Thursday, December 25, 2008

Ikan Di Laut, Asam Di Darat


Ikan di laut, asam di darat, namun dalam periuk mereka disatukan menjadi lauk yang enak. Begitu tepat misalan yang dibuat oleh generasi terdahulu tentang jodoh. Jika sudah ditakdirkan, pasangan teruna dara akan bertemu jodoh jua walaupun menghadapi tentangan dan rintangan.


Sewaktu saya bertugas di Seremban, tiga orang bertemu jodoh dengan orang Nogori. Pertamanya, adik saya sendiri. Gadis Jerteh bertemu jodoh dengan pemuda Tampin. Pertemuan awal sekadar di BSN Taman Tuanku Jaafar dan kini menetap di Ampangan.

Keduanya, adik ipar perempuan. Bertemu jodoh dengan pemuda Mambau. Kini mereka mempunyai dua orang cahaya mata dan menetap di sana. Ketiganya, adik ipar lelaki. Siapa menyangka teruna Kebakat, Wakaf Baru akan bertemu jodoh dengan gadis Seremban. Namun, jodoh mereka tidak kekal. Mereka berpisah walaupun telah dikurniakan seorang cahaya mata.


Adik lelaki saya yang bertugas di Pasir Gudang telah bertemu jodoh dengan seorang gadis keturunan Bugis yang menetap di Taman Air Putih. Pada 19 November 2008 yang lalu, mereka telah di satukan. Walaupun jarak dari Besut dan Pasir Gudang adalah melebihi 600km, tetapi jika Allah telah menetapkan jodoh seseorang, berkahwinlah mereka. Cuma sedikit kekesalan saya kini ialah adik-adik lelaki saya yang sudah `cukup umur' belum lagi mahu mendirikan rumah tangga. Harapnya mereka cepat kahwin dan mendapat zuriat. Nabi Muhammad SAW berbangga dengan ramai umatnya.

No comments: