Friday, January 30, 2009

Kawanku Di Kaca TV


Suatu pagi, selepas Subuh, saya sempat menonton rancangan Motivasi Pagi TV1. Rupanya, yang sedang berbicara itu ialah kawan saya, Niza Hanif Mustaffa. Beliau adalah bekas kakitangan Samsung dan kini menubuhkan syarikat pembangunan sumber manusia, HR Capital S/B. Beliau bertugas sebagai Training Executive sewaktu saya menyertai kilang Samsung dan banyak membantu kami sewaktu dihantar mengikuti latihan di Korea Selatan. Beliaulah yang mengajar kami etika kerja orang Korea dan juga cara berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Korea. Kamsa hamnida!!! (thanks).

Mengikut cerita kawan-kawan, muka saya pernah tersiar di TV sewaktu saya mengajukan soalan, dalam satu majlis di Pusat Islam Kuala Lumpur. Seingat saya, program tersebut dianjurkan oleh FS Institute dengan kerjasama BAHEIS (kini JAKIM). Program itu berkenaan dengan pembinaan keluarga dan saya bertanyakan soalan bagaimana untuk mengukur kejayaan dalam menguruskan rumah tangga atau apakah kayu ukurnya.

Ramai kawan-kawan saya dari KUSZA yang selalu masuk TV dewasa ini. Umpamanya, Ust. Zawawi Yusoh (UIA), Ust. Syukri Ali (pegawai agama Istana Terengganu) dan Ust. Fauzi Mustaffa (pengerusi al-Kuliyyah TV3). Ustaz Fauzi juga banyak menulis dengan menggunakan nama pena Fauzi Al-Besuti. Semasa saya menyemak buku Darul Syifa' Bangi, ada juga muka beliau di situ.

Kejayaan kawan-kawan banyak menyuntik semangat untuk terus menyumbang bakti kepada agama, masyarakat dan negara mengikut kerjaya dan kemahiran masing-masing. Ya, kita perlu bertanya apakah sumbangan kita yang boleh dimanfaatkan oleh generasi kini dan akan datang. Ilmu yang dimanfaatkan itu menjadi bekalan berterusan walaupun kita telah pergi ke alam barzakh...

No comments: