Thursday, January 8, 2009

Nenek Ku Kalsom Ibrahim

Di sebelah bapa, kedua-dua nenek dan datuk saya telah meninggal dunia. Di sebelah ibu pula, saya masih mempunyai nenek yang kini berumur 76 tahun manakala datuk telah meninggal dunia. Di sebelah mertua, mereka semua telah meninggal dunia.

Adik beradik saya seramai 10 orang. Semasa saya kecil, neneklah yang pelihara dan selalu bawa ke mana-mana. Maklumlah, emak perlu menjaga ramai adik-adik yang lain. Maka, sehingga darjah satu, saya masih tidur dengan nenek. Saya masih ingat, ketika nenek balik ke kampungnya di Kg. Nangka dengan berjalan kaki sambil mengharungi Sg. Besut dan mendaki Bukit Puteri , pada Hari Raya Enam (7 syawal). Saya ikut serta dalam perjalanan tersebut.

Nenek suatu waktu dulu selalu menjual tapai ubi di pekan Alor Lintah, Pengkalan Menyireh dan Kuala Besut. Nenek perlu menjunjung satu besen besar tapai ke perhentian bas yang jaraknya 5KM. Saya pun ikut sama pergi ke pasar. Setelah lama menunggu, barulah bas tiba. Perlu menggunakan kudrat untuk mengangkat barang ke atas bas. Begitulah kesusahan nenek untuk menyara hidup.

Nenek kini masih tinggal bersama emak dan ayah saya di kampung. Alhamdulillah, nenek masih bertenaga untuk membuat kerja-kerja ringan dan pergi ke surau menunaikan solat. Kemahiran nenek membuat tapai ubi kini telah diwarisi oleh emak. Namun, banyak kemahiran lain yang tiada pewaris. Umpamanya kemahiran membuat tikar mengkuang. Semasa saya sekolah rendah, sempat mengikut nenek menetak daun mengkuang di tepi paya.

Daun-daun tersebut diikat dan direndam ke dalam air. Kemudian, dengan menggunakan pisau khas, daun mengkuang dibelah mengikut saiz yang seragam. Kemudiannya, ia diwarnakan secara menculup ke dalam air pewarna (dye) dan dijemur sehingga kering. Seterusnya, ia dianyam dan menghasilkan tikar mengkuang yang cantik - beranika saiz dan corak.

Banyak kenangan silam bersama nenek. Suatu hari, kura-kura peliharaan saya hilang dan telah diambil oleh budak lain (kawan sekelas saya). Kura-kura itu bukan milik saya. Cuma jumpa kura-kura terlepas yang telah ditebuk lubang di bahagian belakang bagi membolehkan ia diikat dengan tali dan dibawa bermain tepi sawah. Bila saya mengadu kepada nenek, dia sendiri yang pergi mengambil semula kura-kura tersebut. Semoga nenek sihat dan terus kuat untuk menjalankan ibadat.




No comments: