Wednesday, December 24, 2008

Keselamatan & Kesihatan Kaki


Dari buku dan rencana yang pernah saya baca, kaki kita sangat penting. Bukan sekadar anggota untuk berjalan dan menampung berat badan, tetapi pada tapak kaki terdapat banyak urat saraf yang penting. Saya pernah mengurut secara refleksologi dan pernah membeli buku tentang teknik rawatan tersebut. Menurut tukang urut, jika kita merasa sakit di bahagian tertentu pada tapak kaki, ia ada kaitan dengan penyakit yang terdapat di dalam badan termasuk jantung dan tenaga batin.


Saya juga pernah mencuba berjalan di atas batu refleksologi yang ada disediakan di taman rekreasi dan juga di sebelah wad hospital. Saya akur bahawa jika saya dapat memijak batu tanpa merasa sakit, kesihatan saya ketika itu adalah baik. Pada waktu yang lain, saya merasa sakit memijak batu itu dan saya akui ketika itu badan saya sedang kebas dan sakit urat.


Iklan mesin pengurut kaki juga ada menyatakan bahawa banyak penyakit bermula dari tapak kaki. Walaupun ianya untuk mempromosi mesin mereka tetapi dakwaan mereka adalah berasas. Dengan itu, sewajarnya kita menjaga keselamatan & kesihatan kaki. Saya sendiri pernah melihat pesakit diabetis, setelah kaki mereka dipotong akibat jangkitan kuman, kesihatan mereka mula terjejas. Kekuatan mereka tidak lagi seperti sebelum kaki dipotong.


Di tempat kerja, kita dimestikan memakai kasut bukan sekadar suatu disiplin dan peraturan tetapi juga sebagai pelindung kaki. Di kilang dan tapak pembinaan, kasut keselamatan wajib mengikut undang-undang. Ia adalah bagi mengelak kecederaan serius jika terpijak sesuatu benda tajam atau ditimpa oleh beban berat.


Saya sendiri sedikit risau kerana baru-baru ini tapak kaki terluka akibat terkena mata kapak. Ia terjadi pada 11 Zulhijjah 1429H sewaktu membantu melapah kepala lembu. Saya cepat-cepat ke klinik untuk menjahit luka tersebut. Alhamdulillah, selepas 10 hari, luka tersebut beransur pulih dan tiada jangkitan kuman. Walaupun saya membelanjakan lebih RM100 tetapi berbaloi kerana saya sudah boleh memijak dan berjalan seperti biasa.

No comments: