Monday, February 14, 2011

Maulidur Rasul 1432H/2011M


Hari ini (12 Rabiul Awwal 1432H/15 Februari 2011 adalah cuti umum sempena sambutan maulidur rasul. Alhamdulillah, sempat mengikuti kuliah subuh di Masjid an-Najah, Padang Serai. Semasa bersarapan di pekan Padang Serai, TV menyiarkan perarakan kontijen di Dataran Putrajaya. Akhbar online seterusnya menyiarkan berita Prof. Madya Dr Abdul Hayei dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan. Tahniah.

Terdahulu, pada 13 Februari 2011, saya sempat mengikuti kuliah di Surau Taman Desa Aman, Kulim oleh Ustaz Shuhaimi Abdul Hamid. Tazkirah yang disampaikan ada kelainan dan ingin saya kongsikan di sini. Beliau berpesan bahawa dalam kita meraikan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, pastikan kita tidak sekadar membuat sambutan. Beliau memberikan 3 contoh pihak yang tidak wajar dicontohi. Pertamanya, sekadar meraikan tarikh kelahiran baginda, tetapi menentang Islam. Contohnya, Abu Lahab merupakan bapa saudara baginda yang meraikan kelahiran Nabi dengan menyembelih 100 ekor unta, memerdekakan hamba dan mengarak Nabi mengilingi Ka'bah. Sekadar sambut hari lahir seperti Abu Lahab adalah tiada gunanya.

Ada juga yang sambut kelahiran dan mengasihi batang tubuh Nabi tetapi tidak mahu ikut Islam yang dibawa oleh Muhammad SAW. Contohnya, Abu Tolib. Beliau begitu sayang dan mempertahankan Nabi sejak kecil sehingga saat kematiannya. Namun, Abu Talib tidak mahu ikut apa yang dibawa oleh Rasulullah. Dengan itu, sekadar sayangkan Nabi tidak cukup kalau tidak ikut syariat baginda. Satu kelompok lagi ialah mereka yang begitu mengenali Nabi Muhammad seperti anak sendiri tetapi tidak mahu beriman. Mereka adalah orang-orang Yahudi, yang mengetahui tanda-tanda Nabi Muhammad yang diceritakan dalam kitab terdahulu. Tapi, mereka menentang Islam. Dengan itu, sekadar kenal Nabi adalah tidak cukup.

Sempena sambutan pada tahun ini, marilah kita meningkatkan penghayatan tentang kenapa perlunya memperingati kelahiran Rasulullah dalam ertikata mahu mengikut syariat Islam sepenuhnya.

No comments: