Thursday, November 27, 2008

Permainan Futsal


Zaman yang berubah turut mengubah permainan di kalangan penduduk negara. Semasa saya kecil dan bersekolah rendah sekitar tahun 1975-1980, permainan pilihan pada masa itu ialah guli, berlaga biji getah, lastik gelang getah, tukar tiang, lompat gelang getah, main sorok-sorok, perang ala combat dan lain-lain. Di sekolah kampung, bola adalah permainan popular. Ada juga bermain badminton dalam kebun getah di mana jaring diikat pada dua batang pokok.


Kini, antara permainan pilihan ialah futsal. Saya tidak mendalami sejarah kelahiran sukan ini. Yang saya pernah dengar menerusi radio, bola sepak berasal dari negara China. Banyak gelanggang futsal telah disediakan. Dari pengamatan saya, ramai juga yang telah menjadi usahawan Futsal Court. Sebagaimana permainan lain, ia merupakan aktiviti riadah yang baik. Selain dapat mengeluarkan peluh, ia boleh mengeratkan persaudaraan dan semangat kesukanan.


Pada 9 November 2008 yang lalu, saya hadir melihat pertandingan futsal di kalangan pekerja Mieco. Ia diadakan di gelanggang terbuka di Taman Bakti, Padang Tengku. Seronok juga dapat menyaksikan perlawanan tersebut, sambil mempelajari kaedah permainan. Memang, ada sedikit perbezaan berbanding dengan bola sepak walaupun kedua-duanya menggunakan kaki.


Gelanggang futsal di Padang Tengku dibina dengan menggunakan permukaan konkrit yang agak kasar. Ia boleh mencederakan pemain yang jatuh. Saya pasti ia adalah satu projek untuk belia. Namun, mungkin kelemahan pemantauan, pihak kontraktor telah mengabaikan soal keselamatan semasa menyiapkan gelanggang tersebut.

No comments: