Thursday, December 25, 2008

Pengawasan Perubatan

Di Malaysia, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 mewajibkan program pengawasan perubatan (medical surveillance) sekiranya pekerja terdedah dengan bahan-bahan kimia berbahaya. Alhamdulillah, saya telah berjaya menganjurkan program tersebut dengan bantuan kepakaran dari Dr Yasrizal dan Dr Wahid dari Occumed, Kuantan.

Bagi sebuah kilang yang baru, pertama sekali hendaklah melakukan Chemical Health Risk Assessment. Ia perlu dilakukan oleh Assessor yang diiktiraf oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Sekiranya penaksiran risiko mendapati pendedahan berlaku pada kadar munasabah, maka langkah seterusnya ialah menjalankan program `exposure monitoring'. Program ini akan mengukur tahap sebenar pendedahan pekerja terhadap sesuatu bahan kimia berbahaya.


Kawasan kerja yang mempunyai kadar pendedahan yang melebihi had yang dibenarkan perlu mengambil langkah-langkah kawalan. Terdapat 6 hiraki kawalan mengikut keberkesanan iaitu penghapusan hazad, penggantian, pengasingan, kawalan kejuruteraan, kawalan pentadbiran dan akhir sekali ialah memakai peralatan perlindungan diri (PPE).


Pengawasan perubatan dilakukan ke atas pekerja untuk mengesan sebarang kemungkinan mendapat keracunan dan kesan kesihatan yang berpunca dari terhidu, tersentuh atau termakan bahan-bahan kimia berbahaya di tempat kerja. Laporan pengawasan perubatan akan membantu majikan dan pekerja menjalani rawatan awal sekiranya dinasihatkan berbuat demikian.

No comments: