Friday, January 30, 2009

Asyura 1430


Alhamdulillah, Muharram 1430 membuka lembaran baru kemahiran mengadakan gotong-royong memasak bubur asyura. Ini adalah kejayaan kali ke 3 kami memasak asyura anjuran Badan Kebajikan Ehwal Surau Mieco. Dua tahun lepas, 3 kawah berjaya dimasak dengan mendapat tunjuk-ajar dari Pak Cik Yaakob dari Kg. Kechor Tui. Pada tahun lepas, kami mengadakan program asyura bersama penduduk di Kg. Seberang Jelai dan Padang Tengku. Majlis diadakan bersebelahan masjid.

Tahun ini, kami berjaya memasak 3 kawah tanpa menjemput chef luar. Persediaan telah dibuat lebih awal termasuk memindahkan pondok merokok ke kantin, mengambil bahan bakar dari log yard, mengambil dan membersihkan kawah dan membuat pembelian barang-barang. Berdasarkan pengalaman yang lepas, beberapa kesukaran telah diatasi pada tahun ini. Masalah air tercemar karat kawah diatasi dengan melumurkan minyak pada permukaan kawah sebelum air dimasukkan. Masa yang lama diambil untuk melembutkan kacang diatasi dengan merendam satu malam.

Api telah dihidupkan lebih awal iaitu pada jam 7.30 pagi dan ketika para pekerja memulakan tugas pada pukul 9.00 pagi, beras dan kacang hijau telah mula lembut dan hancur. Api dihidupkan dengan lebih mudah menggunakan kepingan tiub terpakai. Kami berjaya mencapai sasaran masa untuk siap sebelum jam 3.00 petang. Sokongan padu dari para pekerja telah membolehkan asyura diagihkan pada pukul 1.30 tengahari. Berbanding dengan dua tahun lepas, ia disiapkan pada pukul 4.00 petang. Kesimpulan kami, kerja yang muafakat telah membawa berkat.

No comments: