Friday, November 28, 2008

Kenangan Berbuka Di Pahang Club, Lipis


Syukur alhamdulillah, tahun ini (1429H) dapat mengadakan dua kali majlis berbuka bersama sahabat handai. Pertamanya diadakan di Pahang Club bersama rakan-rakan dari tempat kerja dan satu lagi di surau Kg. Pulau Meranti, Jerteh. Majlis di Pahang Club merupakan program 2 in 1 di mana ia adalah majlis berbuka puasa dan juga kesyukuran selepas memenangi tempat kedua pertandingan menulis esei sempena sambutan Hari Kemerdekaan.


Beberapa survey telah dibuat termasuklah di Hotel Center Point & Hotel Sri Lipis. Kos di hotel-hotel tersebut agak mahal. Bagi membolehkan semua wakil-wakil jabatan dan ahli keluarga hadir, saya telah memilih untuk mengadakan di sebuah restoran di Pahang Club, Kuala Lipis. Tempahan tempat dan menu telah dilakukan seminggu lebil awal.


Ditakdirkan pada hari majlis, terputus bekalan air. Pihak restoran terpaksa mengangkut air dari sumber berdekatan dengan menggunakan lori. Gangguan tersebut telah menyebabkan penyediaan makanan terganggu. Saya sendiri cemas kerana tetamu dah tiba tetapi hidangan belum disediakan. Beberapa kali terpaksa menemui tuan punya restoran untuk memastikan makanan disiapkan.


Dari pemerhatian saya, kelam kabut timbul kerana pihak restoran tersebut masih menerima tempahan berbuka pada hari kejadian. Dalam kepayahan ketiadaan air, saya dapati ramai yang terpaksa menunggu lama untuk berbuka puasa. Sedangkan waktu maghrib adalah singkat. Bagi pengusaha, mungkin untuk tidak mengecewakan pelanggan. Mungkin juga untuk mendapat hasil yang berganda dari tempahan yang luar biasa pada sepanjang Ramadhan.


Syukurlah kerana tetamu saya dapat memahami kerumitan yang timbul. Mereka mula berbuka dengan apa yang berjaya dihidangkan. Setelah hampir selesai makan nasi, barulah kesemua lauk disiapkan. Hati saya sedikit terubat apabila tukang masak memberikan extra sebagai tolak-ansur kekurangan yang berlaku. Dapatlah saya bungkus untuk dibawa balik dan jadikan juadah untuk bersahur.


Puasa dan hari raya telah berlalu. Apa yang berlaku merupakan satu pengajaran dan pengalaman. Kefahaman masyarakat perlu ditingkatkan di mana usahlah terlalu leka berada di tempat berbuka dan melewatkan sembahyang. Yang lebih malang, ada yang hanya datang berbuka tetapi melupakan rukun Islam yang kedua. Sembahyang adalah tiang agama. Ia perlu disempurnakan bagi memastikan ibadat lain diterima Allah. Usah jadikan majlis berbuka sebagai adat semata-mata.

No comments: