Thursday, January 21, 2010

Keharmonian yang tidak ternilai


Sebelum ini, kita cuma membaca kisah di zaman datuk nenek dulu (contohnya 1969) mengenai salah faham di kalangan pelbagai kaum di negara kita dan berlaku ketegangan. Dilaporkan ada yang meninggal dunia dan cedera. Di negara luar, berita kekecohan kaum yang kita dengar begitu kerap. Namun, apakah kita di bumi bertuah ini tidak mahu mengambil iktibar. Keharmonian hidup pelbagai kaum di tanah air begitu tinggi nilainya dan kita semua perlu dipertahankan.

Di manakah kegagalan manusia ? Bermula dengan isu kalimah Allah. Kemudian, dilaporkan terdapat gereja yang cuba dikhianati. Kejadian begini tidak pernah dilaporkan sebelum ini. Terbaru, media melaporkan bahawa surau di Muar pula cuba dibakar. Ini sangat mendukacitakan. Kita yang beragama Islam sepatutnya faham bahawa rumah ibadah sendiri atau agama lain tidak boleh dikacau ganggu. Ini ajaran dan etika. Malah, tingginya Islam, dalam perang sekali pun, golongan seperti wanita, kanak-kanak, tumbuhan dan binatang tidak boleh dibinasakan.

Kejadian bakar tempat ibadat ini berlaku di kala kerajaan sekarang mempromosikan slogan 1Malaysia. Nampak sangat bahawa perpaduan yang tidak berteraskan ikatan agama tidak ke mana. Perpaduan bukan sekadar meraikan perayaan kaum-kaum lain. Perpaduan yang lebih kukuh ialah menghayati bahawa semua kaum dijadikan oleh Allah dan kita semua adalah dari zuriat yang satu. Kita dilahirkan mengikut kaum tertentu yang bukannya pilihan diri masing-masing. Ada di kalangan `saudara kita' yang mendapat hidayah dan ramai lagi yang belum menerimanya. Dalam kepelbagaian pegangan agama ini, terdapat perbezaan dan persamaan. Perpezaan dan persamaan dalam pegangan agama sepatutnya menyatutkan semua penduduk dan bukan dijadikan punca pertembungan.

Ikan mati di dalam air


Pernah saya mendengar kata pepatah itik mati dikepuk, semut mati di dalam gula. Agak pelik bagaimana kedua-dua binatang itu tidak dapat meneruskan hidup di tempat lambakan makanan asasi mereka. Kini, saya perkenalkan frasa ikan mati di dalam air. Ya, air adalah habitat ikan namun bagaimana ikan pula boleh mati di dalamnya. Inilah yang mengajak kita, selaku khalifah di bumi berfikir sejenak. Allah menjadikan bumi untuk penghidupan bukan sahaja bagi manusia, malah hidupan lain. Kita dan hidupan lain saling berkait samada dalam rantaian makanan mahupun pertukaran tenaga. Inilah prinsip ekologi yang telah dibuktikan kepentingannya.

Gambar yang ditunjukkan adalah mengenai kejadian ikan talapia yang ditemui mati di Sungai Melaka. Ikan talapia adalah antara spesis yang kuat dalam pertarungan hidup. Namun,mungkin disebabkan air yang tercemar angkara khianat dan sikap tidak prihatin manusia telah menyebabkan ikan-ikan spesis tersebut ditemui mati. Komuniti ikan terutama ikan air tawar semakin berkurang. Dengan ditambah pula kejadian keracunan seperti ini, sumber protien ini kian pupus. Berfikirlah sejenak. Adakah generasi akan datang boleh mewarisi khazanah alam yang kita nikmati pada hari ini ?

Wednesday, January 20, 2010

Menteri KPT di UKM


Pada 15 Januari 2010, terdapat beberapa naskhah akhbar BH di pondok sekuriti kolej kediaman kami di Bangi. Keadaan ini tidak berlaku pada hari-hari sebelumnya. Rupanya, terdapat berita tentang UKM di muka pertama. Ia berkenaan dengan Sudut Pidato yang dihidupkan sempena kunjungan DS Mohamed Khaled Nordin ke kampus UKM Bangi pada 14 Januari 2010. Pada hari program itu, kami ada kuliah dan tidak dapat turut serta. Di bawah ini disertakan berita mengenainya yang dipetik dari laman web Universiti (walaupun berita pidato tidak dinyatakan):

Majlis Perasmian Teres Eko Niaga Dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG)

Majlis Perasmian Teres Eko Niaga dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik telah berlangsung di Teres Eko Niaga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 14 Januari 2010. Majlis telah dirasmikan oleh Y.B. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

YB. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyuarakan perasaan bangga dan tahniah beliau kepada UKM kerana telah menyediakan satu kemudahan untuk memupuk para pelajar melatih diri menjadi usahawan yang berjaya serta dapat melahirkan modal insan yang cemerlang di masa hadapan.

Objektif utama penubuhan Teres Eko Niaga UKM ini adalah untuk meningkatkan kemahiran pelajar UKM dalam bidang keusahawanan. Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) bertanggungjawab mengurus dan memantau operasi perniagaan di Teres Eko Niaga UKM supaya selari dengan keperluan latihan keusahawanan yang telah dirancang dan sebagai pusat inkubator perniagaan pelajar UKM.

Terdapat sembilan Kiosk Teres Eko Niaga telah dibina berhampiran dengan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Perpustakaan Tun Sri Lanang dan Kolej Aminuddin Baki. Lima kiosk pertama yang siap dibina pada tahun 2007 menjual barangan kering, manakala empat lagi kiosk yang siap pada awal 2009 menjual makanan.

UKM telah memperkenalkan sistem Kompetensi Generik berasaskan Kerangka Kelayakan Malaysia (KKM) iaitu salah satu daripada hasil pembelajaran adalah kemahiran keusahawanan. UKM dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang dahulunya di bawah Kementerian Keusahawanan dan Koperasi telah berjaya membina Teres Eko Niaga UKM pada tahun 2007.

Tuesday, January 19, 2010

Asyura 1431H di kampung halaman


Pada 27 Disember 2009, terakam satu lagi saat manis dalam hidup. Pada hari tersebut, kami telah berjaya memasak sekawah bubur asyura kendalian generasi baru. Ceritanya bermula pada tahun 2007, di mana saya menganjurkan majlis memasak bubur asyura di Kechau Tui, Padang Tengku bersama dengan kawan-kawan. Kami terpaksa mencari tukang masak dari kalangan penduduk kampung. Pada tahun 2008, kami menganjurkan pula dengan pengawasan minima. Sehinggalah pada 27 Disember 2009, dengan resepi yang saya catitkan dan langkah-langkah memasak, kami berjaya memasak bubur asyura secukup rasa. Kami berbesar hati kerana kali ini bubur tersebut telah berjaya diagihkan kepada penduduk setempat dan kepada sanak-saudara sendiri.

Memasak bubur asyura memerlukan masa yang lama dan beberapa kemahiran diperlukan bagi mengurangkan jumlah masa memasak. Ia termasuklah merendam beras, kacang hijau dan kacang merah satu malam. Ini akan mencepatkan ia hancur selepas dimasukkan ke dalam kawah. Kami bersyukur kerana berjaya mewarisi kemahiran ini dari generasi lama. Semoga selepas ini kami berkesempatan untuk belajar memasak gulai dan nasi kawah pula. Insya'allah.

Gerhana Matahari


Mahasuci Allah yang telah menciptakan alam semesta dengan penuh kehebatan. Pada 15 Januari 2010, saya berkesempatan mengikuti pencerapan gerhana matahari spara di Masjid Putra, Putrajaya. Ini adalah pengalaman pertama saya meneropong matahari dengan peralatan canggih yang disediakan. JAKIM, JUPEM dan Jabatan Mufti Selangor telah bekerjasama menjayakan program tersebut. Pameran turut diadakan bagi menjelaskan fenomena gerhana, mempamerkan gambar-gambar gerhana terdahulu dan juga pelbagai informasi menarik mengenai ilmu falak atau astronomi. Ia termasuklah cara menentukan arah kiblat berdasarkan kedudukan matahari di atas kaabah dan juga penentuan awal bulan-bulan hijrah.

Pihak penganjur turut mengedarkan risalah mengenai cara mengerjakan solat gerhana matahari. Gerhana matahari pada hari tersebut bermula pada jam 3.01 petang, namun untuk lokasi di Putrajaya, awan tebal telah menghalang pengunjung menyaksikan turutan gerhana yang berakhir selepas asar. Namun begitu, kecanggihan teknologi kini telah membolehkan kami melihat kejadian itu yang dirakam di lokasi lain. Mahasuci Allah yang telah menciptakan bumi dan bulan yang bergerak mengikut orbitnya dan pergerakan itu boleh diukur dan fenomena gerhana boleh diramalkan tarikhnya dengan lebih awal. Kejayaan meramal kejadian gerhana pada 15.1.10 tersebut meyakinkan saya betapa tepat waktu solat dan penentuan awal bulan yang dilakukan di Malaysia.

Friday, January 15, 2010

Kempen kesedaran alam sekitar



Pada 9 Januari 2010, bersama dengan siswa-siswi UKM Bangi, kami menghadiri Environmental Carnival di HUKM, Cheras. Program tersebut dianjurkan oleh pelajar perubatan UKM. Hebat ! Wujud satu anjakan baru di mana banyak pihak kini turut menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Menurut dekan Fakulti Perubatan, tugas doktor adalah untuk menyelamatkan nyawa manusia. Maka, mereka juga perlu terlibat dengan gerakan seperti ini kerana persekitaran yang tercemar boleh membawa musibah dan kehilangan nyawa.

Walaupun sudah bekerja beberapa tahun dalam arena alam sekitar, saya merasa begitu tercabar kerana pengetahuan pelajar lain amat meluas mengenai alam sekitar. Begitu juga dengan bahan pameran dan fakta-fakta yang dikemukakan oleh penceramah. Terkini dan jauh ke hadapan. Antara yang masih saya ingat ialah pandangan seorang pelajar siswazah tentang `green mind'. Katanya, tanpa anjakan minda di kalangan penduduk (goes green), usaha untuk meningkatkan penjagaan alam sekitar di negara ini akan kurang berkesan. Betul juga kan? Sudah beberapa kali saya mengikuti kursus changing mind set, tapi tak terfikir untuk menjurus kepada kesedaran alam sekitar. Itulah antara perkara baru yang menyedarkan diri saya...

Sejuk hati rakyat


Sebelum era demokrasi berparlimen, negeri-negeri di Tanah Melayu ditadbir di bawah naungan sultan. Sebagai ketua kerajaan, sultan mempunyai pengaruh yang kuat. Mengikut cerita sejarah, apabila raja Melaka memeluk Islam, maka rakyat berduyung-duyung mengikut agama yang dipilih oleh sultan. Di Terengganu, dari catatan batu bersurat, sultan telah melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dengan melaksanakan undang-undang Islam.

Kini, raja masih kekal sebagai ketua agama, walaupun kuasa memerintah negara dan negeri beralih kepada PM & MB/KM. Namun, pada pandangan rakyat seperti saya, seakan wujud kekosongan peranan sultan dalam hal agama. Yang sering dilihat, penyimpan mohor besar umumkan tarikh mula puasa dan hari raya. Peranan raja sebagai umara' dan ulama' tak ketara di Malaysia.

Sehinggalah melihat foto Pemangku Sultan Kelantan menjadi imam solat di Kota Bharu pada 14 Januri 2010, saya rasa sejuk hati. Institusi raja masih dipandang tinggi oleh orang Melayu. Maka, dalam kemelut dan pertembungan di kalangan pimpinan parti politik, kehadiran sultan untuk membuat `alignment' mungkin berkesan. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada semua raja-raja Melayu untuk bersama menyumbang ke arah Islam sebagai suatu cara hidup di negara ini.