Sunday, April 5, 2009

Menziarahi Tok Guru


Selepas CT & suaminya, Dato' K menziarahi Tok Guru Menteri Besar Kelantan, timbul gosip bahawa mereka ingin bertukar parti. Ia dinafikan oleh Dato' K di mana ziarah yang dilakukan adalah untuk bertanya khabar dan menghormati `tuan rumah'. Sebenarnya, Islam mengajar umatnya supaya sentiasa bersama ulama'. Merekalah pewaris Nabi yang mampu memimpin dan menerangkan tentang agama supaya kita semua tidak sesat. Kita disuruh belajar agama dari para guru (alim ulama'). Jika tidak berupaya, kita diminta menjadi pendengar (tadah telinga) di mana-mana majlis ilmu. Jika itu pun tak mampu, kita disuruh untuk menyukai program ilmu dan ulama'. Jangan hendaknya kita terkeluar daripada senarai di atas.

Tok Guru Nik Aziz boleh dicontohi dalam banyak perkara. Beliau telah menunjukkan contoh pemimpin yang hidup sederhana sewaktu di puncak kuasa. Beliau menjadi bukti bahawa pimpinan parti Islam tidak terperangkap dengan jerat 3 TA iaitu Takhta, Harta dan Wanita. Tok Guru jadikan itu semua sebagai wasilah dan bukan matlamat. Dengan kuasa, Tok Guru melaksanakan peraturan-peraturan agama yang diperintahkan oleh Allah. Beliau infakkan harta untuk rakyat dan juga perjuangan Islam. Bersama wanita, beliau menunjukkan contoh rumahtangga Islam dan bagaimana muslimat boleh berperanan dalam membantu perjuangan Islam tanpa melanggar batasan syarak'.

Kesempatan bertemu dengan Tok Guru begitu meninggalkan kesan. Antara peluang tersebut ialah mengikuti Tamrin UTM di Darul Hidayah, Selangor; sambutan 10 tahun Hizbi di Taman Melewar dan kempen pilihanraya kecil di Anak Bukit, Kedah. Semoga Tok Guru sentiasa sihat dan terus memberikan inspirasi kepada kita semua. Marilah kita melazimi menziarahi alim ulama dan sentiasa mencontohi praktis cara hidup Islam yang diwarisi dari para Nabi.

No comments: