Tuesday, January 19, 2010

Gerhana Matahari


Mahasuci Allah yang telah menciptakan alam semesta dengan penuh kehebatan. Pada 15 Januari 2010, saya berkesempatan mengikuti pencerapan gerhana matahari spara di Masjid Putra, Putrajaya. Ini adalah pengalaman pertama saya meneropong matahari dengan peralatan canggih yang disediakan. JAKIM, JUPEM dan Jabatan Mufti Selangor telah bekerjasama menjayakan program tersebut. Pameran turut diadakan bagi menjelaskan fenomena gerhana, mempamerkan gambar-gambar gerhana terdahulu dan juga pelbagai informasi menarik mengenai ilmu falak atau astronomi. Ia termasuklah cara menentukan arah kiblat berdasarkan kedudukan matahari di atas kaabah dan juga penentuan awal bulan-bulan hijrah.

Pihak penganjur turut mengedarkan risalah mengenai cara mengerjakan solat gerhana matahari. Gerhana matahari pada hari tersebut bermula pada jam 3.01 petang, namun untuk lokasi di Putrajaya, awan tebal telah menghalang pengunjung menyaksikan turutan gerhana yang berakhir selepas asar. Namun begitu, kecanggihan teknologi kini telah membolehkan kami melihat kejadian itu yang dirakam di lokasi lain. Mahasuci Allah yang telah menciptakan bumi dan bulan yang bergerak mengikut orbitnya dan pergerakan itu boleh diukur dan fenomena gerhana boleh diramalkan tarikhnya dengan lebih awal. Kejayaan meramal kejadian gerhana pada 15.1.10 tersebut meyakinkan saya betapa tepat waktu solat dan penentuan awal bulan yang dilakukan di Malaysia.

No comments: