Monday, February 23, 2009

ISA & Dunia Tanpa Suami


Pada 14 Februari 2009, aku berpeluang mengikuti forum mengenai Internal Security Act (ISA) bertempat di Kompleks Imam As-Syafie (KIAS), Jerantut. Ahli-ahli penel terdiri daripada Hanipa Maidin (peguam), Shaari Sungib (bekas tahanan ISA) dan Pn Laila (isteri tahanan ISA - Mohd Shah). ISA kini berusia 49 tahun, disifatkan oleh Hanipa sebagai akta celaka & sial. Menurut sejarah, ISA digubal untuk menangani komunis dan gejala subversif. Namun, kini ia kerap disalah-gunakan untuk memerangi sesiapa yang tidak bersetuju dengan kerajaan BN. ISA digunakan untuk menutup suara penentangan dan juga untuk menakutkan rakyat. ISA merupakan tahanan tanpa bicara, akta yang tidak mengambil kira soal kemanusiaan. ISA adalah bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, hak asasi manusia dan keadilan sejagat.

Sewaktu Pn Laila berucap, air mata aku bercucuran. Sedih mendengar kisah keluarganya diperlakukan. Anak sentiasa bertanya, bilakah abah akan balik ? Keluarganya di kelilingi oleh SB. Suaminya, Mohd Shah ditangkap pada jam 12 malam, tanggal 18 April 2002 dan masih di Kamunting. Pn Laila kini menulis blog untuk gerakan memansuhkan ISA. Turut menulis buku `Dunia Tanpa Suami'.

Shari Sungib menyifatkan ISA sebagai zalim kerana menahan tanpa bicara, melakukan penderaan dan agenda untuk mematahkan semangat perjuangan. SB di Malaysia merupakan political police dan `never trust SB'. Tahanan dilakukan untuk meragukan diri terhadap perjuangan. ISA mahukan tahanan mendapat trauma. Jika ditahan, kuatkan pegangan dengan zikir, bacaan kisah sahabat dan bacaan al-quran. Jangan tunduk desakan supaya membuka seluar kerana ia merupakan mesej untuk melondeh prinsip perjuangan.

Friday, February 20, 2009

Aku dan Mat Filipina


Malaysia adalah antara negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Ada pelbagai suku kaum dan bangsa. Samalah dengan negara Madinah, yang pernah diterajui oleh Rasulullah SAW. Yang berbeza, negara Islam Madinah mengamalkan Islam sepenuhnya walaupun ada di kalangan rakyatnya adalah non muslim termasuk Yahudi. Malaysia yang mengamalkan Islam Hadhari masih mengamalkan Islam secara terpilih walaupun sudah merdeka lebih 50 tahun.

Berpeluang menemui warga asing memberikan pengalaman dan pengetahuan yang lebih luas. Tambahan pula, al-Quran menegaskan bahawa kewujudan pelbagai bangsa manusia memberi peluang untuk berkenalan dan kita semua adalah dari zuriat yang satu - Adam AS dan Hawa. Semasa kecil, saya bertemu dengan orang putih yang datang melancung. Tapi tak tahu nak berkomunikasi. Setelah memasuki sekolah Arab, berpeluang berguru dengan Pak Arab. Semasa di UTM, sempat mengikuti seminar Super Learning dan Plant Design yang dikendalikan oleh orang putih.

Setelah memasuki alam pekerjaan, dapat pengalaman bekerja dengan orang Jepun, Korea, Itali dan Jerman. Di kalangan buruh pula, pernah mengendalikan orang Bangla, Nepal, Thai, Vietnam, India dan Myammar. Terbaru, saya berpeluang bekerja dengan jurutera dari Filipina yang bertugas di Mieco. Mereka adalah June Afable, Marlon, Victor, Nelson dan beberapa orang yang lain. Namun, oleh kerana kegawatan ekonomi, mereka terpaksa dihantar balik ke negara mereka.

Dari pengamatan saya, tahap kemahiran mereka tidak banyak berbeza dengan orang Malaysia. Tapi majikan terpaksa mengambil mereka kerana jurutera kita tak sunggup bertugas di pedalaman. Ramai yang telah diambil bertugas tidak dapat berkhidmat lama. Mengapa warga kita terlalu memilih pekerjaan ?. Jika tiada siswazah yang menganggur, maka ini bukanlah satu isu. Kita boleh buka peluang kerja kepada warga luar. Banyak pihak seperi pekerja, majikan dan kerajaan perlu menangani isu ini.

Bersama Guru Pondok An-Nuur


Pada 18 Februari 2009, saya berkesempatan mengikuti tazkirah di kantin Mieco Gebeng. Ia disampaikan oleh Ustaz Saharudin Mohamad dari Ponduk An-Nuur (www.nuuratiq.com), Kuala Penor, Pahang. Pondok tersebut menawarkan pengajian agama untuk melahirkan para hafiz (sepenuh masa bagi lepasan UPSR) dan juga kelas-kelas umum terutama pada hari Ahad.

Tazkirah beliau berkisar kepada tajuk tanda-tanda menjelang hari kiamat. Katanya, dengan mengetahui tanda-tanda tersebut, kita akan berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapinya. Beliau telah mengemukakan tanda pertama iaitu timbul banyak fitnah dan pembunuhan. Fitnah yang dimaksudkan ialah pelbagai bentuk ujian dan kesusahan yang ditanggung oleh manusia. Pembunuhan pula meningkat disebabkan berlaku kekacauan. Dalam menghadapi situasi ini, kita dingatkan supaya sentiasa memperbaharui pernyataan keimanan dengan memperbanyakkan syahadah.

Tanda seterusnya ialah lahirnya ramai yang jahil agama dan ilmu diangkat dengan kematian para ulama dan kekosongan pengisian ilmu. Dengan bertambahnya orang-orang jahil, mereka menjadi penentang Islam yang kuat. Di samping itu, ia juga boleh membawa kepada peningkatan kes zina. Menurut Ustaz Saharuddin, Islam tampil membela wanita dengan munutup punca-punca zina termasuklah arahan menjaga aurat. Iklan-iklan yang modelnya wanita boleh memperagakan pakaian yang menutup aurat seperti di negeri Kelantan.

Beliau juga menyentuh mengenai kebanjiran arak. Hatta, arak kini dinamakan dengan pelbagai jenama tanpa menggunakan perkataan arak. Di pasaraya, arak dijual oleh cashier wanita muslim sedangkan ianya adalah tidak dibenarkan oleh agama. Lebih menyedihkan arak kini dijual 24 jam menerusi kedai-kedai seperti 7 Eleven. Katanya, beliau ada mengemukakan perkara ini kepada jabatan agama tetapi alasan yang diberi adalah kekurangan kakitangan penguatkuasaan.

Monday, February 16, 2009

Usrah Sebagai Program Tarbiyyah


Sekarang ini (1430/2009) dikenali sebagai `the 3rd wave of Islamic movement' iaitu gelombang ke 3 kebangkitan semula Islam. Setelah khilafah Islamiyyah ditumbangkan di Turki, negara umat Islam telah dijajah dan dipecahkan mengikut sempadan geografi. Gelombang kebangkitan Islam merujuk kepada kemunculan gerakan Islam untuk mengembalikan semua Islam sebagai suatu cara hidup yang lengkap - a complete way of life.

Mengikut seerah, Rasulullah memulakan program pengisian dalaman di rumah sahabat. Justeru, tokoh gerakan Islam Ikhanul Muslimin, as-syahid Hassan Banna telah memperkenalkan semula program tarbiyyah para anggota dengan nama Usrah (keluarga). Arus kebangkitan itu turut melanda negara ini dan program usrah telah dijalankan oleh banyak pihak yang melibatkan diri dengan gerakan Islam seperti PAS, IBIM, JIM dan lain-lain.

Saya mula diperkenalkan dengan usrah semasa menuntut di KUSZA pada tahun 1984. Setelah melanjutkan pelajaran ke UTM, usrah diteruskan dengan silibus yang teratur dari peringkat pengenalan, peningkatan dan seterusnya Nuqaba'. Setelah tamat pengajian, saya mengikuti usrah pemuda di Sg Buluh semasa bertugas di Malaysian Sheet Glass Bhd. Seterusnya, mengikuti usrah pemuda di Seremban sewaktu bertugas di Samsung.

Kini, setelah bertukar ke Lipis, baru melibatkan diri dengan usrah pemuda walaupun umur kepemudaan telah berlalu. Menerusi usrah, hati yang lalai akan selalu diperingatkan tentang tanggungjawab terhadap agama. Seperti maksud kata-kata Ustaz Fathi Yakan: "walaupun kita seorang pekerja, kita adalah pekerja muslim, walaupun kita seorang jurutera, kita adalah seorang jurutera muslim. Maka, kita mesti menunaikan tanggungjawab kita terhadap Islam".