Friday, January 30, 2009

Kegawatan Ekonomi 2008-2009


Inilah kali kedua saya bersama rakan-rakan sektor pembuatan menghadapi kesan krisis ekonomi dunia. Pada tahun 1998, kilang Samsung terpaksa menghentikan operasi selama sebulan kerana kegawatan ekonomi dan banyak disebut sebagai angkara penyangak mata wang termasuk Soros. Pihak pengurusan waktu itu mengambil langkah proaktif dengan menghantar kami ke program pupuk semangat di Kem BTN Kulai Johor.

Pada akhir 2008, kegawatan telah berulang. Kini ia dikaitkan dengan krisis kewangan di Amerika Syarikat. Kesannya lebih mencabar. Sejak 1 November 2008, Kilang Mieco di Lipis menghentikan operasi. Permintaan terhadap papan serpai amat berkurangan dan hanya cukup kilang Mieco di Gebeng yang beroperasi.

Sebagai pekerja, kami bersyukur kerana pihak majikan masih lagi membayar gaji. Bagi pekerja kontrak, khidmat mereka terpaksa ditamatkan. Sukarnya mereka untuk terus mencari rezeki dan nafkah untuk diri serta keluarga. Dalam kegawatan kini, ia adalah peluang untuk kita bermuhasabah. Peluang untuk kita lebih mendekatkan diri kepada Allah. Mungkin ini semua juga kifarah atas dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Ia juga memberi pengajaran kepada kita supaya memiliki pelbagai kemahiran yang boleh digunakan untuk menjana wang.

Hidup perlu diteruskan. Kegawatan ini adalah ketentuan Allah dan pasti mempunyai hikmah tersendiri. Semoga ia akan berakhir dan sektor industri dapat meneruskan operasi dan dapat menyediakan pekerjaan kepada staf dan juga para pembekal yang terlibat.

No comments: