Wednesday, July 15, 2009

Kenangan bersama Ustaz Rock


Akhbar online hari ini (15.7.09) menyiarkan berita penceraian talak satu Ustaz Akhil Hayy. Betul, itu masalah peribadi. Semoga ada hikmah di sebalik perpisahan tersebut. Sebagai salah seorang peminat ceramah dan nasyid beliau, berita keruntuhan rumah tangga seperti ini memang tidak seronok untuk didengar.

Saya sendiri ada pengalaman `live' bersama beliau. Cerita ini berlaku di UPU Kg. Tempoyak, Pendang, Kedah. Selepas kematian Dato' Fadzil Noor, telah diadakan 2 pilihan raya kecil iaitu parlimen Pendang dan DUN Anak Bukit. Saya bersama kontigen Negeri Sembilan bertugas di UPU Kg. Tempoyak.

Satu program ceramah telah diadakan di UPU tersebut. Saya menjadi pengerusi majlis. Majlis itu agak bersejarah kerana Umno-PAS membuat ceramah secara berhadapan (dipisahkan oleh jalan raya sahaja). Maka, berlakulah cabar-mencabar. Antara yang berceramah pada malam itu ialah Dr Rosli Yaakob dan Ustaz Yaakob Hussain.

Penceramah kemuncak ialah Ustaz Akhil Hayy. Namun, lama menunggu tetapi bayangnya belum kelihatan. Saya sebagai pengerusi agak kelam kabut. Masa hanya tinggal 30 minit sebelum jam 12 malam. Syukur kepada Allah, beliau dapat juga hadir dan menyampaikan satu ceramah yang bertenaga dan memukau para hadirin.

No comments: