Thursday, April 9, 2009

Awas ! Kelongsong Gas Pemedih Mata


Semasa demonstrasi aman isu PPMSI dari Masjid Negara ke Istana Negara pada 7 Mac 2009, saya turut terkena gas pemedih mata yang ditembak oleh pihak polis. Tanpa amaran dan belas kasihan, polis menembak gas tersebut dalam arah vertikal dan horizontal. Seorang kawan telah sempat mengambil sebutir kelongsong gas pemedih mata sebagai kenangan. Bersaiz sebesar ulu parang, jika terkena badan pasti menyakitkan. Apatah lagi, jika terkena mata seperti yang menimpa Mohd Huzaifah (rujuk berita di bawah). Maka anggota polis wajar profesional dalam menjalankan tugas dan bukan menembak orang awam yang tidak yang tidak bersenjata secara mengikut perasaan.

KOTA BHARU 9 April - Seorang pelajar berkemungkinan hilang keupayaan penglihatan kekal apabila mata kanannya dipercayai terkena serpihan kelongsong gas pemedih mata ketika rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini malam kelmarin.

Mangsa, Mohd. Huzaifah Mohd. Nor, 18, pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini mendakwa terkena kelongsong itu ketika membantu mengemas barangan jualan di gerai minuman milik sepupunya, Abdul Rahman Hussein kira-kira 100 meter di luar stadium berkenaan.

Ketika ditemui, pelajar kursus Penyejukbekuan dan Penyaman Udara itu mendakwa doktor yang merawatnya mengesahkan mata kanannya tidak dapat diselamatkan walaupun telah menjalani pembedahan selepas empat jam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Masa itu keadaan sudah kelam kabut. Saya dengan sepupu saya tengah mengemas barang-barang berniaga untuk pulang, tiba-tiba saya rasa ada benda keras terkena pada mata kanan.

''Kemudian saya rebah dan hampir pengsan kerana terlalu sakit serta darah banyak keluar dari mata kanan saya.

"Dalam keadaan separuh sedar itu, saya dipapah ke hospital yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian oleh sepupu saya untuk menerima rawatan dan pembedahan pada mata saya selesai kira-kira 2 pagi semalam," katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini hari ini.

Rusuhan penonton berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV sejurus selesai perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dengan Negeri Sembilan dan memaksa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memberitahu, Mohd. Huzaifah sering membantunya berniaga makanan dan minuman sejak setahun lalu di sekitar stadium setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak.

Katanya, ketika tembakan gas pemedih mata dilepaskan dia terus tunduk untuk cuba menyelamatkan diri dan mendapati mangsa rebah serta darah keluar dengan banyak di bahagian mata.

"Huzaifah kemudian memegang saya serta memberitahu matanya terkena objek keras tersebut dan hampir pengsan.

"Dalam keadaan kelam kabut, saya terus memapah dia yang sudah tidak berdaya ke hospital dan terpaksa menahan pedih pada mata akibat kawasan tersebut diselubungi gas pemedih mata," katanya.

Sehubungan itu, abang mangsa, Salahuddin Mohd. Nor, 41, telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu.

Kata Salahuddin, dia juga sedang mendapatkan nasihat daripada peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak polis kerana kejadian itu.

"Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci kerana kejadian tersebut menyebabkan masa depan adik saya gelap," katanya.

No comments: