Saturday, June 11, 2011

Ujian BOD, COD & TSS




Kualiti air buangan diukur dengan menggunakan beberapa parameter seperti Biochemical Oxygen Demand (BOD), Chemical Oxygen Demand (COD) & Total Suspended Solid. Semasa mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia di UTM, pernah belajar tentang parameter ini tapi tidak banyak menggunakannya sewaktu bekerja sebagai Production Engineer. Sehinggalah bertukar ke bidang EHS, parameter ini menjadi suatu yang wajib untuk diketahui. Malah, satu salinan laporan pemantauan efluen perlu dihantar ke Jabatan Alam Sekitar. Bagi kami di kilang, semua ujian BOD, COD & TSS dilakukan oleh pihak makmal yang dilantik atau diberikan kontrak. Kesempatan belajar di UKM telah memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan sekuliah untuk membuat ujian BOD, COD & TSS. Sampel diambil semasa melakukan kerja lapangan di Port Dickson dan Bagan Lalang. Di sini, aku sertakan gambar-gambar semasa ujian dilakukan di makmal PPSPP UKM.

Sunday, June 5, 2011

Mutiara Ilmu Ust. Shahril Long & Ust. Zul

Pada 3 Jun 2011, mendapat kesempatan mengikuti kuliah Ust Shahril Long di Masjid an-Najah, Padang Serai. Beliau memberikan tafsir surah al-Fatihah. Waktu antara maghrib dan isyak digunakan untuk tafsirkan perkataan `ar-rahman' sahaja. Sifat pemurah Allah adalah untuk semua makhluk. Jadi, jangan kemilau mata dengan limpahan rezeki yang diperolehi oleh orang yang tidak solat atau orang yang jauh dari ajaran agama. Itu adalah istidraj. Bagi muslim, katanya, kaya sejati adalah kaya jiwa. Allah berikan rezeki untuk semua. Jika rezeki sudah tiada bermakna umur sudah hampir ke titik akhir. Dunia yang diburu oleh manusia menurut Ust Shahril Long ialah kekayaan, kedudukan dan kekuasaan. Beliau meminta hadirin lazimi qiamullail dan solat dhuha. Di samping itu, beliau berikan tips menghafaz surah iaitu memanfaatkan masa ketika dalam perjalanan.

Seterusnya, pada pagi 4 Jun 2011, dapat mengikuti kuliah subuh di masjid yang sama, yang di sampaikan oleh Ust Zulkifli Ahmad. Beliau memulakan kuliah dengan memetik dua kisah iaitu kisah ketua penyamun dan burung yang memberikan makan kepada ular buta. Juga, kisah Ibrahim Adham yang pergi memburu, di mana rotinya disambar oleh gagak untuk menyuap seorang lelaki yang diikat tangan & kaki. Kisah-kisah itu untuk menarik perhatian hadirin betapa binatang mempunyai belas kasihan, tetapi kini manusia bersifat kebinatangan termasuk kes campak bayi dari pangsapuri. Hingga hancur kepala.

Ust Zul seterusnya memberikan peringatan mengenai perjalanan roh setelah keluar dari jasad. Di langit pertama, ditanya tentang akidah, langit ke 2 tentang kesempurnaan solat, langit ke 3 tentang mencari harta yang halal, langit ke 4 mengenai ibadat puasa,langit ke 5 mengenai haji & umrah, langit ke 6 mengenai berbakti kepada dua ibu bapa dan langit ke 7 mengenai bangun malam dan menjaga amalan. Tazkirah yang disampaikan diselitkan dengan beberapa huraian berdasarkan peristiwa semasa. Saya sendiri merasa tersentak dengan peringatan yang diberikan.