Friday, January 30, 2009

Kemahiran Menangkap Ikan


Bertuahnya lahir di sebuah kampung yang berdekatan dengan sawah dan sungai. Sejak kecil lagi, ayah telah mengajar kami adik beradik lelaki kemahiran menangkap ikan. Pada musim bah, kami diajar menggunakan pukat dan tauk. Tasik Pulau Meranti dan Gong Tok Tor menjadi medan kami menangkap pelbagai spesis ikan air tawar seperti selat, sebarau, patung, merah pipi dan sebagainya. Kami juga diajar menangkap ikan besar yang sedang membawa anak kecil yang terdiri dari ikan bujuk, toman dan haruan. Kami diajar menggunakan pancing panjang daripada buluh dan menggunakan umpan katak.

Setelah padi mula membesar, kami belajar menahan tauk dengan menggunakan umpan cacing. Memang boleh buat lauk dengan ikan keli, puyu dan haruan. Selepas musim menuai, kami diajar menimba ikan dari culvert dan mengejar ikan dengan menggunakan serkat. Ayah juga mengajar kami cara menahan lampung. Ia dilakukan selepas musim bah dan perlu dilakukan pada waktu malam dan berperahu. Acap kali kami terpaksa solat maghrib di tepi tasik kerana menahan lampung bermula sebelum maghrib. Kenangan manis termasuk berjaya menangkap ikan keli limbat sebesar betis orang dewasa.

Ayah juga mengajar kami memancing dengan menggunakan umpan hidup seperti anak ikan keli dan puyu. Pancing diatur pada sepanjang tebing sungai dan tasik. Saya sendiri beberapa kali berpengalaman mendapat ikan toman yang bersaiz mega di mana batang pancing tercabut dan terpaksa meredah air untuk mencari tempat tersangkut. Ayah sendiri berjaya menangkap ikan tapah sebesar budak sewaktu di Kg. Buluh, Setiu. Ayah juga mengajar kami menahan lukah. Agak malang, kemahiran membuat lukah tidak diwarisi. Yang pandai membuat bubu dan lukah telah pun pergi mengadap ilahi.

Kini, setelah bekerja, masa untuk memancing perlu dirancang. Antara pengalaman baru ialah memancing dengan menggunakan joran yang lebih moden. Kenangan manis baru termasuklah pergi memancing bersama kawan-kawan di Pulau Perhentian dan memancing di Kuantan. Gambar yang dilampirkan adalah kejayaan saya menaikkan seekor ikan sembilang di Kuantan. Kenangan lain yang sukar dilupakan ialah memdapat 300 ekor ikan semasa menahan jaring di Sg. Jelai. Mengikut cerita, ada pihak yang pergi menuba dan mereka tak tahu saya telah menahan jaring. Itulah rezeki kami dan terpaksa bawa balik ke Terengganu, selepas dikeringkan kerana terlalu banyak untuk dimakan oleh kami.

No comments: