Thursday, May 26, 2011

Sejarah baru 26 Mei 2011


Pada 25 Mei 2011, jam 5 petang, aku meninggalkan Kulim menuju ke Bangi. Selamat tiba di Smart Hotel jam 10.30 malam. Selepas mandi, terpaksa menyiapkan bahan pembentangan. Mata bertambah mengantuk, terpaksa tidur sejenak dan bangun jam 4.17 pagi bagi meneruskan persediaan bahan. Alhamdulillah, jam 9.00 pagi dapat bertolak ke FSSK UKM.

Seterusnya, jam 10.05 pagi, nama dipanggil untuk viva tesis. Pengerusi Dr Azahan. Pemeriksa ke-2, Prof. Madya Dr Kadaruddin. Penyelia, Prof. Madya Dr Kadir Arifin telah bersedia. Aku diberikan 10 minit untuk membentangkan hasil kajian. Selama 30 minit berhujah dan mendengar pandangan penilai tesis. Alhamdulillah, visa tersebut berjaya dengan sedikit pembetulan.

Selepas makan di Cafe Pusanika, terus balik ke Smart Hotel untuk membetulkan tesis dan mencetak satu set untuk disalin dan dijilid. Tepat jam 3.00 petang, 26 Mei 2011, aku berjaya menghantar tesis untuk dijilidkan. Dengan itu, terlerailah satu bebanan berat yang terpikul kerana memikirkan kajian yang tidak selesai dianalisis. Insya'allah, tahun ini akan dianugerahkan Sarjana Pengurusan Persekitaran. Allahu Akbar. Satu sejarah tercipta. Dilampirkan sekeping gambar kenangan semasa kajian lapangan EIA di Port Dickson 2010 bersama Khai, Farah & Yusro.

Friday, May 20, 2011

Sukan & Gaya Hidup Sihat


Pada 14 Mei 2011, saya berkesempatan menghantar anak bongsu, Nur Irdina, ke majlis hari sukan sekolah. Tahniah cikgu di atas penganjuran hari sukan secara tahunan. Sewaktu saya sekolah rendah (1975-1980) di SK Tok Raja, kami hanya berpeluang menyertai sekali sahaja hari sukan sekolah. Saya masuk acara olahraga dan mendapat tempat ke 3. Hari sukan penting bagi memupuk gaya hidup sihat dan menanam kesedaran akan kepentingan bersukan. Tambahan pula, sekarang ini timbul isu obesiti di kalangan pelajar dan juga orang awam. Di samping itu, banyak penyakit dikaitkan dengan gaya hidup iaitu kuat makan dan malas bersenam. Justeru, usahakan untuk berjogging, bermain badminton, mengayuh basikal dan seumpamanya. Semoga Allah kekalkan kesihatan yang baik dan dapat menajalankan tugas sebagai hambaNya.

Thursday, May 19, 2011

Tesis oh tesis


Pada bulan Jun 2009 aku kembali ke kampus. Ya, menjadi pelajar semula selepas mendapat ijazah pada tahun 1992. Belajar sepenuh masa dan menginap di Kolej Idris al-Marbawi, Bandar Baru Bangi. Sehingga Mei 2010, tamat peperiksaan dengan keputusan semester 2 mendapat GPA 4.0. Namun, tesis kajian tak siap. Simpanan duit tersangat minima. Terpaksa aku tinggalkan kampus untuk mencari kerja. Lalu, memulakan tugas baru di Kulim pada 13 Mei 2010.

Sehinggalah 13 Mei 2011, barulah dapat menghantar tesis. Penyelia, Prof Madya Dr Kadir Arifin bersetuju menurunkan tandatangan di atas borang penyerahan teks tesis. Dalam kesibukan tugas harian, aku terpaksa bertarung untuk menyiapkan tesis setebal 86 mukasurat. Rumah sewa bersepah. Dua unit kipas terpaksa dipasang. Tempat duduk terpaksa diletakkan dengan alas bagi mengurangkan kesan kebas kerana terlalu lama berjuang di depan laptop.

Kini, menanti hari untuk viva. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Permudahkanlah. Amin!

Monday, May 16, 2011

Budayakan Senyuman


Pada 8 April 2011, bersama dengan rakan sepejabat, Yusrizal & Farid, kami telah mengadakan satu persembahan sempena Dongwha MDF (M) S/B Annual Dinner. Persembahan itu kami namakan `sketsa senyum selalu'. Antara babak yang kami pertontonkan ialah aksi membuat kopi O untuk mesej `kurangkan gula dalam minuman, tambahkan manis dalam senyuman'. Islam memberikan kredit kepada senyuman dengan nilai satu sedekah. Satu pepatah Cina yang pernah saya temui mengatakan bahawa jika tidak boleh senyum, seseorang itu tak usahlah membuka sebuah kedai. Begitu penting dan tinggi nilai senyum. Dikatakan juga, jika seseorang selalu senyum, hormon bermanfaat kepada badan akan dirembeskan.

Baru-baru ini, sewaktu ke kampus UKM Bangi, saya ternampak satu poster di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan. Poster itu mengajak mahasiswa amalkan 3S - salam, senyum & sapa. Elok sangat kempen tersebut. Di samping itu, akhbar online melaporkan bahawa kakitangan kerajaan pun diajak supaya selalu senyum (rujuk gambar). Jom ! Senyumlah