Thursday, January 21, 2010

Keharmonian yang tidak ternilai


Sebelum ini, kita cuma membaca kisah di zaman datuk nenek dulu (contohnya 1969) mengenai salah faham di kalangan pelbagai kaum di negara kita dan berlaku ketegangan. Dilaporkan ada yang meninggal dunia dan cedera. Di negara luar, berita kekecohan kaum yang kita dengar begitu kerap. Namun, apakah kita di bumi bertuah ini tidak mahu mengambil iktibar. Keharmonian hidup pelbagai kaum di tanah air begitu tinggi nilainya dan kita semua perlu dipertahankan.

Di manakah kegagalan manusia ? Bermula dengan isu kalimah Allah. Kemudian, dilaporkan terdapat gereja yang cuba dikhianati. Kejadian begini tidak pernah dilaporkan sebelum ini. Terbaru, media melaporkan bahawa surau di Muar pula cuba dibakar. Ini sangat mendukacitakan. Kita yang beragama Islam sepatutnya faham bahawa rumah ibadah sendiri atau agama lain tidak boleh dikacau ganggu. Ini ajaran dan etika. Malah, tingginya Islam, dalam perang sekali pun, golongan seperti wanita, kanak-kanak, tumbuhan dan binatang tidak boleh dibinasakan.

Kejadian bakar tempat ibadat ini berlaku di kala kerajaan sekarang mempromosikan slogan 1Malaysia. Nampak sangat bahawa perpaduan yang tidak berteraskan ikatan agama tidak ke mana. Perpaduan bukan sekadar meraikan perayaan kaum-kaum lain. Perpaduan yang lebih kukuh ialah menghayati bahawa semua kaum dijadikan oleh Allah dan kita semua adalah dari zuriat yang satu. Kita dilahirkan mengikut kaum tertentu yang bukannya pilihan diri masing-masing. Ada di kalangan `saudara kita' yang mendapat hidayah dan ramai lagi yang belum menerimanya. Dalam kepelbagaian pegangan agama ini, terdapat perbezaan dan persamaan. Perpezaan dan persamaan dalam pegangan agama sepatutnya menyatutkan semua penduduk dan bukan dijadikan punca pertembungan.

No comments: