Thursday, January 8, 2009

Kenduri Gulai Kawah

Kenduri gulai kawah adalah tradisi masyarakat kita. Ia perlu dipertahankan kerana mempunyai nilai-nilai kemahiran dan ukhuwah. Di kampung, nampaknya ia masih dipertahankan. Manakala di bandar, disebabkan oleh faktor sosial masyarakat dan persekitaran yang terhad, ramai yang memilih khidmat katering untuk menjayakan kenduri.

Bermula dengan menyembelih binatang ternakan, diikuti dengan melapah dan seterusnya memasak, kemahiran ini perlu diwarisi oleh generasi muda. Dari perhatian saya, bagi mereka yang mahir, hanya dua orang diperlukan untuk merebahkan seekor lembu sebelum disembelih. Sejak ayah sakit, saya berpeluang beberapa kali menyembelih kambing. Tapi, belum mampu menyembelih binatang yang lebih besar.

Melapah pun memerlukan kemahiran supaya daging tidak tertinggal pada belulang. Teknik yang betul membolehkan seekor lembu dilapah dalam masa 15 minit. Memasak menggunakan kawah juga suatu kemahiran yang penting dan berkait rapat dengan keenakan dan khasiat. Di kampung, menjadi kebiasaan anak-anak muda akan meminum air daging berempah dari gulai kawah. Ia boleh diminum sebelum memasukkan santan. Menurut kepercayaan mereka, air daging berempah boleh menambah tenaga.

Semua kerja-kerja di atas dilakukan secara gotong-royong. Ini boleh merapatkan tali persaudaraan dan kemesraan di kalangan penduduk. Mereka juga akan dihidangkan dengan juadah yang menceriakan lagi wajah yang hadir.


No comments: