Thursday, April 9, 2009

Awas ! Kelongsong Gas Pemedih Mata


Semasa demonstrasi aman isu PPMSI dari Masjid Negara ke Istana Negara pada 7 Mac 2009, saya turut terkena gas pemedih mata yang ditembak oleh pihak polis. Tanpa amaran dan belas kasihan, polis menembak gas tersebut dalam arah vertikal dan horizontal. Seorang kawan telah sempat mengambil sebutir kelongsong gas pemedih mata sebagai kenangan. Bersaiz sebesar ulu parang, jika terkena badan pasti menyakitkan. Apatah lagi, jika terkena mata seperti yang menimpa Mohd Huzaifah (rujuk berita di bawah). Maka anggota polis wajar profesional dalam menjalankan tugas dan bukan menembak orang awam yang tidak yang tidak bersenjata secara mengikut perasaan.

KOTA BHARU 9 April - Seorang pelajar berkemungkinan hilang keupayaan penglihatan kekal apabila mata kanannya dipercayai terkena serpihan kelongsong gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini malam kelmarin.

Mangsa, Mohd. Huzaifah Mohd. Nor, 18, pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini mendakwa terkena kelongsong itu ketika membantu mengemas barangan jualan di gerai minuman milik sepupunya, Abdul Rahman Hussein kira-kira 100 meter di luar stadium berkenaan.

Ketika ditemui, pelajar kursus Penyejukbekuan dan Penyaman Udara itu mendakwa doktor yang merawatnya mengesahkan mata kanannya tidak dapat diselamatkan walaupun telah menjalani pembedahan selepas empat jam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Masa itu keadaan sudah kelam kabut. Saya dengan sepupu saya tengah mengemas barang-barang berniaga untuk pulang, tiba-tiba saya rasa ada benda keras terkena pada mata kanan.

''Kemudian saya rebah dan hampir pengsan kerana terlalu sakit serta darah banyak keluar dari mata kanan saya.

"Dalam keadaan separuh sedar itu, saya dipapah ke hospital yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian oleh sepupu saya untuk menerima rawatan dan pembedahan pada mata saya selesai kira-kira 2 pagi semalam," katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini hari ini.

Rusuhan penonton berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV sejurus selesai perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dengan Negeri Sembilan dan memaksa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memberitahu, Mohd. Huzaifah sering membantunya berniaga makanan dan minuman sejak setahun lalu di sekitar stadium setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak.

Katanya, ketika tembakan gas pemedih mata dilepaskan dia terus tunduk untuk cuba menyelamatkan diri dan mendapati mangsa rebah serta darah keluar dengan banyak di bahagian mata.

"Huzaifah kemudian memegang saya serta memberitahu matanya terkena objek keras tersebut dan hampir pengsan.

"Dalam keadaan kelam kabut, saya terus memapah dia yang sudah tidak berdaya ke hospital dan terpaksa menahan pedih pada mata akibat kawasan tersebut diselubungi gas pemedih mata," katanya.

Sehubungan itu, abang mangsa, Salahuddin Mohd. Nor, 41, telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu.

Kata Salahuddin, dia juga sedang mendapatkan nasihat daripada peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak polis kerana kejadian itu.

"Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci kerana kejadian tersebut menyebabkan masa depan adik saya gelap," katanya.

Sunday, April 5, 2009

Jangan Sampai Rakyat Doakan Kematian YB


Di Malaysia, BN mengajar rakyat supaya rakyat mendoakan supaya wakil-wakil rakyat cepat mati. Ini kerana jika berlaku pilihan raya, projek datang mencurah-curah. Terbaru, sempena pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air, BN masih terus melaksanakan projek mee segera mereka. Walaupun sudah sekian lama jalan rosak dan tak diperbaiki, tak semena-mena ia boleh diturap oleh kontraktor. Longkang yang sudah lama tersumbat, tiba-tiba datang bajet yang membolehkan ia dibetulkan.

Pemimpin seluruh negara dapat `extra hours' untuk menemui rakyat. Mereka sanggup meredah semak dan lopak untuk menemui orang kampung yang jauh miskin dan masih ketinggalan. Yang Berhormat (YB) kini menjadi Yang Berkhidmat kepada rakyat. Akhbar melaporkan bahawa para pemimpin sanggup menaiki basikal untuk menjengok rakyat, yang tidak begitu dipedulikan sebelum pilihan raya.

Adakah ini budaya kita ? BN terus menghulurkan pelbagai bantuan segera sekadar untuk memancing undi. Maka, jika rakyat mahukan kawasan mereka diberikan perhatian, doalah supaya berlaku pilihan raya kecil. Atau dengan kata lain, seolah-olah memohon supaya YB cepat mati. Rakyat akan diberikan perhatian yang luar biasa sehinggalah diumumkan keputusan pengundian. Kemudian, beransur-ansur rakyat akan ditinggalkan sementara menunggu PR yang lain. Oleh itu, undilah untuk perubahan yang lebih baik. Vote for change !

Rakyat Ikut Agama Pemimpin


Rakyat akan mengikut agama pemimpinnya. Frasa ini terbukti berdasarkan catatan sejarah. Apabila raja Melaka memeluk Islam dan ditabal sebagai sultan, maka ramai warga negeri tersebut meninggalkan agama sesat dan memeluk Islam. Di Terengganu, berdasarkan catatan pada Batu Bersurat, undang-undang Islam didaultakan dan rakyat dengan rela menerima hukum hudud kerana sultan yang memerintah mahu amalkan Islam sepenuhnya.

Di Malaysia, kita sudah merdeka lebih 51 tahun. Deraf Hukum Hudud telah diluluskan di DUN Kelantan. Namun, ia masih tak dapat dilaksanakan kerana `khalifah Islam Hadhari' tak mahu menerimanya. Dalam soal bertudung, 2 orang Raja Permasuri Agung telah menunjukkan contoh iaitu Siti Aishah dan Tengku Zahirah. Mereka memperagakan pakaian yang menutup aurat yang diwajibkan oleh agama. Maka senanglah para ibu bapa menjadikan mereka sebagai contoh untuk menggalakkan anak-anak bertudung. Begitu juga kepada para guru dan pendakwah. Ada model yang mereka boleh tonjolkan.

Namun, kita masih mengharapkan hidayah Allah supaya isteri PM dan MB turut melakukan perkara yang sama. Bukan hanya bertudung sewaktu solat. Bukan sekadar bertudung ketika menghadiri kes kematian atau program agama. Islam adalah cara hidup. Kita mahu isteri-isteri mereka yang diamanahkan memimpin negara supaya mengamalkan pakaian yang menutup aurat pada sepanjang masa di depan bukan muhrim. Ini buka soal peribadi. Ini bukan soal kubur yang tidak selubang. Ini bukan perlanggaran hak asasi. Menutup aurat adalah perintah Yang Maha Pencipta. Siapa kita untuk terus degil dan engkar. Apatah lagi sekiranya kita adalah saf pimpinan. Rakyat akan mengikut cara hidup orang yang memimpin mereka...

Menziarahi Tok Guru


Selepas CT & suaminya, Dato' K menziarahi Tok Guru Menteri Besar Kelantan, timbul gosip bahawa mereka ingin bertukar parti. Ia dinafikan oleh Dato' K di mana ziarah yang dilakukan adalah untuk bertanya khabar dan menghormati `tuan rumah'. Sebenarnya, Islam mengajar umatnya supaya sentiasa bersama ulama'. Merekalah pewaris Nabi yang mampu memimpin dan menerangkan tentang agama supaya kita semua tidak sesat. Kita disuruh belajar agama dari para guru (alim ulama'). Jika tidak berupaya, kita diminta menjadi pendengar (tadah telinga) di mana-mana majlis ilmu. Jika itu pun tak mampu, kita disuruh untuk menyukai program ilmu dan ulama'. Jangan hendaknya kita terkeluar daripada senarai di atas.

Tok Guru Nik Aziz boleh dicontohi dalam banyak perkara. Beliau telah menunjukkan contoh pemimpin yang hidup sederhana sewaktu di puncak kuasa. Beliau menjadi bukti bahawa pimpinan parti Islam tidak terperangkap dengan jerat 3 TA iaitu Takhta, Harta dan Wanita. Tok Guru jadikan itu semua sebagai wasilah dan bukan matlamat. Dengan kuasa, Tok Guru melaksanakan peraturan-peraturan agama yang diperintahkan oleh Allah. Beliau infakkan harta untuk rakyat dan juga perjuangan Islam. Bersama wanita, beliau menunjukkan contoh rumahtangga Islam dan bagaimana muslimat boleh berperanan dalam membantu perjuangan Islam tanpa melanggar batasan syarak'.

Kesempatan bertemu dengan Tok Guru begitu meninggalkan kesan. Antara peluang tersebut ialah mengikuti Tamrin UTM di Darul Hidayah, Selangor; sambutan 10 tahun Hizbi di Taman Melewar dan kempen pilihanraya kecil di Anak Bukit, Kedah. Semoga Tok Guru sentiasa sihat dan terus memberikan inspirasi kepada kita semua. Marilah kita melazimi menziarahi alim ulama dan sentiasa mencontohi praktis cara hidup Islam yang diwarisi dari para Nabi.