Friday, February 20, 2009

Bersama Guru Pondok An-Nuur


Pada 18 Februari 2009, saya berkesempatan mengikuti tazkirah di kantin Mieco Gebeng. Ia disampaikan oleh Ustaz Saharudin Mohamad dari Ponduk An-Nuur (www.nuuratiq.com), Kuala Penor, Pahang. Pondok tersebut menawarkan pengajian agama untuk melahirkan para hafiz (sepenuh masa bagi lepasan UPSR) dan juga kelas-kelas umum terutama pada hari Ahad.

Tazkirah beliau berkisar kepada tajuk tanda-tanda menjelang hari kiamat. Katanya, dengan mengetahui tanda-tanda tersebut, kita akan berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapinya. Beliau telah mengemukakan tanda pertama iaitu timbul banyak fitnah dan pembunuhan. Fitnah yang dimaksudkan ialah pelbagai bentuk ujian dan kesusahan yang ditanggung oleh manusia. Pembunuhan pula meningkat disebabkan berlaku kekacauan. Dalam menghadapi situasi ini, kita dingatkan supaya sentiasa memperbaharui pernyataan keimanan dengan memperbanyakkan syahadah.

Tanda seterusnya ialah lahirnya ramai yang jahil agama dan ilmu diangkat dengan kematian para ulama dan kekosongan pengisian ilmu. Dengan bertambahnya orang-orang jahil, mereka menjadi penentang Islam yang kuat. Di samping itu, ia juga boleh membawa kepada peningkatan kes zina. Menurut Ustaz Saharuddin, Islam tampil membela wanita dengan munutup punca-punca zina termasuklah arahan menjaga aurat. Iklan-iklan yang modelnya wanita boleh memperagakan pakaian yang menutup aurat seperti di negeri Kelantan.

Beliau juga menyentuh mengenai kebanjiran arak. Hatta, arak kini dinamakan dengan pelbagai jenama tanpa menggunakan perkataan arak. Di pasaraya, arak dijual oleh cashier wanita muslim sedangkan ianya adalah tidak dibenarkan oleh agama. Lebih menyedihkan arak kini dijual 24 jam menerusi kedai-kedai seperti 7 Eleven. Katanya, beliau ada mengemukakan perkara ini kepada jabatan agama tetapi alasan yang diberi adalah kekurangan kakitangan penguatkuasaan.

No comments: