Monday, October 31, 2011

Rebut peluang & kasih sayang


Pada 27 Oktober 2011, saya dapat kesempatan mengikuti dua tazkirah. Tazkirah pertama oleh Ust. Zuhdi di Surau Tmn Desa Aman. Antara lain, pesan Nabi Adam: a) Jangan terlalu tenteram dan seronok dengan kehidupan dunia; b) Jangan terlalu mengikut keinginan nafsu dan keinginan isteri; c) sebelum lakukan sesuatu, fikirkan akibatnya; d) Jika nak buat sesuatu tapi hati tak tenteram, jauhkan diri daripada perkara itu; e) Jika nak buat sesuatu, berbincanglah @ tanya orang alim. Katanya lagi, Allah pemilik syurga maka kita perlu rapat denganNYA seperti seseorang perlu rapat dengan tuan rumah yg ingin kita masuk atau dijemput masuk. Di samping itu, pesan Rasulullah kepada Abu Hurairah: a) Jangan tidur kecuali setelah kerjakan solat witir; b) Jangan lupa utk solat sunat dhuha; c) Jangan tinggal puasa sunat 3 hari setiap bulan hijrah. Tazkirah kedua oleh Ust Shuhaimi di rumah Hj Zhohir. Katanya, umat Islam yang tak terpilih sebagai tetamu di baitullah, ada ibadat lain utk dekatkan diri kepada Allah. Maka, kita perlu rebut peluang (ibadat korban). Menurut beliau, orang yg tolak perintah Allah adalah orang yg tolak rahmat dan kasih sayang Allah. Juga, orang yang selalu beri alsan dalam melaksanakan perintah agama adalah orang yang tolak kasih sayang Allah.

Hudud bukan isu politik


Pada 29 Oktober 2011, saya pergi memancing di Pulau Betong, Pulau Pinang. Ada banyak pengalaman baru yang saya perolehi. Tapi, cerita memancing tu ditangguhkan dulu. Saya nak catat butiran kuliah Ust. Shuhaimi di Surau Taman Desa Aman pada 9 Oktober 2011. Beliau memulakan kuliah dengan mengingatkan tentang penambahbaikan berterusan (esok lebih baik dari hari ini). Seterusnya, beliau menyentuh tentang hudud. Katanya, hudud adalah di luar daripada isu politik. Namun, nak laksanakan hudud perlu kepada kuasa politik. Hebatnya hudud, belum dilaksanakan sudah ada orang yang merasa takut.Hudud terdapat dalam semua bab - aqidah dan ibadah. Mengenai bajet 2012, apa yang boleh kita manfaatkan kekayaan untuk Islam. Bajet itu seolah-olah suburkan kehidupan dunia.Nabi SAW tak wariskan harta tapi ilmu. Mengenai mati, ia akan kita hadapi samada menerusi sakit dan juga tidak sakit.

Saturday, June 11, 2011

Ujian BOD, COD & TSS




Kualiti air buangan diukur dengan menggunakan beberapa parameter seperti Biochemical Oxygen Demand (BOD), Chemical Oxygen Demand (COD) & Total Suspended Solid. Semasa mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia di UTM, pernah belajar tentang parameter ini tapi tidak banyak menggunakannya sewaktu bekerja sebagai Production Engineer. Sehinggalah bertukar ke bidang EHS, parameter ini menjadi suatu yang wajib untuk diketahui. Malah, satu salinan laporan pemantauan efluen perlu dihantar ke Jabatan Alam Sekitar. Bagi kami di kilang, semua ujian BOD, COD & TSS dilakukan oleh pihak makmal yang dilantik atau diberikan kontrak. Kesempatan belajar di UKM telah memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan sekuliah untuk membuat ujian BOD, COD & TSS. Sampel diambil semasa melakukan kerja lapangan di Port Dickson dan Bagan Lalang. Di sini, aku sertakan gambar-gambar semasa ujian dilakukan di makmal PPSPP UKM.

Sunday, June 5, 2011

Mutiara Ilmu Ust. Shahril Long & Ust. Zul

Pada 3 Jun 2011, mendapat kesempatan mengikuti kuliah Ust Shahril Long di Masjid an-Najah, Padang Serai. Beliau memberikan tafsir surah al-Fatihah. Waktu antara maghrib dan isyak digunakan untuk tafsirkan perkataan `ar-rahman' sahaja. Sifat pemurah Allah adalah untuk semua makhluk. Jadi, jangan kemilau mata dengan limpahan rezeki yang diperolehi oleh orang yang tidak solat atau orang yang jauh dari ajaran agama. Itu adalah istidraj. Bagi muslim, katanya, kaya sejati adalah kaya jiwa. Allah berikan rezeki untuk semua. Jika rezeki sudah tiada bermakna umur sudah hampir ke titik akhir. Dunia yang diburu oleh manusia menurut Ust Shahril Long ialah kekayaan, kedudukan dan kekuasaan. Beliau meminta hadirin lazimi qiamullail dan solat dhuha. Di samping itu, beliau berikan tips menghafaz surah iaitu memanfaatkan masa ketika dalam perjalanan.

Seterusnya, pada pagi 4 Jun 2011, dapat mengikuti kuliah subuh di masjid yang sama, yang di sampaikan oleh Ust Zulkifli Ahmad. Beliau memulakan kuliah dengan memetik dua kisah iaitu kisah ketua penyamun dan burung yang memberikan makan kepada ular buta. Juga, kisah Ibrahim Adham yang pergi memburu, di mana rotinya disambar oleh gagak untuk menyuap seorang lelaki yang diikat tangan & kaki. Kisah-kisah itu untuk menarik perhatian hadirin betapa binatang mempunyai belas kasihan, tetapi kini manusia bersifat kebinatangan termasuk kes campak bayi dari pangsapuri. Hingga hancur kepala.

Ust Zul seterusnya memberikan peringatan mengenai perjalanan roh setelah keluar dari jasad. Di langit pertama, ditanya tentang akidah, langit ke 2 tentang kesempurnaan solat, langit ke 3 tentang mencari harta yang halal, langit ke 4 mengenai ibadat puasa,langit ke 5 mengenai haji & umrah, langit ke 6 mengenai berbakti kepada dua ibu bapa dan langit ke 7 mengenai bangun malam dan menjaga amalan. Tazkirah yang disampaikan diselitkan dengan beberapa huraian berdasarkan peristiwa semasa. Saya sendiri merasa tersentak dengan peringatan yang diberikan.

Thursday, May 26, 2011

Sejarah baru 26 Mei 2011


Pada 25 Mei 2011, jam 5 petang, aku meninggalkan Kulim menuju ke Bangi. Selamat tiba di Smart Hotel jam 10.30 malam. Selepas mandi, terpaksa menyiapkan bahan pembentangan. Mata bertambah mengantuk, terpaksa tidur sejenak dan bangun jam 4.17 pagi bagi meneruskan persediaan bahan. Alhamdulillah, jam 9.00 pagi dapat bertolak ke FSSK UKM.

Seterusnya, jam 10.05 pagi, nama dipanggil untuk viva tesis. Pengerusi Dr Azahan. Pemeriksa ke-2, Prof. Madya Dr Kadaruddin. Penyelia, Prof. Madya Dr Kadir Arifin telah bersedia. Aku diberikan 10 minit untuk membentangkan hasil kajian. Selama 30 minit berhujah dan mendengar pandangan penilai tesis. Alhamdulillah, visa tersebut berjaya dengan sedikit pembetulan.

Selepas makan di Cafe Pusanika, terus balik ke Smart Hotel untuk membetulkan tesis dan mencetak satu set untuk disalin dan dijilid. Tepat jam 3.00 petang, 26 Mei 2011, aku berjaya menghantar tesis untuk dijilidkan. Dengan itu, terlerailah satu bebanan berat yang terpikul kerana memikirkan kajian yang tidak selesai dianalisis. Insya'allah, tahun ini akan dianugerahkan Sarjana Pengurusan Persekitaran. Allahu Akbar. Satu sejarah tercipta. Dilampirkan sekeping gambar kenangan semasa kajian lapangan EIA di Port Dickson 2010 bersama Khai, Farah & Yusro.

Friday, May 20, 2011

Sukan & Gaya Hidup Sihat


Pada 14 Mei 2011, saya berkesempatan menghantar anak bongsu, Nur Irdina, ke majlis hari sukan sekolah. Tahniah cikgu di atas penganjuran hari sukan secara tahunan. Sewaktu saya sekolah rendah (1975-1980) di SK Tok Raja, kami hanya berpeluang menyertai sekali sahaja hari sukan sekolah. Saya masuk acara olahraga dan mendapat tempat ke 3. Hari sukan penting bagi memupuk gaya hidup sihat dan menanam kesedaran akan kepentingan bersukan. Tambahan pula, sekarang ini timbul isu obesiti di kalangan pelajar dan juga orang awam. Di samping itu, banyak penyakit dikaitkan dengan gaya hidup iaitu kuat makan dan malas bersenam. Justeru, usahakan untuk berjogging, bermain badminton, mengayuh basikal dan seumpamanya. Semoga Allah kekalkan kesihatan yang baik dan dapat menajalankan tugas sebagai hambaNya.

Thursday, May 19, 2011

Tesis oh tesis


Pada bulan Jun 2009 aku kembali ke kampus. Ya, menjadi pelajar semula selepas mendapat ijazah pada tahun 1992. Belajar sepenuh masa dan menginap di Kolej Idris al-Marbawi, Bandar Baru Bangi. Sehingga Mei 2010, tamat peperiksaan dengan keputusan semester 2 mendapat GPA 4.0. Namun, tesis kajian tak siap. Simpanan duit tersangat minima. Terpaksa aku tinggalkan kampus untuk mencari kerja. Lalu, memulakan tugas baru di Kulim pada 13 Mei 2010.

Sehinggalah 13 Mei 2011, barulah dapat menghantar tesis. Penyelia, Prof Madya Dr Kadir Arifin bersetuju menurunkan tandatangan di atas borang penyerahan teks tesis. Dalam kesibukan tugas harian, aku terpaksa bertarung untuk menyiapkan tesis setebal 86 mukasurat. Rumah sewa bersepah. Dua unit kipas terpaksa dipasang. Tempat duduk terpaksa diletakkan dengan alas bagi mengurangkan kesan kebas kerana terlalu lama berjuang di depan laptop.

Kini, menanti hari untuk viva. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Permudahkanlah. Amin!

Monday, May 16, 2011

Budayakan Senyuman


Pada 8 April 2011, bersama dengan rakan sepejabat, Yusrizal & Farid, kami telah mengadakan satu persembahan sempena Dongwha MDF (M) S/B Annual Dinner. Persembahan itu kami namakan `sketsa senyum selalu'. Antara babak yang kami pertontonkan ialah aksi membuat kopi O untuk mesej `kurangkan gula dalam minuman, tambahkan manis dalam senyuman'. Islam memberikan kredit kepada senyuman dengan nilai satu sedekah. Satu pepatah Cina yang pernah saya temui mengatakan bahawa jika tidak boleh senyum, seseorang itu tak usahlah membuka sebuah kedai. Begitu penting dan tinggi nilai senyum. Dikatakan juga, jika seseorang selalu senyum, hormon bermanfaat kepada badan akan dirembeskan.

Baru-baru ini, sewaktu ke kampus UKM Bangi, saya ternampak satu poster di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan. Poster itu mengajak mahasiswa amalkan 3S - salam, senyum & sapa. Elok sangat kempen tersebut. Di samping itu, akhbar online melaporkan bahawa kakitangan kerajaan pun diajak supaya selalu senyum (rujuk gambar). Jom ! Senyumlah

Tuesday, March 15, 2011

Majlis pertunangan


Alhamdulillah, pada 13 Mac 2011, kami sempat balik kampung di Besut untuk meraikan majlis pertunangan adik kandung. Pengalaman ini adalah berharga. Beberapa tahun lepas, bersama dengan keluarga, kami ke Pasir Gudang untuk mengikat tali pertunangan adik kandung lelaki dengan gadis bugis pilihannya. Kini, mereka sudah selamat mendirikan rumahtangga. Kali ini, kami menerima kunjungan keluarga lelaki. Bagi pihak kedua orang tua, saya dipilih untuk menyatakan persetujuan dan membacakan doa di akhir majlis. Kantoi sikit kerana tiada persediaan. Namun, pengajaran tetap diambil untuk bersedia ke hadapan dalam apa jua majlis yang dianjurkan di kampung.

Monday, February 14, 2011

Ziarah Rumah 104 Tmn Desa Aman


Di antara program berterusan anjuran Surau al-Huda, Taman Desa Aman ialah majlis ziarah dan tazkirah dari rumah ke rumah. Program ini selalunya diadakan pada malam Jumaat tetapi ada juga dibuat pada hari Jumaat mengikut permintaan tuan rumah. Sejak menetap di Taman Desan Aman dari 13 Mei 2010, sudah banyak rumah yang saya sempat kunjungi hasil program ini. Di samping dapat mendengar tazkirah, program ini boleh merapatkan silaturrahim.

Akhirnya, pada 21 Januari 2011, tibalah giliran kunjungan ke rumah sewa saya di no 104, Jalan S18/5. Oleh kerana keluarga belum pindah ke Kedah, terpaksa saya menyediakan juadah dengan menempah daripada jiran, di samping membuat beberapa menu tambahan. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan tazkirah telah disampaikan oleh Ustaz Tanazi. Jamuan yang disediakan ada lebih, maka saya telah membawa ke kilang Dongwha untuk jamuan kawan-kawan. Semoga program ini dapat diteruskan untuk kebaikan sesama Islam dan penduduk taman.

Maulidur Rasul 1432H/2011M


Hari ini (12 Rabiul Awwal 1432H/15 Februari 2011 adalah cuti umum sempena sambutan maulidur rasul. Alhamdulillah, sempat mengikuti kuliah subuh di Masjid an-Najah, Padang Serai. Semasa bersarapan di pekan Padang Serai, TV menyiarkan perarakan kontijen di Dataran Putrajaya. Akhbar online seterusnya menyiarkan berita Prof. Madya Dr Abdul Hayei dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan. Tahniah.

Terdahulu, pada 13 Februari 2011, saya sempat mengikuti kuliah di Surau Taman Desa Aman, Kulim oleh Ustaz Shuhaimi Abdul Hamid. Tazkirah yang disampaikan ada kelainan dan ingin saya kongsikan di sini. Beliau berpesan bahawa dalam kita meraikan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, pastikan kita tidak sekadar membuat sambutan. Beliau memberikan 3 contoh pihak yang tidak wajar dicontohi. Pertamanya, sekadar meraikan tarikh kelahiran baginda, tetapi menentang Islam. Contohnya, Abu Lahab merupakan bapa saudara baginda yang meraikan kelahiran Nabi dengan menyembelih 100 ekor unta, memerdekakan hamba dan mengarak Nabi mengilingi Ka'bah. Sekadar sambut hari lahir seperti Abu Lahab adalah tiada gunanya.

Ada juga yang sambut kelahiran dan mengasihi batang tubuh Nabi tetapi tidak mahu ikut Islam yang dibawa oleh Muhammad SAW. Contohnya, Abu Tolib. Beliau begitu sayang dan mempertahankan Nabi sejak kecil sehingga saat kematiannya. Namun, Abu Talib tidak mahu ikut apa yang dibawa oleh Rasulullah. Dengan itu, sekadar sayangkan Nabi tidak cukup kalau tidak ikut syariat baginda. Satu kelompok lagi ialah mereka yang begitu mengenali Nabi Muhammad seperti anak sendiri tetapi tidak mahu beriman. Mereka adalah orang-orang Yahudi, yang mengetahui tanda-tanda Nabi Muhammad yang diceritakan dalam kitab terdahulu. Tapi, mereka menentang Islam. Dengan itu, sekadar kenal Nabi adalah tidak cukup.

Sempena sambutan pada tahun ini, marilah kita meningkatkan penghayatan tentang kenapa perlunya memperingati kelahiran Rasulullah dalam ertikata mahu mengikut syariat Islam sepenuhnya.