purata RM300 sebulan hanya untuk rokok. Rokok membahayakan kesihatan. Itu adalah amaran Kerajaan Malaysia. Merokok adalah Haram atau Makruh itu pendapat ulama. Tak ada pula kita pernah dengar merokok itu wajib atau sunat.

30. Belanja Diri Sendiri – Tak salah sekali sekala anda belanja diri anda sendiri, tapi pastikan biarlah berjimat cermat.

INGAT ! Bukan anda seorang yang menghadapi kesan kegawatan ekonomi. Dibuang kerja atau menganggur adalah merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi kepada mereka yang bekerja. Sentiasa berfikiran positif dan jadikannya sebagai satu proses pembelajaran. Lebih banyak kita berfikiran positif, lebih cerah peluang kita untuk mendapatkan pekerjaan. Berfikiran positif ini ialah sentiasa berlapang dada dan redha dan terus berusaha

Friday, January 9, 2009

Tahniah Long !


Tahniah untuk anak sulung kami, Muhammad Amirul Aiman. Pada 30 Disember 2008, Long berjaya mendapat 6A 2B dalam PMR. Pada tahun 2008, SMK Padang Tengku telah mencatat sejarah kerana seramai 6 orang pelajar mendapat 8A. Ia merupakan pencapaian tertinggi bagi sekolah Daerah Lipis. Ia merupakan loncatan baru sekolah ini yang merupakan sebuah sekolah di luar bandar dan tidak menapis penerimaan murid.

Long asalnya bersekolah di SMKA Wataniah, Jerteh selepas mendapat keputusan 3A2B dalam UPSR. Selepas kami berpindah, Long tidak boleh belajar di SMA Al-Maidah, Padang Tengku kerana sukatan pelajaran yang berbeza. Kami daftarkan Long di SMKPT kerana hampir dengan rumah dan boleh berjalan kaki ke sekolah.

Pada mulanya, Long ditempatkan dalam Tingkatan 2A (kelas ke 3 dalam turutan terbaik) dan dinaikan ke Tingkatan 3 Wawasan 1 pada tahun 2008. Dengan kejayaan tersebut, Long telah mengulangi pencapaian kedua-dua orang tuanya. Semasa saya mengambil SRP dan mendapat 8 aggregat dan mencipta sejarah sebagai anak kampung terbaik di Pulau Meranti Jerteh dan akhirnya menuntut di KUSZA (kini UDM) yang merupakan sekolah agama berasrama penuh di Terengganu.

Thursday, January 8, 2009

Nenek Ku Kalsom Ibrahim

Di sebelah bapa, kedua-dua nenek dan datuk saya telah meninggal dunia. Di sebelah ibu pula, saya masih mempunyai nenek yang kini berumur 76 tahun manakala datuk telah meninggal dunia. Di sebelah mertua, mereka semua telah meninggal dunia.

Adik beradik saya seramai 10 orang. Semasa saya kecil, neneklah yang pelihara dan selalu bawa ke mana-mana. Maklumlah, emak perlu menjaga ramai adik-adik yang lain. Maka, sehingga darjah satu, saya masih tidur dengan nenek. Saya masih ingat, ketika nenek balik ke kampungnya di Kg. Nangka dengan berjalan kaki sambil mengharungi Sg. Besut dan mendaki Bukit Puteri , pada Hari Raya Enam (7 syawal). Saya ikut serta dalam perjalanan tersebut.

Nenek suatu waktu dulu selalu menjual tapai ubi di pekan Alor Lintah, Pengkalan Menyireh dan Kuala Besut. Nenek perlu menjunjung satu besen besar tapai ke perhentian bas yang jaraknya 5KM. Saya pun ikut sama pergi ke pasar. Setelah lama menunggu, barulah bas tiba. Perlu menggunakan kudrat untuk mengangkat barang ke atas bas. Begitulah kesusahan nenek untuk menyara hidup.

Nenek kini masih tinggal bersama emak dan ayah saya di kampung. Alhamdulillah, nenek masih bertenaga untuk membuat kerja-kerja ringan dan pergi ke surau menunaikan solat. Kemahiran nenek membuat tapai ubi kini telah diwarisi oleh emak. Namun, banyak kemahiran lain yang tiada pewaris. Umpamanya kemahiran membuat tikar mengkuang. Semasa saya sekolah rendah, sempat mengikut nenek menetak daun mengkuang di tepi paya.

Daun-daun tersebut diikat dan direndam ke dalam air. Kemudian, dengan menggunakan pisau khas, daun mengkuang dibelah mengikut saiz yang seragam. Kemudiannya, ia diwarnakan secara menculup ke dalam air pewarna (dye) dan dijemur sehingga kering. Seterusnya, ia dianyam dan menghasilkan tikar mengkuang yang cantik - beranika saiz dan corak.

Banyak kenangan silam bersama nenek. Suatu hari, kura-kura peliharaan saya hilang dan telah diambil oleh budak lain (kawan sekelas saya). Kura-kura itu bukan milik saya. Cuma jumpa kura-kura terlepas yang telah ditebuk lubang di bahagian belakang bagi membolehkan ia diikat dengan tali dan dibawa bermain tepi sawah. Bila saya mengadu kepada nenek, dia sendiri yang pergi mengambil semula kura-kura tersebut. Semoga nenek sihat dan terus kuat untuk menjalankan ibadat.




Kenduri Gulai Kawah

Kenduri gulai kawah adalah tradisi masyarakat kita. Ia perlu dipertahankan kerana mempunyai nilai-nilai kemahiran dan ukhuwah. Di kampung, nampaknya ia masih dipertahankan. Manakala di bandar, disebabkan oleh faktor sosial masyarakat dan persekitaran yang terhad, ramai yang memilih khidmat katering untuk menjayakan kenduri.

Bermula dengan menyembelih binatang ternakan, diikuti dengan melapah dan seterusnya memasak, kemahiran ini perlu diwarisi oleh generasi muda. Dari perhatian saya, bagi mereka yang mahir, hanya dua orang diperlukan untuk merebahkan seekor lembu sebelum disembelih. Sejak ayah sakit, saya berpeluang beberapa kali menyembelih kambing. Tapi, belum mampu menyembelih binatang yang lebih besar.

Melapah pun memerlukan kemahiran supaya daging tidak tertinggal pada belulang. Teknik yang betul membolehkan seekor lembu dilapah dalam masa 15 minit. Memasak menggunakan kawah juga suatu kemahiran yang penting dan berkait rapat dengan keenakan dan khasiat. Di kampung, menjadi kebiasaan anak-anak muda akan meminum air daging berempah dari gulai kawah. Ia boleh diminum sebelum memasukkan santan. Menurut kepercayaan mereka, air daging berempah boleh menambah tenaga.

Semua kerja-kerja di atas dilakukan secara gotong-royong. Ini boleh merapatkan tali persaudaraan dan kemesraan di kalangan penduduk. Mereka juga akan dihidangkan dengan juadah yang menceriakan lagi wajah yang hadir.


Monday, January 5, 2009

Cuti-Cuti Malaysia


Alhamdulillah, Allah telah permudahkan kami sekeluarga untuk bercuti pada 1 - 3 Januari 2009. Sebagai pemegang kad Country Heights Vacation Club (CHVC), kami telah menginap di Country Villas, Kajang untuk kali ke 3 (2004, 2006, 2009). Kami telah disediakan dengan rumah penginapan yang dilengkapi dengan 3 bilik tidur dan kemudahan untuk memasak. Seperti juga Palace of the Golden Horses, Country Villas adalah pembangunan hartanah di atas bekas lombong. Terdapat tasik-tasik besar yang dihiasi dengan kehijauan pokok di sekeliling resort.

Pada hari pertama, saya sempat mengunjungi Pusat Bandar Baru Bangi. Tujuan asalnya adalah untuk membaiki hand phone yang tiba-tiba tiada paparan. Selepas menukar LCD panel, ia kembali berfungsi. Yang menarik perhatian kami, orang yang membaiki handphone saya adalah seorang Bangla. Mengikut tuan punya kedai, dia sudah lama datang ke negara ini. Nampaknya, orang luar telah mula menguasai pasaran kerja bukan sehaja buruh biasa malah ke bidang yang melibatkan kemahiran tinggi.

Esoknya, saya ke NIOSH untuk bertanyakan tentang program master anjuran bersama dengan UUM. Masya'allah. Sambutan begitu luar biasa. Tempat untuk pengambilan Oktober 2009 telah penuh dan mempunyai ramai senarai menanti. Pegawai bertugas meminta saya memohon untuk kemasukan 2010. Maksudnya, kena menunggu hampir 2 tahun.

Saya juga ke Seremban untuk urusan tukar nama dokumen jualan rumah. Walaupun saya membuat jualan rumah sejak 30 Mei 2008, duit belum lagi terima. Pembeli membuat pinjaman dari kerajaan. Menurut peguam, ia adalah lambat dan meminta saya menunggu sebulan lagi. Semasa membuat penukaran nama bil TNB, pegawai kaunter memaklumkan kepada saya bahawa duit cagaran akan dipulangkan dalam masa 2 bulan. Begitulah bisnes mereka. Jika kita lewat bayar, elektrik akan dipotong dengan kadar cepat. Jika kita nak tuntut duit semula, mesti menunggu sekian lama.


Tahniah untuk Nur Najwa Imani


Selepas kedua-dua abangnya hanya memperoleh 3A2B dalam UPSR, Nur Najwa telah mencetuskan inspirasi baru dalam keluarga dengan mendapat 5A. Tahniah !. Walaupun berpindah sekolah beberapa kali dari SK Tmn Tuanku Jaafar ke SK Tok Raja dan seterusnya ke SK Padang Tengku, Najwa telah membuktikan bahawa beliau mampu berjaya.

Sesungguhnya Najwa memang layak mendapat keputusan tersebut. Di semua sekolah yang dia sempat belajar, samada di Seremban, Jerteh dan Padang Tengku, Najwa selalunya mendapat No 1 di dalam kelas. Kami sebagai ibu bapa turut merasa bangga dengan pencapaian tersebut.

Najwa memang tekun belajar dan membuat ulangkaji. Kami tidak perlu berleter panjang untuk memastikan semua subjek diulangkaji dan semua kerja rumah disiapkan. Kesedaran diri sendiri dan kesungguhan belajar merupakan kunci kejayaan tersebut.

Semoga akan terus berjaya di sekolah menengah dan menara gading. Insya'allah, bakal menjadi salah seorang penyumbang penting kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara setelah dewasa nanti. [Gambar yang dilampirkan adalah ehsan dari ibu kawan sekelas Najwa yang dirakam menggunakan handphone].

Ya Allah ! Permudahkanlah. Amin !!! Kepada semua guru, kami ucapkan ribuan terima kasih di atas didikan yang telah diberikan.