Monday, November 9, 2009

OHS di kampus


Kesempatan menyambung pelajaran di UKM memberikan peluang kepada saya meninjau mengenai perlaksanaan program keselamatan dan kesihatan (OHS) di kampus. Apa yang saya pasti, terdapat usaha dan kesedaran terhadap pematuhan kehendak-kehendak Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994. Terdapat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan yang ditubuhkan bagi menggerakkan usaha ke arah mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat. Di papan kenyataan fakulti, saya dapati tertampal senarai AJK tersebut. Terdapat juga laporan bergambar mengenai kursus kesedaran OHS yang dianjurkan.

Secara keseluruhannya, kampus UKM Bangi adalah merupakan tempat kerja yang selamat dan sihat. Namun, terdapat juga hazad-hazad yang perlu diberikan perhatian. Contohnya, keselamatan kebakaran. Sepanjang 6 bulan di kampus, saya sempat mengikuti latihan pengungsian bangunan di perpustakaan Tun Sri Lanang. Di samping itu, saya dapati pemantauan kerja-kerja kontraktor adalah tidak memuaskan. Kontraktor binaan umpamanya, tidak berkasut sewaktu menjalankan kerja mereka.

Di peringkat kampus, saya juga berkesempatan mengikuti Minggu Keselamatan & Kesihatan. Banyak aktiviti yang dianjurkan, tetapi oleh kerana bertembung dengan kuliah, tidak dapat saya sertai semuanya. Yang sempat ialah menyertai senamrobik dan kuiz. Di kampus ini, para pensyarah yang berkepakaran dalam bidang OHS bertindak sebagai perunding di fakulti masing-masing. Sebelum belajar di UKM, saya kenal Dr Ismail Bahari, pakar OHS UKM, tetapi setakat ini belum berkesempatan bertemu atau mendengar `safety talk' daripada beliau di dalam kampus.