Friday, January 30, 2009

Kegawatan Ekonomi 2008-2009


Inilah kali kedua saya bersama rakan-rakan sektor pembuatan menghadapi kesan krisis ekonomi dunia. Pada tahun 1998, kilang Samsung terpaksa menghentikan operasi selama sebulan kerana kegawatan ekonomi dan banyak disebut sebagai angkara penyangak mata wang termasuk Soros. Pihak pengurusan waktu itu mengambil langkah proaktif dengan menghantar kami ke program pupuk semangat di Kem BTN Kulai Johor.

Pada akhir 2008, kegawatan telah berulang. Kini ia dikaitkan dengan krisis kewangan di Amerika Syarikat. Kesannya lebih mencabar. Sejak 1 November 2008, Kilang Mieco di Lipis menghentikan operasi. Permintaan terhadap papan serpai amat berkurangan dan hanya cukup kilang Mieco di Gebeng yang beroperasi.

Sebagai pekerja, kami bersyukur kerana pihak majikan masih lagi membayar gaji. Bagi pekerja kontrak, khidmat mereka terpaksa ditamatkan. Sukarnya mereka untuk terus mencari rezeki dan nafkah untuk diri serta keluarga. Dalam kegawatan kini, ia adalah peluang untuk kita bermuhasabah. Peluang untuk kita lebih mendekatkan diri kepada Allah. Mungkin ini semua juga kifarah atas dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Ia juga memberi pengajaran kepada kita supaya memiliki pelbagai kemahiran yang boleh digunakan untuk menjana wang.

Hidup perlu diteruskan. Kegawatan ini adalah ketentuan Allah dan pasti mempunyai hikmah tersendiri. Semoga ia akan berakhir dan sektor industri dapat meneruskan operasi dan dapat menyediakan pekerjaan kepada staf dan juga para pembekal yang terlibat.

Kawanku Di Kaca TV


Suatu pagi, selepas Subuh, saya sempat menonton rancangan Motivasi Pagi TV1. Rupanya, yang sedang berbicara itu ialah kawan saya, Niza Hanif Mustaffa. Beliau adalah bekas kakitangan Samsung dan kini menubuhkan syarikat pembangunan sumber manusia, HR Capital S/B. Beliau bertugas sebagai Training Executive sewaktu saya menyertai kilang Samsung dan banyak membantu kami sewaktu dihantar mengikuti latihan di Korea Selatan. Beliaulah yang mengajar kami etika kerja orang Korea dan juga cara berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Korea. Kamsa hamnida!!! (thanks).

Mengikut cerita kawan-kawan, muka saya pernah tersiar di TV sewaktu saya mengajukan soalan, dalam satu majlis di Pusat Islam Kuala Lumpur. Seingat saya, program tersebut dianjurkan oleh FS Institute dengan kerjasama BAHEIS (kini JAKIM). Program itu berkenaan dengan pembinaan keluarga dan saya bertanyakan soalan bagaimana untuk mengukur kejayaan dalam menguruskan rumah tangga atau apakah kayu ukurnya.

Ramai kawan-kawan saya dari KUSZA yang selalu masuk TV dewasa ini. Umpamanya, Ust. Zawawi Yusoh (UIA), Ust. Syukri Ali (pegawai agama Istana Terengganu) dan Ust. Fauzi Mustaffa (pengerusi al-Kuliyyah TV3). Ustaz Fauzi juga banyak menulis dengan menggunakan nama pena Fauzi Al-Besuti. Semasa saya menyemak buku Darul Syifa' Bangi, ada juga muka beliau di situ.

Kejayaan kawan-kawan banyak menyuntik semangat untuk terus menyumbang bakti kepada agama, masyarakat dan negara mengikut kerjaya dan kemahiran masing-masing. Ya, kita perlu bertanya apakah sumbangan kita yang boleh dimanfaatkan oleh generasi kini dan akan datang. Ilmu yang dimanfaatkan itu menjadi bekalan berterusan walaupun kita telah pergi ke alam barzakh...

Kemahiran Menangkap Ikan


Bertuahnya lahir di sebuah kampung yang berdekatan dengan sawah dan sungai. Sejak kecil lagi, ayah telah mengajar kami adik beradik lelaki kemahiran menangkap ikan. Pada musim bah, kami diajar menggunakan pukat dan tauk. Tasik Pulau Meranti dan Gong Tok Tor menjadi medan kami menangkap pelbagai spesis ikan air tawar seperti selat, sebarau, patung, merah pipi dan sebagainya. Kami juga diajar menangkap ikan besar yang sedang membawa anak kecil yang terdiri dari ikan bujuk, toman dan haruan. Kami diajar menggunakan pancing panjang daripada buluh dan menggunakan umpan katak.

Setelah padi mula membesar, kami belajar menahan tauk dengan menggunakan umpan cacing. Memang boleh buat lauk dengan ikan keli, puyu dan haruan. Selepas musim menuai, kami diajar menimba ikan dari culvert dan mengejar ikan dengan menggunakan serkat. Ayah juga mengajar kami cara menahan lampung. Ia dilakukan selepas musim bah dan perlu dilakukan pada waktu malam dan berperahu. Acap kali kami terpaksa solat maghrib di tepi tasik kerana menahan lampung bermula sebelum maghrib. Kenangan manis termasuk berjaya menangkap ikan keli limbat sebesar betis orang dewasa.

Ayah juga mengajar kami memancing dengan menggunakan umpan hidup seperti anak ikan keli dan puyu. Pancing diatur pada sepanjang tebing sungai dan tasik. Saya sendiri beberapa kali berpengalaman mendapat ikan toman yang bersaiz mega di mana batang pancing tercabut dan terpaksa meredah air untuk mencari tempat tersangkut. Ayah sendiri berjaya menangkap ikan tapah sebesar budak sewaktu di Kg. Buluh, Setiu. Ayah juga mengajar kami menahan lukah. Agak malang, kemahiran membuat lukah tidak diwarisi. Yang pandai membuat bubu dan lukah telah pun pergi mengadap ilahi.

Kini, setelah bekerja, masa untuk memancing perlu dirancang. Antara pengalaman baru ialah memancing dengan menggunakan joran yang lebih moden. Kenangan manis baru termasuklah pergi memancing bersama kawan-kawan di Pulau Perhentian dan memancing di Kuantan. Gambar yang dilampirkan adalah kejayaan saya menaikkan seekor ikan sembilang di Kuantan. Kenangan lain yang sukar dilupakan ialah memdapat 300 ekor ikan semasa menahan jaring di Sg. Jelai. Mengikut cerita, ada pihak yang pergi menuba dan mereka tak tahu saya telah menahan jaring. Itulah rezeki kami dan terpaksa bawa balik ke Terengganu, selepas dikeringkan kerana terlalu banyak untuk dimakan oleh kami.

Khazanah Dapur - Membuat Kerisik


Pengalaman berkelah dengan kawan-kawan telah memberikan kemahiran memasak. Semasa bersekolah rendah, beberapa kali kami berkelah di tepi Sungai Besut dan sama-sama memasak nasi dan lauk. Lepas tu, mandi sungai sambil mencari udang dan makan isi kelapa muda serta tebu. Sewaktu bertugas di Samsung, kami membuat outing beberapa kali termasuk ke Pengkalan Balak, Sepang. Saya yang ditugaskan untuk memasak.

Sejak beberapa tahun ke belakang, dengan tunjuk ajar dari isteri, dapatlah kemahiran memasak mee goreng basah, kueh teow beraroma dan behoon special. Jadi, kami boleh bergilir menyediakan sarapan pagi kepada anak-anak yang hendak ke sekolah. Yang hebatnya, terdapat peminat setia masakan Abah di kalangan kawan-kawan Nor dan Naj.

Pada tahun ini, khazanah dapur yang baru dipelajari ialah membuat kerisik kelapa. Kelapa perlu diparut dan digoreng pada kadar yang munasabah di dalam kuali tanpa minyak. Tidak boleh masukkan terlalu banyak kerana ia perlu ditumbuk sewaktu masih panas. Kelapa akan digoreng sehingga warna menjadi perang. Seterusnya, ia perlu ditumbuk dengan menggunakan lesung batu. Tumbuk sehingga keluar minyak. Setelah siap, masukkan ke dalam bekas dan ulang kerja-kerja menggoreng dan menumbuk sehingga selesai semua kelapa yang telah diparut. Di antara kegunaan kerisik ialah untuk dimasukkan ke dalam ramuan untuk membuat bubur asyura. Selamat mencuba.

Kenangan Kem Remaja & Hari Terbuka



Peluang menyertai aktiviti bersama masyarakat setempat membawa banyak manfaat dan kenangan. Semasa akhir cuti persekolahan 2008, kami berjaya menghantar Long dan Ngah menyertai Kem Remaja Soleh anjuran Unit Amal Lipis. Kami sebenarnya merancang untuk menghantar mereka ke program-program lain tetapi atas faktor kewangan, kami terpaksa tangguhkannya. Alhamdulillah, hajat kami berjaya juga dengan menghantar 2 orang anak ke kem yang diadakan di markas Kg. Relong, Lipis.

Pada hari terakhir telah diadakan hari terbuka PAS Kawasan Lipis. Kami sekeluarga melapangkan masa untuk hadir dan dapat beramah mesra dengan orang Lipis. Beberapa program kami sertai bagi memeriahkan majlis. Dina telah ambil bahagian dalam acara rebut gula-gula. Naj & Umi mengambil bahagian dalam acara mengisi air ke dalam botol secara menutup mata. Ngah masuk pertandingan azan dan Abah masuk acara berkhutbah.

Harapan kami semoga program seumpama tersebut diteruskan. Banyak manfaat terutama dalam mengisi masa lapang anak-anak sempena cuti sekolah. Kami sendiri dapat kenal tempat-tempat lain yang belum pernah sampai sebelum ini termasuk markas Kg. Relong tersebut. Sewaktu berbual dengan VIP, YB Roslan Zainal, beliau memaklumkan bahawa dulunya, paya di sebelah markas adalah kawasan tanaman padi. Namun, akibat dari promosi sektor pembuatan atau industri yang berlebihan semasa era Chet Det, sektor tani terabai. Termasuklah di Kg. Relong, generasi kini dah tak dapat lagi melihat sawah padi di situ dan kawasan tersebut kini dipenuhi dengan belukar.

Asyura 1430


Alhamdulillah, Muharram 1430 membuka lembaran baru kemahiran mengadakan gotong-royong memasak bubur asyura. Ini adalah kejayaan kali ke 3 kami memasak asyura anjuran Badan Kebajikan Ehwal Surau Mieco. Dua tahun lepas, 3 kawah berjaya dimasak dengan mendapat tunjuk-ajar dari Pak Cik Yaakob dari Kg. Kechor Tui. Pada tahun lepas, kami mengadakan program asyura bersama penduduk di Kg. Seberang Jelai dan Padang Tengku. Majlis diadakan bersebelahan masjid.

Tahun ini, kami berjaya memasak 3 kawah tanpa menjemput chef luar. Persediaan telah dibuat lebih awal termasuk memindahkan pondok merokok ke kantin, mengambil bahan bakar dari log yard, mengambil dan membersihkan kawah dan membuat pembelian barang-barang. Berdasarkan pengalaman yang lepas, beberapa kesukaran telah diatasi pada tahun ini. Masalah air tercemar karat kawah diatasi dengan melumurkan minyak pada permukaan kawah sebelum air dimasukkan. Masa yang lama diambil untuk melembutkan kacang diatasi dengan merendam satu malam.

Api telah dihidupkan lebih awal iaitu pada jam 7.30 pagi dan ketika para pekerja memulakan tugas pada pukul 9.00 pagi, beras dan kacang hijau telah mula lembut dan hancur. Api dihidupkan dengan lebih mudah menggunakan kepingan tiub terpakai. Kami berjaya mencapai sasaran masa untuk siap sebelum jam 3.00 petang. Sokongan padu dari para pekerja telah membolehkan asyura diagihkan pada pukul 1.30 tengahari. Berbanding dengan dua tahun lepas, ia disiapkan pada pukul 4.00 petang. Kesimpulan kami, kerja yang muafakat telah membawa berkat.

Monday, January 19, 2009

Menghadapi Kegawatan Ekonomi


Berikut ialah PANDUAN (TIP) bagaimana untuk menghadapi kemurungan akibat kegawatan ekonomi yang saya petik dari seorang kawan di Negeri Sembilan. Semoga ALLAH permudahkan kita menghadapi krisis ekonomi ini sebagaimana ALLAH memberi ilham kepada Nabi Yusuf satu ketika dulu ketika kerajaan negeri Mesir yang hebat menghadapi masalah krisis ekonomi yang lebih hebat.

PANDUAN ini adalah percuma dan boleh disebarkan, niat saya agar kita sama-sama mendapat manfaat dan keredhaan ALLAH hendaknya.

1. Sedih – Rasa sedih kerana pengangguran atau hilang pekerjaan adalah perkara biasa , tumpukan perhatian terhadap masa depan.

2. Komunikasi – Jangan memendam perasaan; berceritalah pada rakan-rakan atau saudara mara yang dipercayai mengenai masalah anda.

3. Kemaskini Resume – Kemaskini resume anda dengan maklumat pengalaman pekerjaan yang terkini. Resume hendaklah dicetak atas kertas yang berkualiti tidak lebih dua mukasurat.

4. Kumpulkan Surat Sokongan – Mohon surat sokongan dari bekas majikan, guru-guru atau pemimpin setempat.

5. Hubungan – Maklumkan kepada semua yang kita kenali yang kita sedang mencari pekerjaan. Beberapa pekerjaan boleh didapati mungkin melalui kenalan kita.

6. Buka Mata – Cari Expo Pekerjaan , Seminar , Kumpulan Sokongan yang mungkin boleh membantu anda.

7 Jangan Hanya Bergantung Pada Iklan Di Akhbar – Tahukah bahawa hanya 5% kerja kosong diiklankan di akhbar ? Bina perhubungan atau tanya mana-mana syarikat yang ada kerja kosong atau borang kerja kosong.

8. Firma Swasta – Jadi pekerja sementara jika tiada pekerjaan tetap. Kadang-kadang pekerja sementara akan diambil sebagai pekerja tetap.

9. Persatuan Bekas Pelajar – Hubungi bekas teman sama belajar kita dahulu samada di sekolah , kolej atau universiti jika mereka tahu ada kekosongan kerja.

10. Khidmat Tentera – Cuba fikirkan perkhidmatan tentera dan lain-lain sebagai satu alternatif. Hubungi pihak ATM, peluang untuk menyertai sebagai tentera secara tetap atau sebagai askar wataniah.

11. Skim Latihan – Hubungi agensi kerajaan yang menyediakan skim latihan khusus untuk mereka yang diberhentikan kerja atau menganggur.
12. Internet – Internet adalah cara terbaik untuk mencari kerja. Guna laman web mencari pekerjaan yang banyak terdapat ketika ini.

13. Jadikan Hobi Sebagai Sumber Pendapatan – Hobi kita mungkin menjadi satu sumber pendapatan. Hubungi agensi kerajaan yang berkaitan yang boleh membantu usahawan kecil.

14. Sukarelawan – Luangkan lebih masa menjadi sukarelawan dengan mana-mana pertubuhan. Banyak pengalaman akan ditimba dan banyak orang yang kita akan kenali. Pastikan pengalaman kita sebagai sukarelawan dinyatakan dalam resume kita.

15. Temuduga Suka Suka – Pergilah hadir mana-mana sesi temuduga bukan setakat suka-suka tapi untuk kumpul maklumat dan meningkatkan kemahiran ketika di temuduga. Pastikan anda tanyakan beberapa soalan kepada penemuduga untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anda.

16. Tanya Selepas Temuduga – Jangan fikir jika anda tidak dihubungi selepas temuduga kerja tersebut sudah diambil oleh orang lain, hubungi semula syarikat berkenaan untuk kepastian.

17. Maklumbalas Temuduga – Jika anda tidak diambil bekerja , tanya dengan cara yang baik kepada penemuduga kenapa mereka tidak memilih anda. Adakah kerana kurang pengalaman, bidang pengajian, gaji yang tinggi dan sebagainya. Supaya anda tahu kelemahan anda untuk diperbaiki.

18. Kunjungi Perpustakaan – Buat kajian terhadap syarikat yang anda hendak pergi temuduga atau buat kajian syarikat atau industri yang hampir serupa.

19. Matlamat Harian – Tentukan objektif harian kita berapa syarikat untuk dihubungi setiap hari. Jadikan pekerjaan mencari kerja sebagai pekerjaan anda dan buatkan jadual harian.

20. Bajet Kewangan – Bajet kewangan yang anda ada dan pastikan anda tidak berbelanja melebihi bajet anda.

21. Keutamaan – Bincang dengan ahli keluarga anda mengenai keutamaan harian. Jika perlu hentikan perkhidmatan televisyen berbayar, makan luar, telefon kedua dan sebagainya

22. Pertukaran Kerja – Buat sistem TUKAR (BARTER) samada barter barangan atau perkhidmatan dengan sanak saudara atau rakan-rakan anda. Contohnya anda membersihkan laman rumah kenalan anda dan kenalan anda yang tahu baiki kereta akan baiki kereta anda yang rosak.

23. Tunai Dan Kredit – Jangan bawa wang tunai lebih dari apa yang anda perlukan setiap hari. Juga sorokkan atau batalkan kad kredit anda. Apabila anda keluar berjalan, nak tak nak kita akan terdorong membeli sesuatu jika ada lebih wang tunai atau kad kredit.

24. Kaunseling Kredit – Jika anda ada masalah kredit, cuba hubungi kaunselor yang menyediakan perkhidmatan percuma. Mereka akan menasihati anda bagaimana hendak menguruskan kredit tertunggak anda seperti memohon rayuan pada pihak bank mengurangkan bayaran ansuran bulanan dan sebagainya.

25. Perkhidmatan Kerajaan – Cari perkhidmatan atau program kerajaan yang percuma seperti kursus, latihan, bantuan makanan dan sebagainya.

26. Bersenam Setiap Hari – Pergilah berjogging. Ianya akan menjadikan anda bertenaga untuk mencari pekerjaan. Untuk umat Islam yang lelaki, amalkan solat jemaah di masjid berhampiran.

27. Sentiasa Ceria – Pastikan anda sentiasa kemas, menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal. Ianya akan menjadikan anda rasa yakin. Sentiasa pastikan pakaian untuk ke temuduga sentiasa kemas dan tersedia dalam almari.

28. Jaga Pemakanan – Makan makanan yang sihat dan jangan makan makanan mengarut. Ianya mempengaruhi sikap anda.

29. Rokok – Fikir wang yang akan anda jimatkan jika tidak merokok. Seorang perokok boleh membelanjakan purata RM300 sebulan hanya untuk rokok. Rokok membahayakan kesihatan. Itu adalah amaran Kerajaan Malaysia. Merokok adalah Haram atau Makruh itu pendapat ulama. Tak ada pula kita pernah dengar merokok itu wajib atau sunat.

30. Belanja Diri Sendiri – Tak salah sekali sekala anda belanja diri anda sendiri, tapi pastikan biarlah berjimat cermat.

INGAT ! Bukan anda seorang yang menghadapi kesan kegawatan ekonomi. Dibuang kerja atau menganggur adalah merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi kepada mereka yang bekerja. Sentiasa berfikiran positif dan jadikannya sebagai satu proses pembelajaran. Lebih banyak kita berfikiran positif, lebih cerah peluang kita untuk mendapatkan pekerjaan. Berfikiran positif ini ialah sentiasa berlapang dada dan redha dan terus berusaha

Friday, January 9, 2009

Tahniah Long !


Tahniah untuk anak sulung kami, Muhammad Amirul Aiman. Pada 30 Disember 2008, Long berjaya mendapat 6A 2B dalam PMR. Pada tahun 2008, SMK Padang Tengku telah mencatat sejarah kerana seramai 6 orang pelajar mendapat 8A. Ia merupakan pencapaian tertinggi bagi sekolah Daerah Lipis. Ia merupakan loncatan baru sekolah ini yang merupakan sebuah sekolah di luar bandar dan tidak menapis penerimaan murid.

Long asalnya bersekolah di SMKA Wataniah, Jerteh selepas mendapat keputusan 3A2B dalam UPSR. Selepas kami berpindah, Long tidak boleh belajar di SMA Al-Maidah, Padang Tengku kerana sukatan pelajaran yang berbeza. Kami daftarkan Long di SMKPT kerana hampir dengan rumah dan boleh berjalan kaki ke sekolah.

Pada mulanya, Long ditempatkan dalam Tingkatan 2A (kelas ke 3 dalam turutan terbaik) dan dinaikan ke Tingkatan 3 Wawasan 1 pada tahun 2008. Dengan kejayaan tersebut, Long telah mengulangi pencapaian kedua-dua orang tuanya. Semasa saya mengambil SRP dan mendapat 8 aggregat dan mencipta sejarah sebagai anak kampung terbaik di Pulau Meranti Jerteh dan akhirnya menuntut di KUSZA (kini UDM) yang merupakan sekolah agama berasrama penuh di Terengganu.

Thursday, January 8, 2009

Nenek Ku Kalsom Ibrahim

Di sebelah bapa, kedua-dua nenek dan datuk saya telah meninggal dunia. Di sebelah ibu pula, saya masih mempunyai nenek yang kini berumur 76 tahun manakala datuk telah meninggal dunia. Di sebelah mertua, mereka semua telah meninggal dunia.

Adik beradik saya seramai 10 orang. Semasa saya kecil, neneklah yang pelihara dan selalu bawa ke mana-mana. Maklumlah, emak perlu menjaga ramai adik-adik yang lain. Maka, sehingga darjah satu, saya masih tidur dengan nenek. Saya masih ingat, ketika nenek balik ke kampungnya di Kg. Nangka dengan berjalan kaki sambil mengharungi Sg. Besut dan mendaki Bukit Puteri , pada Hari Raya Enam (7 syawal). Saya ikut serta dalam perjalanan tersebut.

Nenek suatu waktu dulu selalu menjual tapai ubi di pekan Alor Lintah, Pengkalan Menyireh dan Kuala Besut. Nenek perlu menjunjung satu besen besar tapai ke perhentian bas yang jaraknya 5KM. Saya pun ikut sama pergi ke pasar. Setelah lama menunggu, barulah bas tiba. Perlu menggunakan kudrat untuk mengangkat barang ke atas bas. Begitulah kesusahan nenek untuk menyara hidup.

Nenek kini masih tinggal bersama emak dan ayah saya di kampung. Alhamdulillah, nenek masih bertenaga untuk membuat kerja-kerja ringan dan pergi ke surau menunaikan solat. Kemahiran nenek membuat tapai ubi kini telah diwarisi oleh emak. Namun, banyak kemahiran lain yang tiada pewaris. Umpamanya kemahiran membuat tikar mengkuang. Semasa saya sekolah rendah, sempat mengikut nenek menetak daun mengkuang di tepi paya.

Daun-daun tersebut diikat dan direndam ke dalam air. Kemudian, dengan menggunakan pisau khas, daun mengkuang dibelah mengikut saiz yang seragam. Kemudiannya, ia diwarnakan secara menculup ke dalam air pewarna (dye) dan dijemur sehingga kering. Seterusnya, ia dianyam dan menghasilkan tikar mengkuang yang cantik - beranika saiz dan corak.

Banyak kenangan silam bersama nenek. Suatu hari, kura-kura peliharaan saya hilang dan telah diambil oleh budak lain (kawan sekelas saya). Kura-kura itu bukan milik saya. Cuma jumpa kura-kura terlepas yang telah ditebuk lubang di bahagian belakang bagi membolehkan ia diikat dengan tali dan dibawa bermain tepi sawah. Bila saya mengadu kepada nenek, dia sendiri yang pergi mengambil semula kura-kura tersebut. Semoga nenek sihat dan terus kuat untuk menjalankan ibadat.




Kenduri Gulai Kawah

Kenduri gulai kawah adalah tradisi masyarakat kita. Ia perlu dipertahankan kerana mempunyai nilai-nilai kemahiran dan ukhuwah. Di kampung, nampaknya ia masih dipertahankan. Manakala di bandar, disebabkan oleh faktor sosial masyarakat dan persekitaran yang terhad, ramai yang memilih khidmat katering untuk menjayakan kenduri.

Bermula dengan menyembelih binatang ternakan, diikuti dengan melapah dan seterusnya memasak, kemahiran ini perlu diwarisi oleh generasi muda. Dari perhatian saya, bagi mereka yang mahir, hanya dua orang diperlukan untuk merebahkan seekor lembu sebelum disembelih. Sejak ayah sakit, saya berpeluang beberapa kali menyembelih kambing. Tapi, belum mampu menyembelih binatang yang lebih besar.

Melapah pun memerlukan kemahiran supaya daging tidak tertinggal pada belulang. Teknik yang betul membolehkan seekor lembu dilapah dalam masa 15 minit. Memasak menggunakan kawah juga suatu kemahiran yang penting dan berkait rapat dengan keenakan dan khasiat. Di kampung, menjadi kebiasaan anak-anak muda akan meminum air daging berempah dari gulai kawah. Ia boleh diminum sebelum memasukkan santan. Menurut kepercayaan mereka, air daging berempah boleh menambah tenaga.

Semua kerja-kerja di atas dilakukan secara gotong-royong. Ini boleh merapatkan tali persaudaraan dan kemesraan di kalangan penduduk. Mereka juga akan dihidangkan dengan juadah yang menceriakan lagi wajah yang hadir.


Monday, January 5, 2009

Cuti-Cuti Malaysia


Alhamdulillah, Allah telah permudahkan kami sekeluarga untuk bercuti pada 1 - 3 Januari 2009. Sebagai pemegang kad Country Heights Vacation Club (CHVC), kami telah menginap di Country Villas, Kajang untuk kali ke 3 (2004, 2006, 2009). Kami telah disediakan dengan rumah penginapan yang dilengkapi dengan 3 bilik tidur dan kemudahan untuk memasak. Seperti juga Palace of the Golden Horses, Country Villas adalah pembangunan hartanah di atas bekas lombong. Terdapat tasik-tasik besar yang dihiasi dengan kehijauan pokok di sekeliling resort.

Pada hari pertama, saya sempat mengunjungi Pusat Bandar Baru Bangi. Tujuan asalnya adalah untuk membaiki hand phone yang tiba-tiba tiada paparan. Selepas menukar LCD panel, ia kembali berfungsi. Yang menarik perhatian kami, orang yang membaiki handphone saya adalah seorang Bangla. Mengikut tuan punya kedai, dia sudah lama datang ke negara ini. Nampaknya, orang luar telah mula menguasai pasaran kerja bukan sehaja buruh biasa malah ke bidang yang melibatkan kemahiran tinggi.

Esoknya, saya ke NIOSH untuk bertanyakan tentang program master anjuran bersama dengan UUM. Masya'allah. Sambutan begitu luar biasa. Tempat untuk pengambilan Oktober 2009 telah penuh dan mempunyai ramai senarai menanti. Pegawai bertugas meminta saya memohon untuk kemasukan 2010. Maksudnya, kena menunggu hampir 2 tahun.

Saya juga ke Seremban untuk urusan tukar nama dokumen jualan rumah. Walaupun saya membuat jualan rumah sejak 30 Mei 2008, duit belum lagi terima. Pembeli membuat pinjaman dari kerajaan. Menurut peguam, ia adalah lambat dan meminta saya menunggu sebulan lagi. Semasa membuat penukaran nama bil TNB, pegawai kaunter memaklumkan kepada saya bahawa duit cagaran akan dipulangkan dalam masa 2 bulan. Begitulah bisnes mereka. Jika kita lewat bayar, elektrik akan dipotong dengan kadar cepat. Jika kita nak tuntut duit semula, mesti menunggu sekian lama.


Tahniah untuk Nur Najwa Imani


Selepas kedua-dua abangnya hanya memperoleh 3A2B dalam UPSR, Nur Najwa telah mencetuskan inspirasi baru dalam keluarga dengan mendapat 5A. Tahniah !. Walaupun berpindah sekolah beberapa kali dari SK Tmn Tuanku Jaafar ke SK Tok Raja dan seterusnya ke SK Padang Tengku, Najwa telah membuktikan bahawa beliau mampu berjaya.

Sesungguhnya Najwa memang layak mendapat keputusan tersebut. Di semua sekolah yang dia sempat belajar, samada di Seremban, Jerteh dan Padang Tengku, Najwa selalunya mendapat No 1 di dalam kelas. Kami sebagai ibu bapa turut merasa bangga dengan pencapaian tersebut.

Najwa memang tekun belajar dan membuat ulangkaji. Kami tidak perlu berleter panjang untuk memastikan semua subjek diulangkaji dan semua kerja rumah disiapkan. Kesedaran diri sendiri dan kesungguhan belajar merupakan kunci kejayaan tersebut.

Semoga akan terus berjaya di sekolah menengah dan menara gading. Insya'allah, bakal menjadi salah seorang penyumbang penting kepada pembangunan agama, masyarakat dan negara setelah dewasa nanti. [Gambar yang dilampirkan adalah ehsan dari ibu kawan sekelas Najwa yang dirakam menggunakan handphone].

Ya Allah ! Permudahkanlah. Amin !!! Kepada semua guru, kami ucapkan ribuan terima kasih di atas didikan yang telah diberikan.