Friday, January 30, 2009

Khazanah Dapur - Membuat Kerisik


Pengalaman berkelah dengan kawan-kawan telah memberikan kemahiran memasak. Semasa bersekolah rendah, beberapa kali kami berkelah di tepi Sungai Besut dan sama-sama memasak nasi dan lauk. Lepas tu, mandi sungai sambil mencari udang dan makan isi kelapa muda serta tebu. Sewaktu bertugas di Samsung, kami membuat outing beberapa kali termasuk ke Pengkalan Balak, Sepang. Saya yang ditugaskan untuk memasak.

Sejak beberapa tahun ke belakang, dengan tunjuk ajar dari isteri, dapatlah kemahiran memasak mee goreng basah, kueh teow beraroma dan behoon special. Jadi, kami boleh bergilir menyediakan sarapan pagi kepada anak-anak yang hendak ke sekolah. Yang hebatnya, terdapat peminat setia masakan Abah di kalangan kawan-kawan Nor dan Naj.

Pada tahun ini, khazanah dapur yang baru dipelajari ialah membuat kerisik kelapa. Kelapa perlu diparut dan digoreng pada kadar yang munasabah di dalam kuali tanpa minyak. Tidak boleh masukkan terlalu banyak kerana ia perlu ditumbuk sewaktu masih panas. Kelapa akan digoreng sehingga warna menjadi perang. Seterusnya, ia perlu ditumbuk dengan menggunakan lesung batu. Tumbuk sehingga keluar minyak. Setelah siap, masukkan ke dalam bekas dan ulang kerja-kerja menggoreng dan menumbuk sehingga selesai semua kelapa yang telah diparut. Di antara kegunaan kerisik ialah untuk dimasukkan ke dalam ramuan untuk membuat bubur asyura. Selamat mencuba.

No comments: