Thursday, December 25, 2008

Cahaya Mata - Anugerah & Amanah


Selepas dinikahkan dengan gadis pilihan sendiri (program baitul muslim UTM) pada tahun 1992, saya kini telah mempunyai 5 orang cahaya mata. 2 putera, 3 puteri. Kehadiran mereka telah mengukuhkan ikatan perkahwinan yang terbina selama 16 tahun. Kelahiran mereka seumpama kain putih dan kamilah yang memikul amanah untuk mencorakkannya mengikut celupan agama. Satu tugas yang berat dan tidak semudah bercakap dan melihat semata-mata.


Anak sulung, Muhammad Amirul Aiman dilahirkan oleh uminya di Hospital USM Kubang Kerian. Sewaktu kelahirannya, saya tiada di sisi kerana bertugas di Sg. Buloh. Anak kedua, Muhammad Hafizul Hukmi lahir di rumah Tok Ayah (atok) di Besut. Saya juga tidak sempat menyambut kelahiran kerana out station di Pasir Gudang. Selepas kelahiran anak kedua, saya meminta uminya melepaskan jawatan di Kementerian Kesihatan dan menumpukan perhatian kepada anak-anak.


Semasa bertugas di Samsung Corning S/B, saya mendapat 3 orang puteri iaitu Nur Najwa Imani, Nur Husna Hakimi dan Nur Irdina. Najwa dan Husna dilahirkan di Kelantan. Hanya Irdina yang lahir di Seremban dan saya berkesempatan untuk pertama kalinya mengalunkan azan selepas Irdina dilahirkan. Hajat sebenar untuk berada di sisi isteri di bilik bersalin tetapi tidak sempat. Selepas parking kereta, saya dimaklumkan bahawa isteri telah selamat melahirkan bayi.


Mereka semua semakin membesar. Saya masih ingat kenangan membawa anak sulung saya berjogging di tepi jalan ke Padang Golf Rahman Putra di Sungai Buloh. Kini, Amirul sudah berusia 15 tahun. Begitu pantas masa berlalu walaupun saat saya menimangnya dan meletak di atas bahu, masih terasa baru.


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami, isteri dan anak-anak yang menyejukkan hati. Pilihlah kami semua untuk menerima hidayahmu. Jauhilah kami dari siksaan api neraka yang pastinya terlalu azab dan tidak mampu kami tanggung. Amin Ya Rabbal A'lamin.

1 comment:

TRANSPORTER said...

Hi,

Good day to you! Please check out my blog for FREE GIFT! Happy New Year!

Cheers!