Friday, November 28, 2008

Pengangkutan Awam Di Malaysia




Selepas kerajaan pimpinan Pak Lah menaikan harga minyak secara drastik, saya sebagai pemilik kenderaan persendirian begitu terasa bebanan (ketika ini, harga minyak sudah diturunkan semula beberapa kali). Sebagai langkah penjimatan, saya telah menaiki kenderaan awam yang meliputi bas ekspres, LRT, teksi dan keretapi. Ya, harga tiket lebih murah berbanding kos minyak untuk perjalanan tersebut. Tetapi, berlaku banyak kehilangan masa yang berharga.




Beberapa kali saya menaiki bas Transnasional dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur. Acap kali bas tidak bergerak mengikut jadual kerana kekurangan penumpang. Terpaksa digabungkan 2 perjalanan menjadi satu. Masa terbuang kerana menunggu. Dalam satu perjalanan dari Alor Star ke Kuantan, berlaku juga kelewatan. Bas telah tergendala lama di terminal kerana menunggu pengesahan bilangan penumpang yang hendak diambil di bandar utama sepanjang perjalanan.




Tiba di Pudu Raya, terpaksa pula bertukar bas. Pemandu yang menunggu marah-marah kerana tidak dimaklumkan tentang kelewatan. Lantas, beliau tidak mahu berhenti semasa perjalanan. Saya hampir terlepas solat subuh. Nasib baik, sewaktu tiba di terminal Temerloh, jam menunjukkan pukul 6.45 pagi. Masih belum naik matahari. Pemandu dan kelindan beragama Islam tetapi kerana nak kejar masa, tak mahu berhenti di masjid.




Semasa bulan puasa, saya menaiki keretapi dari Lipis ke Wakaf Bharu. Keretapi terlewat tiba hampir satu jam. Baru bergerak 30 minit, enjin pula rosak dan terpaksa bertukar keretapi. Masa terbuang lebih dari 3 jam. Jika ada urusan penting atau temu janji, bagaimana kita nak percaya dengan perkhidmatan bas dan keretapi di negara ini. Betul, kerajaan menggalakkan penggunaan kenderaan awam tapi kualiti perkhidmatan perlu ditingkatkan.




Saya memuji servis yang diberikan oleh bas Mara Liner yang saya naiki dari Raub ke Kuala Lumpur. Perjalanan yang menepati waktu dan juga menyediakan majalah berkala untuk bacaan para penumpang yang berminat. Dapatlah `cenderahati' untuk dibawa pulang. Majalah percuma tersebut boleh disimpan untuk bacaan semula pada masa lain.








No comments: