Wednesday, January 20, 2010

Menteri KPT di UKM


Pada 15 Januari 2010, terdapat beberapa naskhah akhbar BH di pondok sekuriti kolej kediaman kami di Bangi. Keadaan ini tidak berlaku pada hari-hari sebelumnya. Rupanya, terdapat berita tentang UKM di muka pertama. Ia berkenaan dengan Sudut Pidato yang dihidupkan sempena kunjungan DS Mohamed Khaled Nordin ke kampus UKM Bangi pada 14 Januari 2010. Pada hari program itu, kami ada kuliah dan tidak dapat turut serta. Di bawah ini disertakan berita mengenainya yang dipetik dari laman web Universiti (walaupun berita pidato tidak dinyatakan):

Majlis Perasmian Teres Eko Niaga Dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG)

Majlis Perasmian Teres Eko Niaga dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik telah berlangsung di Teres Eko Niaga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 14 Januari 2010. Majlis telah dirasmikan oleh Y.B. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

YB. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyuarakan perasaan bangga dan tahniah beliau kepada UKM kerana telah menyediakan satu kemudahan untuk memupuk para pelajar melatih diri menjadi usahawan yang berjaya serta dapat melahirkan modal insan yang cemerlang di masa hadapan.

Objektif utama penubuhan Teres Eko Niaga UKM ini adalah untuk meningkatkan kemahiran pelajar UKM dalam bidang keusahawanan. Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) bertanggungjawab mengurus dan memantau operasi perniagaan di Teres Eko Niaga UKM supaya selari dengan keperluan latihan keusahawanan yang telah dirancang dan sebagai pusat inkubator perniagaan pelajar UKM.

Terdapat sembilan Kiosk Teres Eko Niaga telah dibina berhampiran dengan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Perpustakaan Tun Sri Lanang dan Kolej Aminuddin Baki. Lima kiosk pertama yang siap dibina pada tahun 2007 menjual barangan kering, manakala empat lagi kiosk yang siap pada awal 2009 menjual makanan.

UKM telah memperkenalkan sistem Kompetensi Generik berasaskan Kerangka Kelayakan Malaysia (KKM) iaitu salah satu daripada hasil pembelajaran adalah kemahiran keusahawanan. UKM dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang dahulunya di bawah Kementerian Keusahawanan dan Koperasi telah berjaya membina Teres Eko Niaga UKM pada tahun 2007.

No comments: